Follow us

Larangan Menjual Hartanah Kepada Rakyat Asing Belum Diputuskan, Menteri

Staf BeritaBenar
Washington, District of Columbia
2018-08-28
E-mel
Komen
Share
Model skala pembangunan Forest City, pembangunan perumahan bercampur di salah sebuah pulau buatan manusia yang menghadap Singapura dan terletak di kawasan tebus tanah di pesisir pantai Johor, iaitu kawasan paling selatan di Semenanjung Malaysia di Selat Johor, 19 April 2016.
Model skala pembangunan Forest City, pembangunan perumahan bercampur di salah sebuah pulau buatan manusia yang menghadap Singapura dan terletak di kawasan tebus tanah di pesisir pantai Johor, iaitu kawasan paling selatan di Semenanjung Malaysia di Selat Johor, 19 April 2016.
AFP

Larangan menjual hartanah kepada rakyat asing dalam projek pembangunan mewah yang dibiayai China, masih belum diputuskan kerana ia berbeza dengan dasar yang diumumkan oleh Perdana Menteri Mahathir Mohamad sehari sebelum ini, kata seorang menteri Malaysia.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata, kerajaan akan menubuhkan satu jawatankuasa bagi memperhalusi syarat-syarat pembelian unit kediaman Forest City, Johor sebelum membenarkan rakyat asing membeli hartanah yang membabitkan pelaburan sehingga AS$100 bilion.

Agensi Berita Nasional Malaysia [Bernama] melaporkan Zuraida sebagai berkata, penubuhan jawatankuasa itu diputuskan oleh Perdana Menteri semasa mempengerusikan Mesyuarat Perancangan Fizikal Negara di Perdana Putra dan bakal dianggotai oleh kementeriannya, Kementerian Kewangan dan Kerajaan Negeri Johor.

"Keputusan sama ada kediaman itu boleh dijual kepada warga asing masih belum diputuskan lagi, sebab itu kita kena bermesyuarat untuk menyemak dan meneliti selain melihat mekanisme penjualan dan pembelian itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Perancangan Fizikal Negara, pada Selasa.

Katanya satu perbincangan bersama agensi-agensi terlibat dan pemaju di mana beliau telah diarahkan untuk mempengerusikannya akan diadakan tidak lama lagi.

Zuraida dilaporkan berkata demikian semasa diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri bahawa Malaysia tidak akan membenarkan warga asing untuk membeli unit kediaman dalam projek Forest City bernilai AS$100 bilion (RM410 bilion).

Tidak mampu

Pada Isnin, Mahathir menyatakan bantahan itu kerana Forest City dibina untuk warga asing dan bukan dibina untuk rakyat Malaysia memandangkan kebanyakan rakyat Malaysia tidak mampu membeli hartanah tersebut.

Projek Forest City adalah pembangunan perumahan bercampur yang dilancarkan pada 2013, dengan ia menghadap Singapura dan terletak di kawasan tebus tanah di pesisir pantai Johor, iaitu kawasan paling selatan di Semenanjung Malaysia.

"Apa yang pasti, bandar yang akan dibina itu tidak boleh dijual kepada orang asing. Kami tidak akan memberi visa kepada orang datang dan tinggal di sini," kata Mahathir kepada pemberita di Kuala Lumpur pada Isnin.

Apabila siap nanti, kira-kira 700,000 orang bakal mendiami kompleks kediaman Forest City. Ia akan mempunyai taman, pusat beli-belah dan hotel selain mewujudkan 220,000 pekerjaan dan menyumbang kira-kira RM200 bilion (AS$50 bilion) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia menjelang 2035.

"Kebanyakan rakyat Malaysia tidak mampu membeli pangsapuri itu," kata Mahathir, merujuk kepada laporan bahawa pangsapuri dua bilik tidur dalam projek itu dijual dengan harga permulaan sebanyak AS$170,000.

Projek usaha sama itu adalah diantara Country Garden Group yang disenaraikan di bursa Hong Kong dan firma tempatan Esplanade Danga 88, syarikat yang sebahagiannya dimiliki oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail.

Perkembangan terbaru itu nampaknya memberi kesan kepada pemaju, kata ejen hartanah, dengan munculnya kontroversi susulan laporan bahawa kira-kira dua pertiga pemilik unit kediaman di Forest City setakat ini terdiri daripada rakyat China. Pelabur lain adalah dari Indonesia, Dubai dan Thailand.

Dalam pada itu, menurut Zuraida, beliau difahamkan bahawa beberapa warga asing telah membeli hartanah Forest City itu dan mekanisme penjualan tersebut dilakukan di China, bukan melalui Malaysia.

"Kita mahu melihat bagaimana mekanisme yang dipersetujui sebelum ini. Kementerian tidak mempunyai sebarang keterlibatan dalam projek Forest City ini. Projek ini pun tidak pernah masuk ke dalam mesyuarat Perancangan Fizikal Negara untuk mendapat kelulusan," katanya.

Zuraida juga meminta pemaju dan pihak berkaitan tampil memberi penjelasan menyeluruh kepada kerajaan berhubung projek tersebut.

Pada Isnin, dalam maklum balasnya, pemaju projek itu Country Garden Pacificview (CGPV) menafikan bahawa ia mengeluarkan status pemastautin tetap kepada pembeli asing. Syarikat tersebut menegaskan bahawa ia telah mematuhi semua undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

"Rakyat asing atau syarikat asing boleh memperoleh tanah di Malaysia dengan syarat ia tertakluk kepada kelulusan Pihak Berkuasa Negeri terlebih dahulu," kata CGPV dalam satu kenyataan.

Menurut syarikat itu komen Mahathir "mungkin telah dipetik di luar konteks," dan pegawai syarikat itu sedang mendapatkan penjelasan daripada Pejabat Perdana Menteri.

Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, warga asing yang membeli rumah di Malaysia tidak akan mendapat status penduduk tetap (PR) secara automatik.

“Malaysia mempunyai syarat sedia ada bagi warga asing membeli rumah di negara ini dan pembelian harta perumahan bukanlah satu jaminan untuk mendapatkan status PR secara automatik di Malaysia,” kata kenyataan itu.

Mahathir berada di China dari 17 Ogos untuk lawatan rasmi selama lima hari di mana beliau bertemu dengan Presiden China Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Keqiang bagi merunding semula komitmen Malaysia terhadap pelaburan Beijing di negara itu semasa di bawah pimpinan Najib, dengan menyatakan kos bagi projek-projek itu terlalu tinggi.

Lihat Laman Penuh