Follow us

Malaysia, China Mulakan Semula Projek Rel OBOR Selepas Berbulan Ditangguh

Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-07-25
E-mel
Komen
Share
Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke (enam dari kiri) dan Duta China di Malaysia Bai Tian (empat dari kanan) bersama pegawai-pegawai lain semasa pelancaran semula Projek Laluan Rel Pantai Timur [ECRL] di Dungun, Terengganu, Malaysia, 27 Julai 2019.
Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke (enam dari kiri) dan Duta China di Malaysia Bai Tian (empat dari kanan) bersama pegawai-pegawai lain semasa pelancaran semula Projek Laluan Rel Pantai Timur [ECRL] di Dungun, Terengganu, Malaysia, 27 Julai 2019.
[BeritaBenar]

Malaysia dan China memulakan semula projek rel berbilion dolar "One Belt, One Road" (OBOR) pada Khamis selepas hampir setahun rundingan semula yang kemudian membawa kepada perjanjian pemotongan kos pembinaan hampir satu pertiga.

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) adalah antara projek yang dibiayai China di Malaysia yang ditangguh selama beberapa bulan selepas Perdana Menteri Mahathir Mohamad mengambil alih kuasa setelah meraih kemenangan menakjubkan dalam pilihan raya umum pada Mei 2018.

Mahathir pada awalnya menolak harga asal projek berkenaan yang berjumlah 65.5 bilion ringgit (AS$16 bilion) tetapi mengumumkan pada April lalu bahawa syarikat kejuruteraan China itu telah bersetuju untuk mengurangkan kos kepada 44 bilion ringgit (AS$11 bilion).

"Saya berpendapat majlis hari ini dapat diadakan selepas proses rundingan semula  yang amat panjang, iaitu sembilan bulan secara keseluruhannya," kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke kepada pemberita semasa majlis pelancaran semula  projek itu di Dungun, sebuah daerah di Terengganu, negeri pantai timur Malaysia.

Beliau berkata jajaran sepanjang 640 km (398 batu) itu yang menghubungkan Pelabuhan Klang di Selat Melaka dengan bandar Kota Bharu di timur  Semenanjung Malaysia, akan menyediakan perkhidmatan laluan rel yang teguh bagi bandar-bandar di koridor pantai timur dan berpotensi memikat pelaburan baharu ke kawasan perindustrian.

“Ini akan memastikan bahawa sejumlah besar produk dapat diangkut di laluan ECRL," kata Loke sambil menambah bahawa kerajaan menjangkakan peningkatan dalam pelaburan langsung asing, terutama dari China.

ECRL pada asalnya digantung apabila Mahathir mengotakan janji pilihan rayanya untuk merundingkan semula apa yang beliau sifatkan sebagai "tidak adil" berkaitan projek yang disokong oleh China itu dan diluluskan  perdana menteri terdahulu, Najib Razak.

Mahathir kemudian mengumumkan bahawa projek itu dibatalkan dan memberitahu pemimpin China semasa lawatannya ke Beijing pada Ogos 2018 bahawa Malaysia tidak mampu membayar kos bagi projek laluan rel serta projek-projek infrastruktur yang disokong oleh China.

Bagaimanapun, sebagai sebahagian daripada perjanjian rundingan semula  yang tergendala tiga bulan lalu berhubung projek rel itu, Loke berkata Bank Eksport-Import China akan membiayai 85 peratus kosnya, dengan kedua-dua negara bersetuju untuk menjalin usaha sama 50-50  antara syarikat milik negara - Malaysia Rail Link (MRL) dan China Communications Construction Co. bagi mengendalikan perkhidmatan kereta api.

Rundingan semula itu juga menyaksikan perubahan penjajaran projek tersebut, yang kini akan merentasi Negeri Sembilan, yang terletak di selatan Kuala Lumpur, bagi mengelak kawasan hutan di Bentong, yang terletak timur di ibu negara.

Semasa berdiri berhampiran sebuah terowong yang siap sepenuhnya bagi projek itu, Duta Besar China Bai Tian melahirkan keyakinan bahawa "gelombang hebat kepada bakal pelabur China akan datang ke Malaysia" apabila  projek itu selesai.

"Ramai daripada mereka akan membuat keputusan untuk melabur," katanya dalam ucapan di majlis pelancaran semula projek tersebut.

Projek itu dijangka siap pada Disember 2026, kata Duta China sambil menambah bahawa Malaysia boleh melihat jumlah ketibaan pelancong China ke negara ini meningkat dua kali ganda berbanding tiga juta orang pada 2018.

ECRL adalah sebahagian daripada inisiatif Satu Jalur, Satu Jalan Beijing yang meliputi 70 negara. Ia berhasrat menjadi Jalan Sutera abad ke-21 dengan menghubungkan negara-negara melalui rangkaian kereta api, jambatan dan pelabuhan, menghubungkan China dengan Afrika, Eropah dan Asia Tenggara.

Oh Ei Sun, pakar dalam hubungan Malaysia-China dan felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, berkata pelancaran semula projek itu menandakan bahawa hubungan dua hala antara Beijing dan Kuala Lumpur semakin mesra.

"Malaysia memerlukan pelaburan luar yang besar," katanya. "Jadi, diharap dengan pelaksanaan semula projek ini, yang dianggap penting oleh China, akan menggalakkan lebih banyak pelaburan China ke negara ini.”

190725-MY-Inside-TunnelECRL620.jpg

Sebahagian daripada terowong projek ECRL di Dungun, Terengganu, negeri pantai timur Malaysia, 25 Julai, 2019. [BeritaBenar]

Lihat Laman Penuh