Ribuan Berhimpun di Indonesia, Malaysia Bantah Layanan China Terhadap Uyghur

Arie Firdaus & Hadi Azmi
2019.12.27
Jakarta & Kuala Lumpur
191227-ID-MY-Uyghur1000.jpg Penunjuk perasaan Indonesia, kebanyakannya membawa bendera dan plakad, melaungkan slogan ketika berarak di luar kedutaan China di Jakarta bagi membantah layanan terhadap etnik Uyghur, kumpulan minoriti Islam yang tinggal di wilayah Xinjiang, China, 27 Dis 2019.
[Arie Firdaus/BeritaBenar]

Beribu-ribu orang turun ke jalanan di Indonesia dan Malaysia pada Jumaat bagi membantah tindakan China menahan hampir 2 juta orang yang terdiri daripada etnik Uyghur serta minoriti Islam lain di kem-kem di wilayah Xinjiang.

Tunjuk perasaan itu berlangsung semasa Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad berikrar tidak akan mengekstradisi orang Uyghur yang mencari perlindungan di negaranya.

“Isu penindasan terhadap orang Islam di seluruh dunia, termasuk Uyghur, wujud dan harus diakui oleh semua pihak,” kata Mahathir yang mengulangi bahawa kerajaan beliau tidak akan campur tangan dalam hal ehwal dalaman China.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan di parlimen sama ada Malaysia akan menerima pelarian Uyghur atau menghantar mereka ke negara ketiga.

“Jika orang Uyghur melarikan diri ke Malaysia untuk mencari suaka, Malaysia tidak akan mengekstrasidi mereka meskipun terdapat permintaan dari China,” kata beliau sambil menambah bahawa kerajaannya tidak akan mencampuri urusan dalaman China. “Mereka dibenarkan ke negara ketiga kerana mereka mempunyai kebimbangan yang berasas mengenai keselamatan mereka.”

Selepas solat Jumaat, kira-kira 1,000 orang yang kebanyakannya beragama Islam, berhimpun dalam hujan lebat di luar Kedutaan China di Jakarta, dalam tunjuk perasaan terbesar setakat ini di negara Asia Tenggara itu sebagai membantah tindakan keras Beijing terhadap minoriti Islam. Kebanyakan penunjuk perasaan memakai jubah dan kopiah putih.

Mereka membawa sepanduk yang tertera perkataan: “China, stop genoside of ethnic Uyghurs,” “Shame on you China for depriving Uyghurs of their freedom,” dan “Over one million Uyghurs arbitrarily detained in China, Indonesia must speak out.”

Slamet Maarif mengetuai tunjuk perasaan besar-besaran di ibu kota Indonesia itu.

“Menggunakan alasan memerangi radikalisme, masyarakat Islam Uyghur telah dinafikan kebebasan untuk beribadat, hak-hak mereka dari segi ekonomi, sosial dan politik selain kebudayaan serta kemanusiaan,” katanya kepada penunjuk perasaan terbabit.

Slamet menggesa agar kerajaaan China menghentikan pencabulan hak asasi manusia terhadap masyarakat Uyghur serta membuka akses kepada penyiasat bebas antarabangsa, dan pada masa yang sama meminta Indonesia memperlihatkan solidariti dengan memboikot barangan buatan China.

“Kami menggesa rakyat Indonesia, terutama yang beragama Islam, agar memboikot produk China, mengeluarkan semua deposit dari bank-bank China, dan menghentikan semua bentuk kerjasama dengan China,” katanya ketika membacakan tuntutan oleh penunjuk perasaan.

Beratus-ratus penunjuk perasaan turut berhimpun pada Jumaat di luar konsulat jeneral China di Surabaya, yang merupakan bandar kedua terbesar di Indonesia.

“Sebagai saudara sesama Islam, kami turut merasai kesakitan di sini apabila saudara kami ditindas di Xinjiang,” kata Djoko Satria, seorang daripada penunjuk perasaan di Jakarta, kepada BeritaBenar.

Seorang lagi penunjuk perasaan, Teti Irawati, menggesa kerajaan Indonesia agar tidak membutakan mata terhadap nasib umat Islam di China.

'Kerajaan Indonesia tidak seharusnya berdiam diri dengan penderitaan yang berlaku di sana, kerana menurut perlembagaan kita, pendudukan dan penindasan hendaklah dihapuskan,” kata wanita berusia 48 tahun itu kepada BeritaBenar.

Tunjuk perasaan dalam skala lebih kecil terhadap China turut berlaku di Jakarta dan Banda Aceh minggu lepas.

Tunjuk perasaan itu berlaku selepas perhatian terhadap isu tersebut timbul semula di Indonesia apabila sebuah akhbar AS melaporkan tentang satu “kempen bersepadu” oleh Beijing untuk meyakinkan pihak berkuasa agama dan wartawan Indonesia bahawa kem-kem di Xinjiang adalah “usaha-usaha murni” bagi menyediakan latihan pekerjaan selain memerangi ekstremisme.

Pandangan di Indonesia mengenai kem terbabit berubah selepas lebih sedozen pemimpin atasan agama Indonesia mengadakan lawatan lokasi yang dikatakan fasiliti pendidikan semula itu, menurut laporan Wall Street Journal. Sumbangan dan bantuan kewangan lain dari Beijing turut membantu kritikan keras terhadap layanannya kepada masyarakat Uyghur, menurut laporan itu.

Anggota  Hizbut Tahrir Malaysia berhimpun di luar kedutaan China di Kuala Lumpur untuk mengutuk penahanan etnik Uyghur di wilayah Xinjiang, 27 Dis 2019. [S. Mahfuz/BeritaBenar]

Beratus-ratus orang mengadakan bantahan di KL

Di negara jiran Malaysia, kira-kira 700 anggota pelbagai kumpulan berhimpun di depan kedutaaan China di Kuala Lumpur.

Dalam satu memorandum bersama, kumpulan terbabit termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Hizbut Tahrir, menggesa Beijing agar menghormati hak-hak masyarakat Uyghur.

“Kami mendesak kerajaan China agar menghentikan diskriminasi melampau dan meminta mereka menutup kem-kem di Xinjiang yang menempatkan beratus-ratus ribu orang Uyghur yang ditindas oleh Beijing,” kata pemimpin ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz, kepada pemberita.

Para pegawai kedutaan enggan bertemu wakil penunjuk perasaan, yang berkata mereka berharap untuk menyerahkan dokumen dan kenyataan masing-masing.  

“Kami meninggalkan memorandum itu dalam peti surat di depan kedutaan China untuk tindakan lanjut mereka. Ini adalah kali kedua memorandum kami tidak dapat diserahkan kepada sebarang wakil kedutaan itu,” katanya.

Penunjuk perasaan turut mengkritik kerajaan Malaysia dan Hizbut Tahrir mendesak agar tindakan lebih keras diambil terhadap Beijing, termasuk memutuskan hubungan diplomatik.

Pada September, Perdana Menteri Mahathir memberitahu BeritaBenar dalam satu temu bual bahawa kekuatan ekonomi dan ketenteraan China mungkin menghalang negara-negara Islam daripada mengkritik penindasan Beijing terhadap masyarakat Uyghur.

“[C]hina adalah sebuah negara yang sangat berkuasa,” katanya ketika itu. “Kami tidak boleh cuba dan melakukan sesuatu yang akhirnya gagal, oleh itu, adalah lebih baik untuk mencari cara yang kurang ganas supaya tidak terlalu menentang China, kerana China memberi manfaat kepada kami.”

Bagaimanapun, pada 24 Dis, sayap pemuda Parti Bersatu pimpinan Mahathir menggesa kerajaan beliau agar “mengambil inisiatif untuk mengusahakan satu penyelesaian bagi penindasan agama yang berterusan di China” selepas ia menggesa Beijing agar segera menghentikan “semua tindakan penindasan ke atas masyarakat Uyghur.”

 



Indonesia ambil pendirian tidak campur tangan

Sementara itu pada 23 Dis, Ketua Turus Presiden Joko “Jokowi” Widodo, Jeneral Moeldoko, berkata Indonesia tidak akan mencampuri hal ehwal dalaman China berkaitan penahanan etnik Uyghur.

“Setiap negara memiliki kedaulatan tersendiri untuk mengawal selia rakyatnya,” kata Moeldoko kepada pemberita ketika disoal mengapa Indonesia tidak lebih lantang dalam isu Uyghur. “Kerajaan Indonesia tidak akan mencampuri hal ehwal dalaman China.”

Beliau berkata demikian beberapa hari selepas bertemu Duta Beijing ke Jakarta, Xiao Qian, yang menegaskan bahawa dakwaan mengenai pencabulan hak asasi di Xinjiang adalah tidak benar. Duta China itu telah menjemput delegasi Indonesia untuk melawat wilayah tersebut dan melihat sendiri situasi di wilayah autonomi berkenaan.

China mula memenjarakan kira-kira 1.8 juta orang Uyghur dan etnik minoriti Islam lain di kem-kem tahanan sejak April 2017 atas alasan bahawa anggota semua kumpulan mempunyai “pandangan agama yang keras” dan “idea-idea politik yang salah.”

Minggu lepas, dua pertubuhan agama terbesar di Indonesia – Nahdlatul Ulama dan Muhammadiyah – turut menggesa China agar menghentikan pencabulan hak asasi manusia ke atas etnik Uyghur, yang bertentangan daripada pendirian berdiam diri mereka sebelum ini.

Kumpulan-Kumpulan hak asasi manusia telah menuduh Beijing cuba menghapuskan budaya, bahasa dan tradisi-tradisi Uyghur. Bagaimanapun, para pegawai China berulang kali menafikan dakwaan itu dan berkata kesemua “sekolah berasrama penuh” di wilayah Xinjiang itu menyediakan latihan vokasional untuk minoriti Islam.

Pada Khamis, seorang pemimpin Nahdlatul Ulama (NU), yang merupakan kumpulan umat Islam terbesar di Indonesia, membandingkan situasi di Xinjiang dengan yang terdapat di wilayah paling timur di Papua, di mana pasukan keselamatan yang berjuang menentang pemberontak pemisah turut berdepan tuduhan mencabul hak asasi manusia.

“Jika kita membiarkan konflik itu berterusan, bukan hanya China yang akan sengsara sebaliknya seluruh rantau akan menjadi tidak stabil,” pemimpin NU Yahya Staquf dipetik sebagai berkata oleh CNN Indonesia dalam satu perbincangan di Jakarta.   

“Hal yang sama berlaku di Papua, pemisahan akan mengundang ketidakstabilan yang besar,” katanya.

Nihsa David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

 

Penunjuk perasaan di Malaysia membawa plakad yang mengkritik penahanan etnik Uyghur di wilayah Xinjian, China semasa mengadakan bantahan di luar kedutaan China di Kuala Lumpur, 27 Dis 2019. [S. Mahfuz/BeritaBenar]



Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.