Follow us

Malaysia Batalkan Tiga Projek Saluran Paip Disokong Beijing

Ali Nufael & Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2018-09-10
E-mel
Komen
Share
Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan bahawa Malaysia tidak akan membatalkan projek pencakar langit Kuala Lumpur, yang dikatakan yang paling tinggi di rantau itu, walaupun ia dikaitkan dengan 1MDB, 21 Jun 2018.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan bahawa Malaysia tidak akan membatalkan projek pencakar langit Kuala Lumpur, yang dikatakan yang paling tinggi di rantau itu, walaupun ia dikaitkan dengan 1MDB, 21 Jun 2018.
[AP]

Kerajaan baru Malaysia membatalkan tiga projek saluran paip minyak dan gas yang disokong oleh China bagi menangani hutang negara yang dianggarkan bernilai RM1 trilion (AS$241 bilion), kata para pegawai.

Sepucuk surat telah dihantar kepada pihak-pihak berkenaan di China untuk memaklumkan pembatalan kontrak tiga projek itu yang bernilai kira-kira RM12.4 bilion (AS$3 bilion), lapor Financial Times pada Ahad yang memetik Menteri Kewangan Malaysia Lim Guan Eng sebagai berkata demikian.

"Kami membatalkan projek saluran paip itu ... Saya telah pun menghantar pemberitahuannya," kata beliau kepada FT.

Pada Isnin, seorang pegawai Kementerian Kewangan, yang meminta untuk tidak dinamakan, telah mengesahkan pembatalan itu.

"Tiada dinyatakan tentang pampasan. Ia mungkin sedang dirundingkan," katanya kepada BeritaBenar apabila ditanya sama ada Malaysia dikehendaki membayar pampasan bagi projek-projek yang dibatalkan itu.

Guan Eng berkata, projek-projek yang dibatalkan itu termasuklah dua saluran paip minyak dan gas yang dianggarkan bernilai lebih RM4.1 bilion (AS$1 bilion) di Semenanjung Malaysia dan di Sabah serta saluran paip bernilai RM3.3 bilion (AS$795 juta) yang akan menghubungkan negeri Melaka ke sebuah loji penapis yang dikendalikan oleh syarikat minyak negara, Petronas, di bahagian paling selatan negeri Johor.

Ahli ekonomi dari Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi, Adli Amirullah, menggesa kerajaan Malaysia supaya telus berhubung pembatalan saluran paip.

"Sekiranya kerajaan membatalkannya, mereka juga mesti mengeluarkan (analisis) kos dan faedah kepada orang ramai supaya kita tahu keuntungan atau kerugian akibat pembatalan itu," katanya.

Siasatan dijalankan

Pengumuman menteri kewangan itu dibuat kira-kira tiga bulan selepas kementeriannya mendakwa dalam satu laporan bahawa dua projek saluran paip disembunyikan daripada pengawasan kebanyakan pegawai perbendaharaan.

Pada 5 Jun, Guan Eng mengumumkan bahawa beliau telah meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia supaya menyiasat pembayaran yang mencurigakan berjumlah AS$2 bilion kepada sebuah firma China apabila hanya 15 peratus daripada kerja-kerja pembinaan saluran paip gas itu dijalankan di Malaysia.

Baru-baru ini, Guan Eng mendedahkan bahawa Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER), anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan, telah terlibat dalam skandal yang berkaitan dengan kedua-dua projek saluran paip gas itu yang telah diluluskan pada Julai 2016 oleh kerajaan yang diketuai Perdana Menteri Najib Razak ketika itu.

Sejak mengambil alih kerajaan pada Mei lalu, kerajaan baru Malaysia yang diketuai oleh Perdana Menteri Mahathir Mohamad telah mengambil langkah untuk mengekang hutang termasuk mengkaji semula projek-projek infrastruktur yang dilaksanakan oleh pentadbiran Najib.

Langkah pemotongan kos berkenaan bertujuan menangani hutang negara, yang terkumpul melalui jaminan kerajaan bagi pinjaman-pinjaman yang dikaitkan dengan dana negara, 1MDB, yang dibelenggui masalah.

Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat menyifatkan 1MDB sebagai "skandal kleptokrasi yang paling buruk sejak sekian lama." Pendakwa raya menyatakan bahawa sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion telah dicuri daripada 1MDB dan dialihkan melalui pengambilalihan hartanah, karya seni dan hartanah mewah oleh Najib dan sekutunya.

Semasa lawatan negara rasmi ke Beijing pada Ogos, Mahathir menyeru supaya dilaksanakan perdagangan bebas antara kedua-dua negara sambil mengumumkan pembatalan projek saluran paip dan projek keretapi berkelajuan tinggi.

Minggu lalu, Malaysia dan Singapura bersetuju untuk menangguhkan projek keretapi berkelajuan tinggi melibatkan kos berjuta-juta dolar antara kedua-dua negara sehingga akhir Mei 2020.

Lihat Laman Penuh