Malaysia Henti Edar Komik Didakwa Pro-China, di Sekolah

Hadi Azmi & Noah Lee
2019.10.21
Kuala Lumpur, Malaysia
191021-MY-comic-620.jpg Murid-murid berhimpun sempena hari pertama sekolah di Kuala Lumpur, 3 Jan, 2017.
(AP)

Malaysia menghentikan pengedaran sebuah komik aktivis politik di sekolah-sekolah di seluruh negara pada Isnin selepas para pengkritik membantah kandungan propaganda pro-China yang memuji inisiatif Satu Jalur, Satu Laluan Beijing.

Komik itu menerangkan mengenai "Impian China" sebagai sebuah negara sosialis, sebuah tamadun Oriental kuno, sebuah negara besar sedang membangun dan pesat berkembang. Satu Jalur, Satu Laluan (OBOR) adalah manifestasi kepada impian tersebut, menurut penulis komik berkenaan Hew Kuan Yua.

Pada Isnin, Perdana Menteri Mahathir Mohamad berkata Malaysia tidak mempunyai sebarang peranan untuk mempromosikan ideologi Beijing.

"Saya percaya China akan menjadi pengaruh yang hebat pada masa akan datang," katanya "tetapi pada masa ini, kita tidak perlu mempromosikan idea dan ideologi China sebaliknya kita perlu mencari cara bagaimana kita boleh mendapat manfaat daripada mereka."

"Sebagaimana kita tidak menyukai pengaruh Barat dalam kepercayaan dan sekolah kita, kita tidak mahu negara lain mempunyai pengaruh yang tidak sepatutnya terhadap anak-anak muda kita," kata Mahathir semasa sesi soal jawab di Institut Strategik dan persidangan Pengajian Antarabangsa di Kuala Lumpur.

OBOR adalah inisiatif infrastruktur besar-besaran Beijing yang meliputi hingga ke 70 negara. Ia bertujuan untuk menjadi Laluan Sutera abad ke-21 dengan menghubungkan negara-negara berkenaan melalui rangkaian kereta api, jambatan dan pelabuhan yang menghubungkan China dengan Afrika, Eropah dan Asia Tenggara.

Hew, ketua pegawai eksekutif Majlis Perniagaan Malaysia-China, yang turut digelar "Superman Hew" membuat beberapa siri catatan dalam Facebook pada hujung minggu lalu dengan menyatakan bahawa komik itu telah meningkatkan hubungan dua hala dengan Beijing.

Beliau menyiarkan gambar yang menunjukkan Mahathir dan Presiden China Xi Jinping melihat kandungan komik itu semasa satu mesyuarat pada April di China.

"Inilah gambar yang akan ditafsirkan dengan cara yang berbeza," kata Hew dalam satu daripada catatannya. Hew adalah bekas ahli Parti Tindakan Demokratik (DAP).

"UMNO dan PH akhirnya akan tiba di penghujung jalan manakala  kerja saya sudah pun membantu meningkatkan hubungan antara Malaysia dan China," katanya merujuk kepada parti pembangkang Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu dan parti gabungan Pakatan Harapan pimpinan Mahathir.

Dalam reaksi kepada catatan itu, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan pada lewat Jumaat bagi menjelaskan tentang gambar itu dan menyangkal bahawa komik itu adalah hadiah daripada Mahathir kepada Xi dengan menjelaskan bahawa ia tidak disaring dengan betul sebelum ia berakhir dalam tangan mereka.

"Perdana menteri tidak pernah terlibat dalam penerbitan komik itu atau mengetahui isi kandungannya," kata kenyataan itu. "Beliau juga tidak pernah memberikan  persetujuan agar gambarnya digunakan untuk sebarang tujuan atau memberi kebenaran supaya komik itu diedarkan di sekolah."

Dalam kenyataannya pula, Kementerian Pendidikan menyatakan bahawa tidak pernah meluluskan pengedaran komik setebal 164 muka surat itu.

Angkatan Pemuda Islam Malaysia pula mengeluarkan kenyataan yang mengutuk gambaran komik itu tentang umat Islam sebagai pengganas melalui halaman yang menggambarkan imej Osama bin Laden serta seorang pejuang yang menggunakan pelancar roket tangan dengan bendera yang mengandungi huruf "IS."

“Ini dapat dilihat dalam kandungan komik tersebut, yang antaranya menyebarkan propaganda bahawa mereka yang membela nasib umat Islam Uyghur yang dizalimi kerajaan China adalah radikal,” kata setiausaha agung Angkatan tersebut, Muhammad Faisal Abdul Aziz kepada BeritaBenar.

Dalam catatan Facebook beliau, bekas Perdana Menteri Najib Razak mempersoalkan mengapa propaganda DAP diedarkan secara bebas di sekolah.

"Mesej apa yang mereka cuba sampaikan?" tanya Najib.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata polis telah mengambil keterangan daripada artis komik tersebut dan berharap untuk menyoal siasat dua individu yang berkaitan dengan penerbitannya. Beliau berkata keterangan mereka dapat membantu siasatan selanjutnya.

"Pada masa ini, kami tidak dapat menentukan bentuk kesalahan yang  dilakukan. Bagaimanapun, sebaik sahaja kita menerima keterangan daripada dua individu lagi, polis akan mengemukakan kertas siasatan kepada pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya," katanya.

"Abominable" ditarik daripada tayangan di pawagam

Sementara itu pada Isnin, para pegawai menyatakan filem animasi "Abominable" yang diterbitkan oleh Dreamworks Studio tidak akan ditayangkan di pawagam Malaysia berikutan percanggahan berhubung gambaran peta Asia Tenggara dengan pertindihan "sembilan garisan" terkenal China di perairan yang menjadi pertikaian di Laut China Selatan.

Pengerusi Lembaga Penapisan Filem Zamberi Aziz memberitahu BeritaBenar bahawa lembaga itu membenarkan syarikat filem itu untuk memadam paparam yang  menyinggung perasaan itu.

Pengedar filem berkenaan United International Pictures dalam satu kenyataan kepada agensi berita Reuters berkata ia tidak bersedia untuk mematuhi syarat lembaga penapisan filem Malaysia dan memilih untuk tidak menyiarkan filem itu di negara ini.

Pengedar filem, United International Pictures, dalam satu kenyataan kepada agensi berita Reuters, berkata ia tidak bersedia untuk mematuhi keperluan lembaga penyensor Malaysia dan memilih untuk tidak menyiarkan filem itu di negara ini.

Filem ini turut ditarik daripada tayangan pawagam di Vietnam dan Filipina. Ketiga-tiga negara itu mempunyai tuntutan bertindih terhadap Kawasan di Laut China Selatan itu manakala China mendakwa hampir semua Kawasan berkenaan adalah miliknya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.