Follow us

Laut China Selatan: Malaysia Tampil Diplomasi Dengan China, AS

Hadi Azmi, Muzliza Mustafa, & Drake Long
Kuala Lumpur & Washington
2020-08-06
E-mel
Komen
Share
Kapal induk pesawat USS Ronald Reagan (kiri) dan kapal lain dari Armada ke-7 Angkatan Laut Amerika Syarikat berlayar beriringan di Laut China Selatan, 6 Oktober 2019.
Kapal induk pesawat USS Ronald Reagan (kiri) dan kapal lain dari Armada ke-7 Angkatan Laut Amerika Syarikat berlayar beriringan di Laut China Selatan, 6 Oktober 2019.
[Erwin Jacob V. Miciano/Pejabat Penerangan Tentera Laut/AFP]

Malaysia berhubung dengan China dan Amerika Syarikat (AS) pada minggu ini berikutan pertikaian diplomatik di Laut China Selatan, dengan negara Asia Tenggara itu menekankan hasratnya untuk mengekalkan hubungan erat dengan kedua-dua kuasa besar tersebut, yang perseteruan mereka kian meningkat pada masa ini,

Menteri Luar Malaysia Hishammuddin Hussein memberitahu persidangan Dewan Rakyat bahawa beliau akan membincangkan mengenai Laut China Selatan semasa menghubungi rakan sejawatannya dari China dan AS, namun perbincangannya dengan Menteri Luar China Wang Yi tidak pula menyebut tentang laluan perairan itu.

Sebaliknya, kedua-dua diplomat itu dilaporkan membincangkan mengenai kerjasama dalam menghadapi pandemik COVID-19, sidang kemuncak Koridor Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang bakal berlangsung, membuka saluran diplomatik dengan lebih pantas serta kestabilan rantaian bekalan. Malaysia masih belum mengeluarkan kenyataan selain daripada catatan dalam media sosial oleh Hishammuddin.

Pada Khamis, Hishammuddin dan Setiausaha Negara AS Mike Pompeo menekankan bahawa "kedua-dua negara kita saling menghormati undang-undang antarabangsa dan maritim berdasarkan peraturan di Laut China Selatan,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Amerika Syarikat.

Menerusi catatan dalam laman media sosialnya, Hishammuddin menyatakan bahawa "perkara yang berkaitan dengan Laut China Selatan mesti diselesaikan secara aman dengan bersandarkan undang-udang antarabangsa yang diterima sejagat termasuk Konvensyen PBB mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982."

Pada awal Julai, Amerika Syarikat menegaskan bahawa tuntutan China di Laut China Selatan adalah "tidak sah" berdasarkan undang-undang antarabangsa. Selepas itu, AS mengerah dua kapal induknya ke Laut China Selatan dan mengadakan eksesais tiga hala dengan Jepun dan Australia, yang membangkitkan kemarahan Beijing.

"Didorong oleh mentaliti Perang Dingin dan mahu mendapatkan keuntungan buat diri sendiri, Pompeo dan orang lain yang sepertinya berusaha mengikat komuniti antarabangsa supaya anti-China, anti-CPC," kata jurucakap Kementerian Luar China Wang Wenbin pada sidang media harian pada 31 Julai.

"Namun, mereka pastinya gagal kerana dunia tidak akan percaya dengan apa yang diperkatakan mereka; orang yang cintakan keamanan tidak akan membenarkan perkara ini beerlaku; dan rakyat China tidak perlu ditakutkan."

Beberapa minggu lalu, China mengadakan latihan di Laut China Selatan dengan menerbangkan jet tempurnya ke Terumbu Subi dan dilaporkan merancang eksesais yang mensimulasikan pengambilalihan Pulau Pratas, iaitu satu daripada ciri di Laut China Selatan yang diduduki oleh Taiwan dan diklasifikasikan sebagai taman nasional.

Malaysia tertekan apabila sepanjang tahun lalu, pengawal pantai China terus berada di Luconia Shoals, satu daripada beberapa ciri di perairan Malaysia di luar pesisir Sarawak di Pulau Borneo. China juga dilaporkan mengerah kapal-kapalnya ke James Shoal, sebuah ciri tenggelam di barat daya Luconia, yang berada dalam wilayah maritim Malaysia.

Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia Azmi Hassan berkata kenyataan rasmi bakal dibuat tidak lama lagi, dan menekankan bahawa walau apa pun yang dibincangkan, menteri luar Malaysia mungkin mengelak daripada terlibat dalam  konfrontasi.

"Saya yakin bahawa perbincangan dengan China dan AS bukan secara konfrontasi kerana Malaysia memerlukan kedua-dua kuasa besar itu untuk mengimbangi kekuatannya di Laut China Selatan," kata Azmi. "Jika ia dilakukan dengan betul, Malaysia akan mendapat manfaat daipada kehadiran kedua-dua negara itu di Laut China Selatan."

Capaian ASEAN

AS berusaha mendapatkan sokongan bagi pendekatan barunya yang konfrontasi terhadap China di Laut China Selatan dan Asia Tenggara, dengan membuat beberapa gesaan minggu ini.

Selain Hishammuddin, Pompeo turut berhubung dengan Setiausaha Luar Filipina Teodoro Locsin Jr pada Khamis. Awal minggu ini, beliau menghubungi Menteri Luar Negeri Indonesia Retno Marsudi, Wakil Perdana Menteri Vietnam Pham Binh Minh, Menteri Luar  Singapura Vivian Balakrishnan, dan Menteri Luar Negeri II Brunei Erywan Yusof.

Dalam perbincangan tersebut, semua menekankan tentang pentingnya "Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka" dan meggesa supaya diberi perhatian khusus kepada Laut China Selatan. Setiausaha Pertahanan A.S Mark Esper menghubungi rakan sejawatannya dari Indonesia, Prabowo Subianto, pada Selasa; kedua-duanya dilaporkan berbincang mengenai kerjasama keselamatan maritim juga.

Dalam perkembangan berkaitan pada Rabu, Pompeo mengumumkan pelan ‘Rangkaian Bersih’ barunya yang menyekat syarikat-syarikat teknologi, infrastruktur dan aplikasi telefon pintar China daripada pasaran AS dan menggesa negara-negara lain supaya turut berbuat demikian.

Malaysia menolak aktiviti-aktiviti China dan AS di Laut China Selatan baru-baru ini. Selepas laporan Ketua Audit Negara Malaysia pada Julai menyatakan bahawa kapal-kapal China telah memasuki perairan Malaysia sebanyak 89 kali  antara 2016 dan 2019, Hishammuddin menegaskan bahawa tiada lagi kapal-kapal China yang memasuki perairan Malaysia sejak beliau memegang jawatan sebagai Menteri Luar pada awal Mac.

"Pendirian saya sangat jelas iaitu kita tidak akan bertolak ansur dalam soal kedaulatan negara," katanya pada sidang media pada hari berikutnya.

Tetapi ketika Angkatan Laut AS mengerah kapal perangnya berhampiran kawasan kapal-kapal China mendekati tempat eksplorasi minyak Malaysia pada April sambil mendesak China supaya menghentikan perbuatan "membuli" negara-negara Asia Tenggara berkaitan sumber-sumber yang ada di kawasan mereka, Hishammuddin membalasnya dengan rasa kurang senang, dan menyatakan bahawa penempatan kapal-kapal itu boleh meningkatkan ketegangan dan membawa kepada "silap percaturan."

Pada masa yang sama, Malaysia membuat beberapa pernyataan diplomatik yang menunjukkan bahawa ia semakin bimbang dengan tingkah laku China.

Satu nota Malaysia yang dikemukakan kepada PBB pada 29 Julai menyatakan, "Kerajaan Malaysia menolak tuntutan China terhadap hak bersejarah, atau hak atau bidang kuasa kedaulatan lain, berhubung dengan wilayah maritim di Laut China Selatan yang merangkumi bahagian 'sembilan garis putus' kerana ia bertentangan dengan [Konvensyen PBB mengenai Undang-Undang Laut] dan tanpa kesan yang sah. "

Sembilan garis putus yang disebutkan itu menanda satu wilayah di Laut China Selatan dengan China menegaskan bahawa ia mempunyai "hak bersejarah" ke atasnya. Penghujahan sembilan garis putus atau “hak bersejarah" itu tidak disokong di bawah Konvensyen PBB mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS), menurut penhakiman mahkamah timbang tara pada 2016 yang membuat penilaian sama ada ia dituntut mengikut undang-undang antarabangsa.

Sementara itu, Dialog AS-ASEAN ke-33 berakhir pada Rabu dengan para peserta termasuk Malaysia menegaskan “perlunya penyelesaian sengketa secara aman di Laut China Selatan dengan mematuhi undang-undang antarabangsa seperti yang terkandung dalam Konvensyen PBB mengenai Undang-Undang Laut dan Keputusan Mahkamah Timbang Tara pada 2016. "

Keputusan mahkamah timbang tara pada 2016 berhubung pertikaian China dan Filipina, yang tidak diterima China, tidak dinyatakan dalam pernyataan Dialog AS-ASEAN pada tahun lalu.

"Untuk menyelesaikan isu Laut China Selatan dengan China, kita harus memastikan bahawa solidariti ASEAN terus utuh dan kita harus bersatu sebagai sebuah blok," kata Hishammuddin pada persidangan Dewan Rakyat Rabu.

Lihat Laman Penuh