Follow us

Pemimpin Asia Tenggara Tiba di Beijing Untuk Hadiri Forum Infrastruktur China

Dennis Jay Santos, Luis Liwanag & Tia Asmara
Davao, Filipina, Manila & Jakarta
2019-04-25
E-mel
Komen
Share
Anggota polis China berkawal di Beijing semasa para pemimpin dunia menghadiri satu persidangan mengenai inisiatif infrastruktur One Belt, One Road enam tahun selepas pelancarannya, 25 April 2019.
Anggota polis China berkawal di Beijing semasa para pemimpin dunia menghadiri satu persidangan mengenai inisiatif infrastruktur One Belt, One Road enam tahun selepas pelancarannya, 25 April 2019.
[AP]

Para pemimpin Asia Tenggara dan dunia berhimpun di Beijing pada Khamis bagi menghadiri forum tiga hari One Belt, One Road, bagi mencapai perjanjian ekonomi susulan langkah yang tidak pernah dilakukan China sebelum ini untuk menuntut hak wilayanya di Laut China Selatan.

Presiden Filipina Rodrigo Duterte dan Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad adalah antara pemimpin atau diplomat dari tiga puluh negara yang tiba di ibu kota China itu bagi meraikan sambutan sidang kemuncak kedua inisiatif pembinaan insfrastruktur China yang turut dikenali sebagai OBOR, kata para pembantu kepada BeritaBenar.

Pemimpin Indonesia Joko “Jokowi” Widodo, yang menghadiri edisi pertama forum itu pada 2017, telah dijangka menyertai perhimpunan itu namun beliau membuat keputusan untuk berada di negaranya bagi menangani isu-isu domestik, kata para pembantu.

Duterte dijangka menandatangani perjanjian dua hala, kata para pegawainya, namun satu perbalahan berkaitan langkah agresif Beijing di Laut China Selatan yang menjadi pertikaian mengancam untuk menggagalkan agenda perjalanan beliau ke negara itu.

Pemimpin Filipina itu telah mengadakan rundingan dengan rakan sejawatnya Xi Jinping di Great Hall of the People, yang menyaksikan pemimpin China itu mengesahkan komitmen beliau untuk terus memperkukuh hubungan politik dan ekonomi dengan Manila, kata para pegawai.

“Kami gembira hubungan China dan Filipina bertambah baik. Saya menganggap Tuan Presiden sebagai seorang sahabat baik yang ikhlas dan rakan kongsi yang boleh dipercayai,” kata Xi merujuk kepada Duterte dalam transkrip yang dikeluarkan kepada media Filipina.

Pertemuan Duterte dengan Xi berlaku tidak sampai tiga minggu selepas pemimpin Filipina itu memberi amaran kepada China agar menjauhi wilayah yang diduduki Filipina di Laut China Selatan.

Hari pertama forum pada Khamis, para pemimpin dan duta Asia Tenggara lain menyaksikan pemeteraian perjanjian perdagangan dengan China, termasuk Mahathir yang bersama-sama rakan sejawatnya Li Keqiang apabila Malaysia menandatangani satu memorandum yang akan meningkatkan import minyak sawit China dari Kuala Lumpur.

China adalah antara pembeli terbesar minyak sawit Malaysia selepas Kesatuan Eropah dan India. Kuala Lumpur mengeksport 3 juta tan minyak sawit bernilai 8.4 bilion ringgit (AS$2 bilion) ke China tahun lepas. Perjanjian pada Khamis akan meningkatkan eksport sebanyak 1.9 juta tan bagi tempoh lima tahun yang bermula tahun ini, kata para pegawai.

Beijing menuntut kebanyakan kawasan Laut China Selatan yang kaya dengan mineral, termasuk yang berada di pesisir pantai jirannya yang lebih kecil. Brunei, Malaysia, Filipina, Vietnam dan Taiwan turut mempunyai tuntutan bertindih.

Ketika perhimpunan diplomasi itu berlangsung pada Khamis, China berkata ia telah membuat aduan kepada Perancis selepas sebuah kapal perang Perancis memasuki wilayah perairan China semasa melalui Selat Taiwan pada 7 April.

Aduan itu seolah-olah menggambarkan bagaimana China kini bersedia membenarkan penegasan tuntutan wilayahnya menjejaskan hubungan dengan negara di luar rantau ini, menurut Associated Press.

Bantahan dikemukakan


Kunjungan Duterte ke China dibuat selepas pentadbirannya mengemukakan bantahan diplomatik terhadap China yang didakwa menghantar kapal perang berhampiran Pag-asa, sebuah pulau di wilayah laut yang menjadi pertikaian yang diduduki tentera Filipina.

Duta Filipina ke China Jose Santiago Sta. Romana memberitahu pemberita di Beijing pada Rabu bahawa Manila telah meminta China mengawal diri dan mengekalkan pasukan tenteranya pada jarak yang “sesuai” dari Pag-asa.

“Pendirian China adalah berbeza, mereka menuntut keseluruhan kepulauan Spratly. Jadi kami mempunyai perbezaan asas namun kami bersetuju bahawa kami perlu menangani perbezaan ini menerusi kaedah yang aman serta diplomatik,” katanya.

Bekas pemimpin Filipina Benigno Aquino telah mengheret Beijing ke Mahkamah Tetap Arbitrasi yang berpangkalan di the Hague, yang membuat keputusan memihak kepada Filipina pada 2016, semasa Duterte sudah menjadi presiden.

Indonesia kata projek OBOR harus berorientasikan keuntungan

Kementerian penyelarasan Indonesia bagi hal ehwal maritim bulan lepas berkata ia telah mencadangkan 28 projek pembangunan dengan anggaran nilai $91 bilion di bawah inisiatif infrastruktur OBOR.

Pada Khamis, kerajaan Jokowi berkata sebarang projek infrastruktur di bawah OBOR haruslah mendatangkan keuntungan dan  bukan menambah beban hutang kerajaan.

Jokowi telah menjadikan langkah meningkatkan infrastrukstur usang negara itu sebagai satu keutamaan semasa penggal pertamanya namun anggota parti pembangkang, menjelang pilihan raya minggu lepas, menuduh beliau memiliki kecenderungan untuk berhutang dan dilihat terlalu selesa dengan China.

“Projek-projek haruslah berorientasikan keuntungan. Jika ia tidak menguntungkan, ia tidak akan dilaksanakan," kata jurucakap kementerian luar Indonesia Arrmanatha Nasir kepada pemberita.

Inisiatif OBOR, polisi istimewa Presiden China Xi Jinping, dianggarkan bernilai AS $1 trilion lebih yang meliputi 70 negara. Ia bertujuan membina rangkaian jalan kereta api, pelabuhan ddan jambatan yang menghubungkan China dengan Afrika, Eropah dan Asia Tenggara.

Inisiatif itu telah mengundang kritikan di luar negara, susulan dakwaan bahawa China telah menggunakan satu “diplomasi perangkap hutang” dengan meberikan kredit berlebihan dengan niat untuk mendapatkan konsesi ekonomi dan politik dari negara yang berhutang.

Pakar ekonomi merumuskan bahawa inisiatif itu telah memaksa negara membangun mengambil hutang yang begitu tinggi bagi membiayai projek-projek yang disokong Beijing, yang menimbulkan kebimbangan selepas sebuah syarikat milik negara China mengambil alih kepentingan majoriti dalam pelabuhan Hambantota di Sri Lanka selepas Colombo bergelut untuk membayar hutangnya kepada China.

Sebuah projek kuasa hidro di Indonesia yang disokong China kini menjadi tumpuan susulan kebimbangan bahawa ia mungkin mengancam spesies orang utan dunia yang paling jarang ditemui.

Projek kuasa hidro bernilai AS $1.6 bilion di hutan hujan Batang Toru di Pulau Sumatera akan memecah belah habitat kira-kira 800 orang utan Tapanuli dan meningkatkan risiko kepupusan mereka, kata kumpulan aktivis alam semula jadi dan saintis.

Jalan kereta api yang menghubungkan bandar Bandung di Jawa Barat dan ibu kota Jakarta, yang telah menyaksikan peningkatan kos kepada AS$5.9 bilion (85.6 trilion rupiah), dibina oleh sebuah konsortium yang diketuai China Railway International.

Jokowi telah melancarkan projek itu pada awal 2016 secara besar-besaran namun ia telah tertangguh selama kira-kira dua tahun.

Projek-projek yang diluluskan sebelum ini yang membabitkan China termasuk sebuah projek hidroelektrik di Kalimantan Utara – terletak di bahagian Indonesia di Kepulauan Borneo – dianggarkan menelan kos sebanyak AS$25 bilion (363 trilion rupiah) dan beberapa siri loji kuasa arang batu dianggar menelan kos sebanyak AS$12 bilion (174 trilion rupiah).

Perdagangan Sino-Indonesia meningkat hampir sepuluh kali ganda dari 2003 hingga 2010 sahaja, apabila nilainya mencecah AS$36.1 bilion (524 trilion rupiah), menurut Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Mampan, sebuah badan pemikir bebas yang berpangkalan di Kanada.

Thailand meterai memorandum dengan Laos dan China

Pada Khamis, Menteri Pengangkutan Thailand, Arkhom Termpittayapaisith, telah menandatangani satu memorandum kerjasama tiga pihak dengan Laos dan China bagi membina sebuah jambatan kereta api di atas Sungai Mekong untuk menghubungkan rangkaian kereta api berkelajuan tinggi Thailand dengan segmen relnya di Laos.

Arkhom menandatangani perjanjian itu di Pusat Konvensyen Negara di Beijing dengan Hu Zucai, naib pengerusi Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara China, dan Bounchanh Sinthavong, menteri pengangkutan Laos, menurut kenyataan akhbar sebuah kementerian Thailand yang dikeluarkan di Bangkok.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan in.

Lihat Laman Penuh