Follow us

Tiada Maklumat Keberadaan, Sanggup Bantu Cari Jho Low, Kata Duta China

Ray Sherman
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-04-18
E-mel
Komen
Share
Model Gigi Hadid menyapa mesra pembiaya kewangan rakyat Malaysia, Low Taek Jho, di sebuah majlis amal di Bandaraya New York, 20 Okt 2014.
Model Gigi Hadid menyapa mesra pembiaya kewangan rakyat Malaysia, Low Taek Jho, di sebuah majlis amal di Bandaraya New York, 20 Okt 2014.
[AFP]

Duta China ke Malaysia Bai Tian mengesahkan yang negara itu tidak mempunyai sebarang maklumat tentang keberadaan pembiaya kewangan dalam buruan Low Taek Jho, seorang rakyat Malaysia yang lebih dikenali sebagai Jho Low yang dipercayai menjadi dalang di sebalik skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad [1MDB].

Duta itu bagaimanapun berkata, pihak berkuasa China bersedia untuk memulakan semula pencarian jika ada maklumat baru yang diberikan berhubung Jho Low.

Bai pada satu majlis perjumpaan dengan media Malaysia di ibu negara Kuala Lumpur pada Khamis turut menekankan bahawa pihak berkuasa China sebelum ini pernah melakukan usaha mencari ahli perniagaan Malaysia itu atasa permintaan Putrajaya tetapi semuanya menemui kegagalan.

“Saya tidak tahu jika Jho Low berada di China. Polis China telah memberi tumpuan penuh terhadap permintaan itu.

"Berdasarkan maklumat diberikan pihak Malaysia ... [kami] telah menjalankan pencarian yang teliti dan terperinci, tetapi maaf kerana tiada sebarang petunjuk baharu ditemui setakat ini,” kata Duta itu seperti dilaporkan oleh agensi berita nasional Malaysia Bernama.

Minggu lepas, akhbar berbahasa China tempatan Malaysia, Sin Chew Daily yang memetik sumber akhbar berkenaan melaporkan bahawa Low baru-baru ini berkunjung ke beberapa negara seperti Hong Kong, Macau, Shanghai, Shenzhen, Beijing dan Hainan di China.

Bai turut menambah bahawa pihak berkuasa China sentiasa mempunyai hubungan baik dengan rakan sekutunya di Malaysia dan telah memberikan maklumbalas berkenaan keputusan pencarian kepada kerajaan.

Sementara itu, Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad dalam satu sesi soal jawab ketika satu program makan tengahari anjuran American Malaysian Chamber of Commerce [AmCham] pada Khamis berkata, kerajaan Pakatan Harapan mempunyai idea tentang di mana Jho Low berada tetapi tidak boleh menamakan negara tersebut.

“Kita syak dia [Jho Low] berada di sebuah negara tetapi kita tidak boleh menyatakan ia secara terang-terangan kerana kita tidak mahu mereka [negara tersebut] ingat kita mahu menuduh mereka menyembunyikan penjenayah. Ia bukan sesuatu yang sesebuah negara patut lakukan.

“Kita juga tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan banyak negara. Jadi, Jho Low mungkin berada di mana-mana negara dalam dunia tetapi kita mensyaki di mana beliau berada sekarang. Kita akan berusaha untuk membuktikan itu tetapi kita tidak boleh menyatakan negara mana pada masa ini,” kata Mahathir.

Jho Low telah dikenalpasti sebagai kawan rapat bekas Perdana Menteri Najib Razak yang mengasaskan dana 1Malaysia Development Berhad sejak 2009.

Interpol

Pada Julai 2017, Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Ahmad Zahid Hamidi memberitahu  bahawa kerajaan Malaysia telah memohon bantuan Pertubuhan Polis Antarabangsa (Interpol) mengesan Jho Low, yang dipercayai terlibat dalam skandal kewangan 1MDB.

“Polis telah mengemukakan kepada Interpol di manakah orang (Jho Low), tetapi masih belum ada maklumat,” kata Ahmad Zahid kepada soalan yang dikemukakan semasa sidang Dewan Rakyat ketika itu.

Para pegawai Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat [DOJ] pula menyifatkan kes dana negara itu sebagai "skandal kleptokrasi yang paling buruk setakat ini", dan menurut dokumen yang dilihat oleh BeritaBenar, DOJ telah mendakwa Jho Low atas tuduhan mengubah wang berjumlah AS$400 juta yang dicuri dari 1MDB melalui pembelian hartanah di California, New York dan London, pembelian jet bernilai AS$35 million dan bot mewah yang bernilai AS$250 juta.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun pada Ogos tahun lepas berkata yang pihak berkuasa Malaysia telah meminta Interpol mengeluarkan Notis Merah bagi menjejaki, menangkap dan mengekstradisi Jho Low dan bapanya Larry Low Hock Peng selepas mahkamah mendapati kedua-duanya bersalah terhadap pertuduhan mengubah wang haram menggunakan dana 1MDB.

Pertuduhan di Mahkamah di Putrajaya itu dibuat tanpa kehadiran Jho Low yang menghadapi tiga pertuduhan menerima dana, dan lima lagi tuduhan memindahkan dana berjumlah 1 bilion ringgit [AS$261 juta], di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

Sebulan sebelum itu [Julai], Fuzi berkata Jho Low berjaya melarikan diri dari polis Malaysia ketika berada di Hong Kong.

Beliau dikatakan berlepas ke Macau sejurus selepas pasukan anggota penguatkuasa Malaysia sampai di Hong Kong untuk mengambil keterangan beliau, seperti yang dilaporkan media.

Jho Low menerusi jurucakapnya sehingga kini mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan terhadap beliau.

Beliau berkata segalanya adalah permainan politik dan beliau tidak akan mendapat pengadilan yang setimpal jika dibicarakan di Malaysia.

Bulan lepas, kerajaan Malaysia telah menjual kapal mewah Equanimity milik Jho Low yang dikatakan telah dibeli menggunakan dana 1MDB dengan harga 14.3 juta ringgit [AS$3.5 juta].

Nama Jho Low turut disebut dalam perbicaraan hari ke empat pada Rabu, dalam kes SRC International melibatkan bekas perdana menteri Najib.

Jho Low dikatakan berhubungan dengan pengurus hubungan Ambank yang menyelia bank akaun milik Najib.

Najib telah dituduh melakukan jenayah pecah amanah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan 1MDB dan kini sedang menghadapi perbicaraan di mahkamah Malaysia.

Pemimpin itu kehilangan kuasa pada Mei tahun lepas apabila gabungan Barisan Nasional kalah dalam pilihan raya umum kepada Pakatan Harapan yang telah berjanji untuk menyiasat skandal 1MDB.

Lihat Laman Penuh