Malaysia umum sertai BRICS, semasa lawatan PM China
2024.06.18
Kuala Lumpur
Malaysia berhasrat menyertai blok BRICS yang disokong Beijing dan Moscow bagi mempelbagaikan pilihan ekonomi, kata Perdana Menterinya manakala penganalisis mempersoal keahlian kumpulan itu yang terdiri daripada Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan.
Anwar Ibrahim pada Ahad mendedahkan rancangan itu dalam satu temu bual dengan portal berita Guancha yang berpangkalan di Shanghai menjelang lawatan tiga hari Perdana Menteri China Li Qiang ke Malaysia sempena ulang tahun ke-50 hubungan dua hala kedua-dua negara.
Li, yang tiba di Malaysia pada Selasa dalam kunjungan sulung beliau ke negara itu sejak menyandang jawatan pada Mac tahun lepas, turut dijadual mengadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Iskandar di Istana Negara.
Beliau dijadual menghadiri majlis pecah tanah stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai AS$16 bilion yang disokong China di Gombak dan makan malam negara.
Kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan pertukaran beberapa memorandum persefahaman dan persetujuan dalam pelbagai bidang kerjasama termasuk ekonomi digital, pembangunan hijau, pelancongan, perumahan dan pembangunan urbanisasi, pendidikan tinggi, sains dan teknologi serta eksport agrikomoditi ke China, menurut kenyataan Wisma Putra.
"Kami telah menetapkan dasar yang jelas dan telah membuat keputusan. Kami akan melancarkan proses rasminya tidak lama lagi, “ kata Anwar dalam temu bual dengan Guancha yang diterbitkan pada Ahad semasa ditanya bila Malaysia akan menyertai BRICS.
Anwar, yang secara konsisten menegaskan pendirian neutral Malaysia dalam hubungan ekonomi, berkata beliau lega kerana dunia tidak lagi bersifat unipolar manakala BRICS boleh menyediakan proses semak dan imbang secara global.
"Kita tidak boleh lagi menerima senario di mana Barat mahu mengawal wacana kerana hakikatnya mereka bukan lagi kuasa penjajah dan negara-negara merdeka perlu bebas bersuara," katanya.
Perdana Menteri China Li Qiang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang, Malaysia, 18 Jun 2024. [Foto edaran/Jabatan Penerangan Malaysia melalui AP]
Jurucakap Pejabat Perdana Menteri enggan memberikan butiran lanjut namun Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia Tengku Zafrul Aziz pada Selasa berkata persiapan untuk menyertai blok itu berjalan lancar.
“Malaysia terbuka untuk menyertai BRICS kerana ia menawarkan faedah ekonomi kepada negara. Pada masa ini, kemajuan berjalan lancar dan kita menunggu perbincangan lanjut seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim,” katanya kepada media pada satu majlis di luar Kuala Lumpur.
Sementara itu, Li dalam kenyataan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur memaklumkan China bersedia mempromosikan pembinaan komuniti China-Malaysia dan masa depan bersama dengan memberi sumbangan yang lebih besar kepada keamanan, kestabilan, pembangunan serta kemakmuran rantau ini dan dunia secara amnya.
“Pada masa ini, China sedang memajukan pemodenan China dalam semua aspek melalui pembangunan berkualiti tinggi. Malaysia pula sedang menggalakkan pembangunan negara di bawah wawasan Malaysia MADANI. China sedia bekerjasama dengan Malaysia,” katanya.
Melangkah ke pintu dan melihat
Sesetengah penganalisis percaya BRICS menawarkan platform untuk menentang perintah dunia yang dikuasai AS dan Barat serta alternatif kepada institusi politik dan ekonomi yang diterajui Washington.
Ditubuhkan pada 2006, BRICS mengadakan sidang kemuncak tahunan dengan jawatan pengerusi selama setahun secara bergilir-gilir dalam kalangan negara anggota. Rusia akan menjadi tuan rumah sidang kemuncak BRICS 2024 di bandar barat daya Kazan pada Oktober ini.
Pada Januari 2024, Mesir, Ethiopia, Iran, dan Emiriah Arab Bersatu secara rasmi menjadi sebahagian daripada kumpulan itu. Menurut laporan berita, lebih 30 negara telah menyatakan minat untuk menyertai BRICS, dengan Malaysia dan Thailand menjadi negara Asia Tenggara pertama yang diterima masuk.
Malaysia menyatakan bahawa ia kekal mesra dengan kuasa besar utama di tengah-tengah ketegangan China-AS dan menyasarkan untuk menjadi kuasa ekonomi neutral termasuk sebagai hab global bagi pembuatan semikonduktor.
Negara itu menjadi sasaran pelaburan baru-baru ini daripada firma Silicon Valley yang berkembang di Asia Tenggara.
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-26 pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-43, di Jakarta, 6 Sept. 2023. [Yasuyoshi CHIBA/ Pool/AFP]
Mengulas potensi kemasukan Malaysia ke dalam BRICS, penganalisis Chong Ja Ian berkata walaupun blok itu menyediakan alternatif untuk rantaian pembiayaan dan bekalan, kejayaannya masih tidak menentu.
“Kesan sebenar BRICS untuk ahli yang bukan kuasa utama tidak begitu ketara pada masa ini. Sokongan yang sepatutnya ditawarkan semasa krisis juga belum diuji lagi,” kata Chong, sarjana di Carnegie China, pusat penyelidikan yang berpangkalan di Asia Timur, kepada BenarNews.
"Penyertaan Malaysia ke dalam BRICS tidak akan menjadikan ia sebagai kuasa besar dan tidak akan menjadikan negara lain lebih atau kurang sebagai kuasa besar,” katanya lagi.
Shahriman Lockman, pengarah projek khas Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia pula berkata BRICS merupakan kumpulan yang agak baharu serta “kurang koheren dan tidak menghairankan apabila beberapa negara BRICS menjadi saingan antara satu sama lain.
"Namun mereka bercakap tentang isu yang penting kepada negara kita seperti pembiayaan pembangunan dan pengaturan mata wang. Jadi, ada baiknya kita melangkah ke pintu dan melihat apa yang berlaku," katanya kepada BenarNews.
(Dari kiri ke kanan) Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa, Presiden China Xi Jinping, Perdana Menteri India Narendra Modi, Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden Brazil Jair Bolsonaro semasa sidang kemuncak pemimpin BRICS mengenai kepesatan pembangunan ekonomi di Istana Itamaraty di Brasilia, Brazil, 14 Nov 2019. [Pavel Golovkin/Pool/AP]
Sementara itu, pakar dasar luar dan keselamatan Julia Roknifard dari Universiti Nottingham Malaysia berkata pengumuman Anwar itu selaras dengan usaha negara untuk bergerak antara kuasa besar dan bukannya mengambil sikap berpihak.
“BRICS telah muncul sebagai blok ekonomi dan tidak semestinya negara yang mengambil bahagian mengikuti politik atau ideologi anggota kuasa utama seperti India, China atau Rusia.
“Bagaimanapun, kita tidak boleh mengawal pihak yang akan mendakwa penyertaan Malaysia dalam BRICS sebenarnya sebagai tanda pro-Beijing,” katanya kepada BenarNews.
“Perkara itu harus kekal dilihat sedemikian jika itulah masalahnya namun Malaysia sudah menjadi negara di ASEAN yang mempunyai jumlah dagangan tertinggi dengan China berbanding negara Asia Tenggara yang lain.”
China telah menjadi rakan dagangan terbesar Malaysia sejak 2009 dengan nilai perdagangan dua hala mencecah RM450.8 bilion (AS$98.9 bilion) pada 2023, demikian menurut Wisma Putra dalam kenyataan pada Selasa.