Follow us

Duta China Berharap ‘Situasi Menang-Menang’ Dalam Rundingan Projek ECRL

Ali Nufael
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-01-03
E-mel
Komen
Share
Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad (kanan) bertemu Menteri Luar China Wang Yi di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, Malaysia, 1 Ogos 2018.
Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad (kanan) bertemu Menteri Luar China Wang Yi di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, Malaysia, 1 Ogos 2018.
[Kementerian Penerangan Malaysia melalui AP]

Duta China ke Malaysia pada Khamis berharap rundingan untuk meneruskan semula pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan berjaya, selepas perdana menteri Malaysia dilihat mula berlembut dalam pendiriannya terhadap projek bernilai AS$19.5 bilion itu.

Susulan satu lawatan rasmi ke pusat pengeluaran peralatan kereta api milik China di negeri Perak, Malaysia pada Khamis, Duta China ke Malaysia Bai Tian memberitahu pemberita beliau berharap kedua-dua negara boleh mencapai satu persetujuan untuk meneruskan semula projek itu.

Sehari sebelum itu, pemimpin Malaysia Mahathir Mohamad berkata bahawa projek tersebut mungkin diteruskan semula dalam “skala lebih kecil.” Tahun lepas, beliau mengumumkan bahawa kerajaannya membatalkan pembinaan landasan kereta api itu dan projek lain yang disokong oleh China.

“Kedua-dua kerajaan telah berbincang mengenai penerusan projek ECRL dan telah bersetuju untuk menyerahkan rundingan mengenai projek itu kepada kontraktor serta pemilik kontrak. Jadi kini kami masih menunggu laporan daripada kedua-dua pihak,” kata duta China itu.

“Kami belum lagi menerima laporan (tetapi) kami masih optimistik terhadap hasilnya dan kami berharap dengan semangat saling menghormati, perasaan muhibah dan saling memberi manfaat serta kedudukan yang sama, rundingan mengenai perkara itu akan menghasilkan situasi menang-menang,” kata Bai Tian.

Bagaimanapun Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke, yang berada bersama duta China itu, kedengaran kurang optimistik.

“Adalah lebih adil jika kita tunggu laporan akhir sebelum kita membuat sebarang keputusan memandangkan kedua-dua pihak telah menyerahkannya kepada jawatankuasa kerja untuk merundingkan perkara itu sebelum membuat keputusan. Bagi kami, kerajaan Malaysia belum lagi membuat satu keputusan muktamad,” kata Loke kepada pemberita.

Skala lebih kecil

Pada Ogos 2018, Mahathir, perdana menteri baharu, memaklumkan para pegawai China bahawa kerajaannya menggantung pembinaan landasan projek kereta api laju itu serta projek infrastruktur lain yang disokong oleh China, termasuk dua saluran paip gas.

Ketika itu, beliau berkata Malaysia tidak memerlukan kesemua projek itu dan tidak mampu membiayainya. Mahathir juga berkata beliau mewarisi hutang negara berjumlah RM1 trilion (AS$241 bilion) apabila kerajaannya mengambil alih pemerintahan tiga bulan sebelumnya.

Pada Rabu, Mahathir memberitahu akhbar berbahasa Cina Sin Chew Daily bahawa ECRL mungkin diteruskan, namun dalam skala yang lebih kecil berbanding pelan asal.

“Tetapi ini bukan mudah kerana kita terikat dengan kontrak dan tidak boleh menamatkan projek itu sewenang-wenangnya kerana kita tidak ada wang untuk membayar kepada China,” katanya kepada akhbar itu sambil menambah bahawa “kita telah membayar sejumlah wang yang banyak kepada China selepas penangguhan itu.”

Pada Ogos 2017, Perdana Menteri ketika itu Najib Razak, telah menyifatkan projek 688 km (430 batu) yang merentasi negeri Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan itu sebagai pengubah strategi bagi Malaysia, dan berkata ia akan siap pada 2024 pada kos kira-kira AS$13 bilion.

ECRL juga adalah satu projek utama di Malaysia yang dilihat sebagai sebahagian daripada inisiatif One Belt, One Road Beijing (OBOR) . Menerusi pacuan infrastruktur bernilai trillion dolar itu, Beijing merancang untuk membina satu rangkaian jalan raya, landasan kereta api dan pelabuhan di Selatan dan Asia Selatan bagi membolehkan China lebih mudah berdagang dengan negara Eropah melalui Lautan Hindi dan Asia Tengah.

Projek landasan kereta api itu telah diberikan kepada China Communications Construction Co. (CCCC) sebagai kontraktor utama manakala Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) telah disenarai sebagai pemilik. Ia menerima pinjaman daripada Bank Eksport dan Import China.

Kerajaan Mahathir, yang mengambil alih kuasa pada Mei 2018 selepas menewaskan parti gabungan Barisan Nasional pimpinan Najib dalam pilihan raya umum, berkata kos projek itu telah melonjak sebanyak RM26 bilion (AS$6.3 bilion).

Selepas kenyataan terkini Mahathir disiarkan, Najib, dalam satu hantaran Facebook, berkata beliau terkejut dengan jumlah orang yang percaya bahawa negara telah dipaksa memajakkan tanah sekitar landasan kereta api itu kepada China.

“Sukar untuk saya percaya bahawa ramai rakyat Malaysia masih boleh mempercayai propaganda  PH dan kononnya Malaysia akan menjadi seperti Sri Lanka disebabkan oleh ECRL,” kata beliau menggunakan singkatan nama bagi kerajaan Mahathir iaitu Pakatan Harapan.

Pada 2017, Sri Lanka memberikan pajakaan selama 99 tahun kepada China untuk pembinaan sebuah pelabuhan di Hambantota selepas ia gagal membayar balik pinjaman bagi pembinaan projek pelabuhan itu. Pelabuhan Sri Lanka itu adalah antara projek utama yang disiapkan lebih awal sebagai sebahagian daripada inisiatif OBOR Beijing.

Najib juga berkata beliau tidak percaya bahawa kerajaan tidak mempunyai wang untuk meneruskan projek itu.

Bekas perdana menteri itu berdepan 39 pertuduhan jenayah berkaitan dana pembangunan negara 1Malaysia Development Berhad yang dibelenggui masalah, yang beliau tubuhkan pada 2009. Jabatan Keadilan AS mendakwa bahawa hampir AS$4.5 bilion (RM18.7 bilion) daripada dana negara itu telah diseleweng dan digubah menerusi pembelian hartanah dan aset lain.

‘Isu harga’


Sementara itu, Oh Ei Sun, seorang felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, berkata rundingan tersebut boleh membantu memperbaiki hubungan antara Malaysia dan China, sambil menambah bahawa Beijing berhasrat menyiapkan ECRL.

“Saya fikir perlu ada landasan kereta api yang merentasi Semenanjung Malaysia untuk memudahkan terutamanya pengangkutan barangan dari Pelabuhan Klang ke, contohnya, ke Pelabuhan Kuantan. Landasan kereta api Pantai Timur sedia ada boleh dinaik taraf untuk memenuhi keperluan terhadap pengangkutan barangan dan manusia dengan lebih baik,” katanya kepada BeritaBenar.

Beliau berkata kos projek itu merupakan batu penghalang.

“Harga adalah perkara yang sering menjadi isu sejak awal lagi. Selagi rundingan harga adalah memuaskan, maka ia boleh diteruskan,” katanya.

Lihat Laman Penuh