Polis Malaysia Tumpaskan Rangkaian Penyeludupan Warga China

Hata Wahari
2016.02.24
Kuala Lumpur
160224-my-china-seludup620 Pelancong yang baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, luar Kuala Lumpur. 11 Dis 2014.
AFP

Polis Malaysia telah menangkap sembilan orang termasuk dua pegawai Imigresen dan warga China, lantas  menumpaskan rangkaian penyeludupan yang menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai transit sebelum terbang ke negara ketiga, kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar pada Rabu.

Beliau berkata, rangkaian itu juga dipercayai menggunakan pasport antarabangsa Malaysia yang asli untuk membolehkan mereka yang diseludup menggunakannya di negara ketiga.

“Siasatan mendapati wujudnya kerjasama antara rangkaian penyeludupan di Malaysia dengan sindiket antarabangsa. Mereka ini menggunakan sindiket tempatan untuk mendapatkan pasport antarabangsa Malaysia dengan penglibatan pegawai Imigresen,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada lewat malam Rabu, sambil menambah operasi selama 20 hari bermula 4 Febuari lepas itu telah melancarkan tangkapan di KLIA dan Miri, Sarawak.

Katanya, siasatan juga menjurus kepada pertemuan bukti bahawa pegawai Imigresen di Miri, terlibat dalam sindiket itu, dengan mengenakan bayaran RM40 ribu untuk setiap pasport yang dikeluarkan.

“Sembilan yang ditangkap ialah lima warga tempatan termasuk dua pegawai Imigresen, bersama empat warga China, termasuk ejen penyeludup, fasilitator, ahli sindiket serta warga yang hendak diseludup,” tambah beliau.

Khalid memberitahu, kesemua tangkapan dibuat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2013 (SOSMA) dan disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Tiga daripada empat warga China akan didakwa di bawah Seksyen 12(1) (C) Akta Pasport 1966 kerana memiliki pasport Malaysia yang diperolehi secara haram.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.