Malaysia cadang larangan eksport nadir bumi elak tekanan China

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata cadangannya menggesa pemprosesan domestik akan “menjamin pulangan maksimum.”
Minderjeet Kaur & Ili Shazwani Ihsan
2023.09.11
Kuala Lumpur
Malaysia cadang larangan eksport nadir bumi elak tekanan China Trak mengangkut tanah mengandungi bauksit keluar dari tapak perlombongan di Bukit Goh, sebuah kawasan luar bandar di Pahang, Malaysia, 13 Okt. 2015.
[Manan Vatsyayana/AFP]

Malaysia mengambil tindakan melarang sebarang eksport bahan mentah nadir bumi dari negara itu, umum Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Isnin, satu keputusan yang diambil bagi menghalang eksploitasi dan kehilangan sumber tersebut ketika dunia berasa gusar terhadap penguasaan mineral nadir bumi oleh China.

Perdana Menteri itu berkata satu pemetaan secara terperinci serta model perniagaan yang menyeluruh akan dibangunkan oleh kerajaan bagi meningkatkan pemprosesan nadir bumi dan mengekalkan rantaian nilai bahan tersebut di dalam negara.

Dalam ucapannya di Parlimen, Anwar berkata industri nadir bumi dijangka akan dapat menyumbang sejumlah RM9.5 bilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada tahun 2025 dan mewujudkan hampir 7,000 peluang pekerjaan, dan negara akan merangka satu dasar baru bagi mencapai sasaran itu.

"Pemetaan terperinci sumber unsur nadir bumi dan model perniagaan menyeluruh yang menggabungkan industri huluan, pertengahan dan hiliran akan dibangunkan bagi mengekalkan rantaian nilai nadir bumi di dalam negara.

"Oleh itu, Kerajaan akan membangunkan dasar larangan eksport bahan mentah nadir bumi bagi mengelakkan eksploitasi dan kehilangan sumber, lantas menjamin pulangan yang maksimum buat negara," kata beliau semasa membentangkan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat pada Isnin.

Menurut Anwar, Dasar Mineral Negara baharu yang akan dirangka itu adalah bertujuan memacu pembangunan industri mineral negara yang menyeluruh, dan ia akan dijadikan panduan dalam melaksanakan aktiviti perlombongan dalam hutan simpan kekal, kawasan sensitif alam sekitar dan kawasan perlindungan di Malaysia.

Nadir bumi - mineral seperti cerium, lanthanum dan neodymium - digunakan dalam elektronik isi rumah dan telefon pintar, turbin angin dan kenderaan elektrik. Ia juga digunakan secara meluas dalam aplikasi pertahanan seperti enjin jet pejuang, peluru berpandu Tomahawk, satelit angkasa dan sistem komunikasi.

Lynas, pengeluar nadir bumi terbesar dunia selain China, melombong bahan itu dari Gunung Weld iaitu gunung berapi yang ranap di Australia, dan mengangkutnya untuk ditapis ke kompleks perindustrian yang luas di Kuantan, ibu negeri Pahang. Ia mempunyai lebih 650 orang pekerja di Malaysia dan Australia.

Penapisannya dilakukan secara besar-besaran hanya di dua tempat: Malaysia dan China, yang telah mengancam untuk menyekat bekalan mineral nadir bumi ke Amerika Syarikat.

Amerika Syarikat mengimport kira-kira $160 bilion bahan nadir bumi dari China, yang mengawal 80 peratus pengeluaran bahan itu. Konflik perdagangan yang sedang dihadapi Washington dan Beijing menonjolkan kepentingan strategik dan penggunaan unsur-unsur nadir bumi dalam peralatan pertahanan.

Sumber bernilai

Sementara itu, keputusan kerajaan melarang eksport bahan mentah nadir bumi ke luar negara dipuji oleh presiden Institut Geologi Malaysia, Abd. Rasid Jaafar yang menyatakan bahawa sumber itu jauh lebih bernilai selepas diproses berbanding dijual secara mentah.

"Secara peribadinya saya menyokong penuh idea melarang eksport bahan mentah. Ini selari dengan apa dilakukan oleh banyak negara lain di dunia.

"Harga produk yang dihasilkan selepas diproses dijangka meningkat antara 10 dan 100 kali ganda berbanding dijual secara mentah, dan ini sudah tentu akan meningkatkan hasil negara. Kewujudan kilang pemprosesan juga akan dapat membuka banyak peluang pekerjaan," kata beliau kepada BenarNews.

Mengenai isu penguasaan China ke atas sumber nadir bumi dunia, Abd. Rasid berkata ia bergantung kepada perspektif dari mana aspek itu dilihat.

Kata beliau, China mendahului dari segi pengetahuan dan teknologi berkenaan unsur nadir bumi, termasuk dalam bab penerokaan, penggalian, pemprosesan hingga kepada pembuatan dan ia boleh menjadi ancaman kepada usaha Malaysia.

"Bagaimanapun, China juga boleh menjadi rakan yang baik sekiranya persefahaman secara menang-menang dapat dicapai antara kedua-dua negara," kata Abd Rasid.

Pakar strategi geopolitik Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berpandangan bahawa tindakan melarang eksport unsur nadir bumi Malaysia itu merupakan satu langkah signifikan yang akan memberikan negara pengaruh geopolitik bagi membolehkannya melawan sebarang tekanan dari China.

Kata beliau, China telah menggunakan penguasaannya ke atas industri nadir bumi sebagai satu alat untuk menekan negara-negara lain bagi mengikut kehendaknya memandangan antara 80 dan 90 peratus produk berkenaan datang dari China.

"Walaupun kita mungkin hanya mempunyai pengaruh yang terhad dalam pasaran nadir bumi, polisi ini mensasarkan untuk meningkatkan hasil dalam negara dan memberikan kita satu bentuk kelebihan strategik.

"Dengan mengurangkan kebergantungan kita kepada China untuk mendapatkan bahan galian yang kritikal, terutamanya dalam pembuatan peralatan bertekonologi tinggi, kita dapat menjaga kepentingan sendiri," kata beliau.

Tambah Azmi, larangan tersebut juga akan dapat memberikan tekanan kepada China dalam mendapatkan mineral yang diperlukan mereka.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.