Malaysia Sambut Maulidur Rasul Dan Krismas Selang Sehari
2015.12.24
Malaysia, sebuah negara yang mempunyai rakyat berbilang bangsa dan berbeza agamanya meraikan dua sambutan besar iaitu Maulidur Rasul dan Hari Krismas secara berturut-turut pada Khamis dan Jumaat.
Kedua –dua sambutan itu, adalah cuti umum kepada rakyat di negara itu, dan tahun ini, menyaksikan cuti panjang selama empat hari termasuk cuti hujung minggu.
Ketika umat Islam menyambut Maulidur Rasul dengan mengadakan perarakan dan acara keagaman di seluruh negara bagi memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW pada Khamis, penganut Kristian pula sibuk melakukan persiapan akhir termasuk membeli-belah dan menyediakan juadah tradisi sempena Hari Krismas pada Jumaat.
Semasa merasmikan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1437H/2015M di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Kuala Lumpur, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menegaskan pentingnya rakyat Malaysia memelihara hubungan baik, saling bertoleransi serta menghormati satu sama lain agar perpaduan sedia ada, dapat dikekalkan.
Seri Paduka bertitah kejayaan Nabi Muhammad SAW menyatupadukan umat Islam untuk hidup dengan aman damai bersama-sama orang bukan Islam sehingga membentuk masyarakat baharu yang diikat dengan Piagam Madinah, haruslah menjadi teladan kepada semua.
“Dalam konteks Malaysia, pendekatan Wasatiyyah atau kesederhanaan yang diterapkan telah diterima baik rakyat seterusnya memudahkan usaha mempertahankan perpaduan antara pelbagai kaum dan bangsa yang dinikmati sejak negara mencapai kemerdekaan,” titah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, seperti dilaporkan media tempatan pada Khamis.
Sambutan Maulidur Rasul itu, yang turut dihadiri Raja Permaisuri Agong Hajah Haminah, disambut dengan semangat kesatuan dalam kalangan umat Islam selaras dengan tema 'Perpaduan Nadi Transformasi Negara', bagi memperingati jasa dan perjuangan Rasulullah SAW.
‘Ucapan Krismas’
Pada lewat petang Khamis, Perdana Menteri Najib Razak pula memberi jaminan bahawa tiada rakyat Malaysia akan ditinggalkan di belakang tatkala negara pesat membangun dalam perjalanan menuju menjadi sebuah negara maju.
"Dan kami kekal teguh dalam mendukung kebebasan beragama seperti termaktub dalam perlembagaan kita," katanya sambil mengucapkan 'Selamat Menyambut Hari Krismas' kepada rakyat penganut Kristian di seluruh Malaysia.
Najib juga berkata rakyat Malaysia beruntung dan bertuah menjadi sebuah negara yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik yang hidup bersama-sama secara aman dan harmoni.
"Mari kita meraikan musim perayaan ini dan menyambut Tahun Baharu dengan azam baharu dan menjadikan sebagai misi peribadi kita untuk memikul tanggungjawab dalam membawa Malaysia ke puncak kejayaan," katanya dalam catatan terbaru dalam blog beliau, www.najibrazak.com.
Sempena sambutan Krismas, Malaysia akan mengadakan sambutan Rumah Terbuka Krismas peringkat Kebangsaan di Dataran A'Famosa, Melaka pada Ahad, dengan kira-kira 20,000 masyarakat berbilang kaum dijangka memeriahkan sambutan itu.
Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi adalah antara tetamu kehormat yang akan memeriahkan sambutan itu yang diadakan dari 2.30 petang hingga 10.30 malam.
Menerusi perayaan-perayaan agama dan kaum, kerajaan Malaysia mahu menyemarakkan semangat perpaduan, toleransi beragama, keharmonian budaya dan persefahaman dalam kalangan masyarakat majmuknya yang pelbagai kaum dan agama.
Malaysia amat mementingkan amalan nilai-nilai murni dan saling menghormati bagi mengukuhkan perpaduan dalam negara ini yang mempunyai penduduk terdiri daripada masyarakat majmuk, serta digalakkan untuk mengetepikan perbezaan dalam kalangan mereka.
Seperti mana tarian singa dan pemberian angpau adalah sinonim dengan perayaan Tahun Baru Cina yang disambut masyarakat Tionghua, ketupat dan lemang diinterpretasikan sebagai sambutan Aidilfitri bagi umat Islam manakala pokok Krismas dan Santa Claus adalah gambaran yang dikaitakan dengan Krismas atau Hari Natal di Malaysia.
Berlainan dengan negara Brunei Darussalam yang mengingatkan umat Islamnya tentang larangan menyambut Krismas, termasuk menghias atau mengenakan sebarang simbol perayaan itu di negara berkenaan mulai tahun ini.
Peraturan itu turut mengandungi peringatan bahawa mereka yang melanggar larangan itu boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, susulan pengumuman Sultan Hassanal Bolkiah yang memperkenalkan undang-undang Islam, termasuk hudud dan takzir seperti diumumkan April 2014, lapor agensi berita AFP.
‘Garis Panduan’
Bagaimanapun Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia pada April 2005 telah mengeluarkan satu Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam.
Menurut laman web jawatankuasa fatwa itu, muzakarah jawatankuasa itu antaranya memutuskan bahawa dalam menentukan perayaan orang bukan Islam yang boleh dihadiri oleh orang Islam beberapa kriteria utama perlu dijadikan garis panduan supaya ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam.
Antara kriterianya ialah Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara yang bertentangan dengan akidah Islam, tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak, tidak disertakan dengan “perbuatan yang bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” serta tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam”.
Seperti sambutan hari kebesaran kaum lain, Krismas selalunya disambut meriah namun sederhana di Malaysia yang lazimannya, pada setiap pagi 25 Dis, penganut-penganut Kristian dari mazhab Katolik, Protestan, Anglican ataupun Methodist beramai-ramai ke gereja untuk bersembahyang.
Manakala malam sebelum Krismas, para pemimpin negara akan menyampaikan ucapan ‘Selamat Menyambut Hari Natal’ kepada mereka yang meraikannya, sama ada menerusi media cetak, elektronik dan media sosial.
Seperti kelaziman, semua peringkat masyarakat Malaysia menghormati setiap sambutan hari kebesaran atau perayaan agama lain termasuk Krismas, dan ini dapat disaksikan menerusi program-program yang diadakan.
Malah, gedung dan pusat beli belah serta premis komersil lain juga dihiasi dengan pohon Krismas bermandi cahaya dan pelbagai hiasan untuk memeriahkan lagi perayaan itu kira-kira dua minggu sebelum perayaan iu disambut.
Jualan murah turut diadakan di pusat-pusat beli belah di seluruh negara bagi membolehkan penganut Kristian khususnya membeli belah sebagai persiapan menyambut Krismas.
Bagi memeriahkan lagi sambutan Krismas, syarikat-syarikat konsesi menawarkan diskaun tol 20 peratus bagi perjalanan jarak jauh menggunakan lebuh raya di seluruh negara, sebagai langkah menggalakkan budaya kunjung mengunjung terus terpelihara di negara itu.
‘Anak lain agama’
Di Malaysia, ada keluarga yang mempunyai anak-anak berlainan agama, namun ia tidak menghalang mereka daripada saling menghormati agama masing-masing dan meneruskan ikatan kekeluargaan itu.
Seperti perayaan kaum yang lain, pada hari perayaan inilah semua kaum keluarga akan berhimpun dan berkunjung ke rumah sanak saudara dan sahabat handai selain bertukar-tukar hadiah dan bersuka ria.
Ima Din Pian, seorang rakyat Malaysia berbangsa Siam yang suaminya adalah kacukan India dan Cina berkata, beliau menyambut semua perayaan di Malaysia kerana mempunyai keluarga yang berbilang bangsa.
“Saya menyambut perayaan Deepavali dan Tahun Baru Cina, kerana kedua mertua menyambut kedua-dua perayaan itu, manakala sambutan Aidilfitri dan Krismas kerana mempunyai beberapa orang biras yang merayakan perayaan berkenaan, jadi dalam keluarga yang harmoni, kami merayakan semua perayaan…. Saya juga tidak melihat timbulnya masalah jika kita merayakan perayaan kaum lain, selagi kita tahu pendirian agama yang kita anuti” katanya yang menganut agama Buddha semasa dihubungi BeritaBenar pada Khamis.
Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) berkata, Mohd Adib Anas Mohd Noor berkata, budaya ziarah-menziarahi semasa sesuatu perayaan sebenarnya mencipta ikatan persaudaraan, persahabatan dan semangat kejiranan sesama masyarakat.
“Islam adalah sebuah agama yang syumul yang meliputi seluruh aspek kehidupan. Kita diajar supaya menjauhi konflik, saling hormat-menghormati dan tidak menyakiti antara satu sama lain. Ini bertepatan dengan konsep yg dianjurkan dalam budaya toleransi. Dalam meraikan perayaan kaum atau agama lain, Islam sangat menghormati dan meraikan perayaan setiap kaum, dan dalam pada masa yang sama, masih tetap tidak melanggari landasan syariah Islam itu sendiri,” katanya kepada BeritaBenar semasa dihubungi di Pulau Pinang.