Follow us

Militia Maritim China Bergerak Menuju Kepulauan Spratly

Khas untuk BeritaBenar
2020-03-24
E-mel
Komen
Share
Peta beranotasi menunjukkan laluan lima kapal militia maritim China yang melepasi Union Banks di Kepulauan Spratly semasa tiga minggu pertama bulan Mac 2020.
Peta beranotasi menunjukkan laluan lima kapal militia maritim China yang melepasi Union Banks di Kepulauan Spratly semasa tiga minggu pertama bulan Mac 2020.
[RFA]

Walaupun krisis koronavirus sedang melanda Asia, China terus memperlihatkan kehadirannya di Laut China Selatan dengan menggunakan militia maritim di sekitar pulau dan terumbu di rangkaian Kepulauan Spratly, demikian menurut pengimejan data dan satelit pengesanan kapal yang ditinjau oleh Radio Free Asia (RFA)

Satu armada kapal China telah bergerak sepanjang bulan ini dengan melalui Union Banks, iaitu gugusan kawasan darat kecil yang menjadi pertikaian antara China, Malaysia, Filipina, Vietnam dan Taiwan. Antara kawasan yang paling penting dalam gugusan itu ialah Terumbu Hughes dan Terumbu Johnson yang dikawal oleh China, dan Pulau Sin Cowe dan Terumbu Collins yang dikawal Vietnam. Kapal-kapal itu dikenal pasti sebagai sebahagian daripada militia maritim terkemuka China oleh Inisiatif  Ketelusan Maritim Asia pada Januari 2019.

Lima kapal yang pergerakannya boleh dikesan oleh RFA kini berada di Terumbu Johnson, di sudut barat daya Union Banks. BeritaBenar adalah agensi yang berkaitan dengan Radio Free Asia.

Ia tidak mungkin secara kebetulan dengan kehadiran mereka di lokasi itu adalah beberapa hari sebelum ulang tahun ke-32 Pertempuran Terumbu Johnson, di mana pada 14 Mac 1988 berlakunya pertikaian tentera laut Vietnam dan China yang menyebabkan berpuluh-puluh tentera Vietnam terbunuh dan China akhirnya merampas kawalan kawasan terumbu itU.

200324-SCS-Johnson-Reef-wide-800.jpg

Pelbagai kapal yang tidak dikenali dapat dilihat di sudut kanan atas dalam imej satelit ini yang dirakam di utara pangkalan yang diduduki China di Terumbu Johnson Selatan, 22 Mac 2020. [Planet Labs Inc.]

Seperti biasa, China tidak menyatakan tentang sebarang pegerakan  kapal-kapalnya di sekitar Union Banks. Militia Maritim Angkatan Bersenjata Rakyat (PAFMM) negaranya sering kali terdiri daripada apa yang kononnya dikatakan sebagai kapal nelayan - walaupun mereka tidak terlibat dalam sebarang aktiviti menangkap ikan. Kehadiran mereka bertujuan untuk 'mengibarkan bendera'bagi pihak Beijing di perairan yang menjadi pertikaian itu tanpa memaparkan kekuatan ketenteraan secara terang-terangan yang boleh membangkitkan kecaman antarabangsa.

Zack Cooper, seorang felo penyelidik yang mengkhususi isu-isu keselamatan Asia di American Enterprise Institute, berkata China tetap memperlihatkan tingkah tegasnya dalam pertikaian serantau walaupun pandemik COVID-19 kini memerlukan perhatian dunia.

"Beijing telah meningkatkan aktiviti ketenteraan di sekitar Taiwan dan kini kelihatan melakukan beberapa perkara yang sama di sekitar Union Banks. Ia tidak jelas sama ada ini hanyalah kesinambungan aktiviti yang dijalankannya sebelum ini atau sekadar usaha yang sengaja dilakukan bagi dijadikan tekanan terhadap pihak menuntut yang lain,"kata Cooper.

Perisian pengesanan kapal menunjukkan bahawa lima kapal PAFMM - dengan tanda pengenalan Yuetaiyu (kapal perikanan) 18777, 18333, 18888, 18222, dan 18555 - yang melalui antara pulau tuntutan China di Terumbu Subi pada awal Mac -  sering menjadi laluan untuk kapal-kapal China yang dikerahkan ke wilayah itu - dan Pulau Thitu, kawasan yang diduduki Filipina di mana kapal-kapal China telah terlibat dalam usaha memberi tekanan yang berterusan di situ, seperti yang didokumenkan oleh Inisiatif Ketelusan Maritim Asia. Kapal pertama berhenti di Terumbu Whitson di timur laut Union Banks dari 3 Mac hingga 8 Mac.

Kemudian, kapal-kapal itu bergerak ke arah barat daya Terumbu Hughes yang dikawal China, dengan melalui Pulau Sin Cowe Timur (dirujuk oleh Vietnam sebagai Sinh Ton Dong) yang dikuasai Vietnam, dan seterusnya ke barat berhampiran Pulau Sin Cowe (Sinh Ton). Kapal-kapal itu berlabuh berhampiran Sin Cowe antara 13 dan 18 Mac.

Jumlah sebenar kapal China yang digerakkan ke kawasan itu kemungkinan adalah melebihi lima kapal yang dikesan oleh RFA dengan menggunakan perisian pengesanan kapal. Imej satelit menunjukkan banyak lagi kapal yang berkumpul di Union Banks walaupun identiti kapal tidak jelas. Kira-kira 12 kapal bergerak ke Terumbu Hughes antara 8 dan 13 Mac.

Selain itu, berpuluh-puluh kapal lain kelihatan berada di kawasan timur laut Union Banks di dalam Terumbu Whitson sejak sekurang-kurangnya pada 6 Mac dan masih berada di kawasan tersebut pada 19 Mac. Whitson adalah terumbu karang yang cetek yang tidak mempunyai pulau tiruan atau kemudahan. Imej satelit menunjukkan terdapat sekumpulan besar kapal yang berkumpul bersama-sama.

200324-SCS-Johnson-Reef-tight-800.jpg
Paparan dekat imej satelit yang diambil di utara pangkalan yang diduduki China di Terumbu Johnson Selatan menunjukkan pelbagai kapal tidak dikenali, 22 Mac, 2020. [Planet Labs Inc.]

Kapal-kapal rangkaian Yuetaiyu yang telah berada di Terumbu Hughes yang dikuasai China dan kemudian di kepulauan Sin Cowe yang dikawal Vietnam, telah bergerak ke Terumbu Johnson pada 18 Mac. Sekali lagi, imej satelit menunjukkan lebih banyak kapal berada di kawasan itu berbanding lima kapal yang dirakam isyarat AIS atau Sistem Identifikasi Automatik.

Semua kapal dikehendaki mempunyai transponder AIS untuk membantu dalam pengesanan semasa waktu kecemasan mencari dan menyelamat selain untuk penguatkuasaan undang-undang. Selalunya, kapal-kapal militia maritim China tidak menghidupkan transponder AIS kerana mahu menutup kegiatan mereka. Keadaan ini jelas berlaku kali ini kerana imej satelit menunjukkan sekurang-kurangnya 30 kapal berada di Terumbu Johnson.

Terumbu Johnson adalah hanya seketul batu, menurut keputusan  tribunal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2016 berhubung tuntutan China di Laut China Selatan. Di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut, seketul batu dinyatakan dengan jelas sebagai ciri "yang tidak dapat menampung habitasi manusia atau kehidupan ekonomi mereka sendiri" dan oleh itu, tidak mempunyai hak kepada zon ekonomi eksklusif atau pentas benua dasar laut. Namun, batu itu dibangunkan China menjadi pulau tiruan yang boleh digunakan sebagai pangkalan.

Sehingga 23 Mac, kapal-kapal PAFMM itu telah bergerak sekali lagi ke tempat yang sama dikunjunginya berhampiran Pulau Sin Cowe pada 13 Mac.


Lihat Laman Penuh