China hoskan latihan bersama di tengah-tengah ketegangan di Laut China Selatan

Bagaimanapun Filipina tidak mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan Aman Youyi itu yang disertai oleh China dan lima lagi negara ASEAN.
Staf RFA
2023.11.14
China hoskan latihan bersama di tengah-tengah ketegangan di Laut China Selatan Latihan ketenteraan antara China dan lima negara Asia Tenggara termasuk Malaysia yang berlangsung di Zhanjiang, Wilayah Guangdong, China, 14 Nov, 2023.
[Ihsan Angkatan Tentera Bersama - Tentera Malaysia]

Satu latihan ketenteraan bersama antara China dan lima negara di Asia Tenggara bermula pada Isnin di Zhanjiang yang terletak di selatan Wilayah Guangdong, lapor CCTV, stesen penyiar rasmi republik itu.

Pasukan tentera dari Kemboja, Laos, Malaysia, Thailand dan Vietnam telah menghantar anggota serta kapal perang masing-masing untuk menyertai latihan Aman Youyi-2023 (Keamanan dan Persahabatan) yang memfokus kepada pencegahan keganasan dan keselamatan maritim, demikian menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Kebangsaan China.

“Matlamatnya adalah bagi membantu peserta meningkatkan pencegahan keganasan urban dan maritim mereka selain memperkasa keupayaan mencegah kegiatan pelanunan serta mempererat kepercayaan dan kerjasama bagi melindungi keamanan dan kestabilan serantau," menurut kementerian itu lagi.

Bagaimanapun ia tidak menyebut berapa lama latihan itu akan berlangsung di perairan Zhanjiang namun Kementerian Pertahanan Kemboja dan Vietnam menyatakan bahawa Aman Youyi-2023 dijangka melabuhkan tirainya pada 22 Nov.

Ini adalah kali pertama Vietnam, Kemboja dan Laos mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan itu yang dimulakan oleh China serta Malaysia pada 2014.

Markas Angkatan Tentera bersama dalam satu kenyataan di laman media sosial Facebook berkata delegasi Malaysia diketuai oleh Panglima 21 Gerak Khas, Mejar Jeneral Adi Ridzwan Abdullah bersama lebih 160 anggota Angkatan Tentera Malaysia mnakala jumlah keseluruhan anggota yang terlibat dalam latihan itu adalah seramai 3,900 tentera.

231114-my-amanyouyi2.jpg

Pasukan tentera Kemboja menaiki sebuah pesawat milik China pada 12 Nov 2023 untuk mengambil bahagian dalam Aman Youyi-2023. [Kementerian Pertahanan Kemboja]

Pada Jumaat, kapal-kapal penguat kuasa undang-undang dari China dan Filipina telah bertempur susulan tindakan Filipina meningkatkan jumlah anggota misinya yang ditempatkan di Terumbu Karang Thomas Kedua di Laut China Selatan yang menjadi rebutan.

Manila menuduh Beijing sengaja menyekat kapal-kapal Filipina dan membedil meriam air ke arah satu daripada kapalnya. China pula mendakwa kapal terbabit telah menceroboh kawasan perairannya.

‘Pendekatan yang tepat’

Sebelum ini Filipina telah menyertai latihan ketenteraan itu sebagai pemerhati namun langsung tidak mengambil bahagian pada kali ini.

Vietnam dan Malaysia, yang turut mengemukakan tuntutan ke atas sebahagian daripada kawasan perairan di Laut China Selatan, telah menghantar pasukan tentera masing-masing ke Zhanjiang.

“Beberapa negara yang menyertai latihan ketenteraan Aman Youyi-2023 turut mempunyai pertikaian maritim di Laut China Selatan namun mereka mengambil pendekatan yang tepat iaitu tidak membenarkan perkara itu menjejaskan silturahim dan jalinan kerjasama sebaliknya bersama-sama dalam usaha menjaga keamanan dan kestabilan serantau,” pakar ketenteraan China Zhang Junshe dipetik sebagai berkata olwh akhbar Global Times yang pro-Beijing.

Manila, bagaimanapun mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan serantau berskala besar yang diterajui oleh Amerika seperti Cobra Gold pada Mac dan Balikatan pada April.

Tahun ini merupakan latihan Aman Youyi kelima dan yang pertama dihoskan oleh China. Empat edisi sebelum ini berlangsung di Malaysia.

Kementerian Pertahanan Kemboja menyatakan bahawa ia telah menghantar 92 anggota tentera untuk mengambil bahagian dalam latihan itu manakala Vietnam pula menghantar satu daripada frigat berkelas Gepard miliknya iaitu Quang Trung (016).

China berusaha menjalin kerjasama ketenteraan lebih erat dengan negara-negara di Asia Tenggara sebagai maklum balas kepada apa yang disifatkannya "gangguan atau campur tangan" Amerika Syarikat dan sekutunya.

China dan Laos telah mengadakan latihan ketenteraan bersama yang dikenali sebagai Friendship Shield 2023 di Laos pada Mei. Pada Mac, Kemboja dan China mengadakan latihan ketenteraan dikenali sebagai Golden Dragon 2023 di Wilayah Kampong Chhnang di Kemboja.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.