Bagaimana Beijing mempengaruhi media, diaspora Cina di Malaysia

Program-program dengan pendekatan lembut yang disiarkan oleh televisyen di tanah besar serta pemaksaan secara halus melalui kedutaan bertujuan memastikan kebanyakan media dan rakyat Cina di Malaysia menyokong Beijing.
Asia Fact Check Lab
2023.07.19
Bagaimana Beijing mempengaruhi media, diaspora Cina di Malaysia Akhbar-akhbar berbahasa Cina yang dijual di sebuah kedai serbaneka di Kajang, Selangor, Malaysia, 14 Julai 2023.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Xiaoling melenting apabila ditanya mengenai dakwaan kem tahanan di mana etnik Uyghur telah dikurung secara paksa oleh kerajaan China.

“Awak pernah ke Xinjiang? Belum? Jadi, pergilah dan lihatlah Xinjiang dahulu,” kata wanita warga emas Malaysia berusia 65 tahun itu, yang merupakan generasi kedua imigran China ke negara Asia Tenggara tersebut, kepada Asia Fact Check Lab (AFCL).

Sementara itu, dalam laporan yang diterbitkan pada Ogos lalu, Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu [PBB] berkata China telah melakukan "pencabulan hak asasi manusia yang serius" terhadap etnik Muslim Uyghur di kem pendidikan semula atau kem tahanan dalam Wilayah Autonomi Uyghur Xinjiang (XUAR).

Jadi, dari mana Xiaoling mendapat maklumat mengenai perkara itu?

Akhbar berbahasa Inggeris arus perdana di Malaysia menyiarkan laporan agensi berita Barat mengenai hasil laporan PBB berkenaan, dan akhbar berbahasa Malaysia turut berbuat demikian. Agensi berita seperti Reuters dan Associated Press juga memasukkan satu atau dua perenggan mengenai penafian perkara itu daripada kerajaan China.

Kebanyakan penduduk Malaysia adalah Melayu Muslim namun, etnik minoriti Cina membentuk kira-kira satu per lima daripada populasi negara itu.

Li Wen Yue, eksekutif kanan di sebuah akhbar berbahasa Cina di Malaysia, berkata bagi situasi di mana Timur dan Barat mempunyai pandangan yang terpolarisasi, seperti isu Xinjiang, cara yang terbaik ialah "dengan memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk bercakap."

Menurutnya beliau akan menggunakan kenyataan rasmi China selain memetik laporan media asing mengenai situasi yang berlaku di kem pendidikan semula, dan menyerahkan kepada budi bicara pembaca untuk menilainya.

"Menurut (syarikat) akhbar 'saya memberikan anda ruang, anda berilah pandangan anda, dan dia akan memperkata tentang pandangannya.' Apabila dia menuduh anda hanya melaporkan hanya sebelah pihak, anda boleh berkata, 'saya juga melaporkan pandangan anda,' ” katanya kepada Asia Fact Check Lab, sebuah unit Radio Free Asia, perkhidmatan berita yang bersekutu dengan BenarNews.

"Sekiranya Kedutaan China mempunyai sebarang bantahan terhadap laporan itu, atau menghubungi (kami) untuk bertanya, akhbar boleh menjelaskan bahawa ia memetik laporan media asing, bukannya ia sengaja menyiarkan laporan itu."

Namun, Xiaoling serta ramai lagi orang Cina Malaysia memandang China secara positif berbanding dengan etnik lain di negara Asia Tenggara itu, menurut hasil kajian tersebut. Orang Melayu merupakan hampir 70 peratus daripada penduduk Malaysia, dan semuanya beragama Islam. Etnik Cina pula merangkumi hampir 23 peratus daripada populasi itu, manakala etnik India sebanyak 6.6 peratus.

Tinjauan yang dijalankan oleh Taiwan Democratic Laboratory di Malaysia mendapati orang Cina Malaysia yang berumur lebih 61 tahun dengan tahap pendidikan rendah dan menggunakan bahasa Cina (Mandarin) sebagai bahasa perantara, mempunyai pandangan yang agak baik terhadap China. Mereka cenderung bergantung kepada media tradisional seperti akhbar dan televisyen untuk mendapatkan berita.

PENANG_CNY_DINNER_02 (1).jpg

Kaum Lim mengadakan majlis makan malam untuk bersama-sama menyambut Tahun Baharu Cina di Weld Quay, Pulau Pinang, Malaysia, 31 Jan. 2022. [A. Ammarudin/BenarNews]

Hasil yang sama turut diperoleh dalam tinjauan yang dijalankan pada 2022 oleh Merdeka Center dan China Studies Institute di Universiti Malaya.

Organisasi berkenaan mendapati bahawa berbanding 2016, peratusan rakyat Malaysia yang mempunyai pandangan yang baik terhadap China meningkat kepada 39 peratus pada 2022 berbanding 35 peratus pada sebelum ini, dengan peningkatan terbesar adalah dalam kalangan orang Cina iaitu 67 peratus berbanding 41 peratus.

Temu bual yang dijalankan oleh Asia Fact Check Lab dengan kakitangan media berbahasa Cina serta pengguna media Cina di Malaysia menunjukkan bahawa mereka mempunyai peranan untuk memainkan persepsi positif terhadap China dalam kalangan penduduk etnik Cina di negara itu.

Pada masa yang sama, mereka tidak bertanggungjawab sepenuhnya untuk persepsi itu, demikian menurut hasil kajian tersebut.

Keluarga Cina Malaysia, seperti kebanyakan keluarga di Malaysia, mempunyai televisyen kabel, yang menjadi tumpuan ramai sejak pandemik menular.

Itu memberi mereka akses kepada media kendalian kerajaan China seperti CCTV dan Phoenix. Rangkaian ini menyiarkan kandungan yang tidak bersifat politik secara langsung, seperti program tentang teknologi, masakan dan pertanian selain rancangan aneka ragam dan drama.

Program ini menunjukkan bangunan pencakar langit di Shanghai dan rata-rata orang China menggunakan teknologi yang canggih. Kandungan sedemikian memukau ramai orang seperti Xiaoling dan rakannya Qiuping, suri rumah berusia 62 tahun, yang kagum dengan apa yang mereka lihat sebagai pembangunan China, menurut sarjana media Malaysia, Chen Ming-hui.

Xiaoling dan Qiuping memberitahu AFCL bahawa mereka cemburu dengan kehidupan yang dijalani rakyat China - atau kehidupan yang mereka fikir dilalui rakyat negara itu - dan mereka berharap Malaysia boleh dipimpin oleh Presiden China Xi Jinping.

Demokrasi Malaysia, menurut tanggapan mereka, telah membawa "huru-hara", dan pemerintahan satu parti China dan kepimpinan Xi adalah yang sewajarnya, kata mereka kepada AFCL.

MY-AFCL-pic-3.jpg

Orang ramai mengambil bahagian dalam satu acara di hadapan Kedutaan China di Kuala Lumpur bagi menunjukkan solidariti terhadap masyarakat Uyghur di China serta memperingati ulang tahun ke-10 rusuhan di Urumqi, iaitu ibu kota wilayah Xinjiang yang menyebabkan hampir 200 orang terkorban, pada 5 Julai 2019. [Mohd. Rasfan/AFP]

'Kebimbangan' Kedutaan China

Memainkan peranan tambahan untuk mempengaruhi persepsi orang Cina Malaysia terhadap China ialah akhbar-akhbar Cina di Malaysia.

Akhbar arus perdana berbahasa Cina yang terkenal di Malaysia turut merangkumi Sin Chew Daily, China Press, Nanyang Siang Pau dan Oriental Daily News.

Sin Chew Daily adalah yang terbesar dengan edaran kira-kira 350,000 naskhah dalam bentuk cetak dan elektronik serta mencatatkan kira-kira 1.5 juta pembaca sehari.

Semuanya kecuali Oriental Daily News dikendalikan oleh Media Chinese International (MCIL), yang dimiliki oleh ahli perniagaan Malaysia Tiong Hiew King, yang mempunyai pelaburan dan hubungan perniagaan di China.

Media bahasa Cina di bawah MCIL cenderung melaporkan secara positif mengenai urusan perniagaan Malaysia dan China, dan secara relatifnya adalah pro-China, menurut satu laporan yang dikeluarkan pada 2022 oleh Freedom House, sebuah pertubuhan bukan kerajaan [NGO) Amerika Syarikat.

Kebanyakan laporan pro-China ini, bagaimanapun, bukanlah paksaan langsung Kedutaan China, menurut dapatan AFCL.

Apa yang dilakukan oleh Kedutaan China ialah menyatakan "kebimbangan" terhadap sesuatu berita, kata Chen Zhi De, seorang wartawan China di Malaysia.

"China tidak campur tangan dalam setiap perkara kerana ia akan membangkitkan kemarahan," katanya kepada AFCL.

Beliau berkata kedutaan itu menyatakan kebimbangannya dalam bahasa yang sangat sopan, yang sememangnya menyampaikan mesej itu.

Apabila adanya terlalu banyak "kebimbangan", syarikat penerbitan akan mendapati syarikat-syarikat China tiba-tiba menarik balik iklan-iklan dan Kedutaan China memboikot akhbar berkenaan, menurut satu kajian tesis yang dihasilkan pada 2016 oleh pelajar Taiwan, Fang Cuiying, dari National Taiwan University.

MY-AFCL-pic-4.jpg

Seorang penjual batang kemenyan gergasi dan hiasan lain menjelang sambutan Tahun Baharu China di Kubang Semang, Pulau Pinang, Malaysia, 16 Jan 2020. [Mohd. Rasfan/AFP]

Kadang-kadang, ada juga tekanan daripada pembaca.

Lin Wei Hong, seorang wartawan yang membuat liputan tunjuk perasaan terhadap rang undang-undang ekstradisi Hong Kong pada 2019, mengimbau tentang pendapat beberapa pembaca yang merasakan beliau telah memberi terlalu banyak ruang kepada kumpulan pro-demokrasi itu.

"Banyak kali, saya hanya biarkan mereka merungut," katanya kepada AFCL.

Namun, itu tidak boleh selalu boleh dilakukan, kata kebanyakan kakitangan media Cina di Malaysia.

Kelangsungan akhbar Cina di Malaysia adalah bergantung kepada komuniti Cina.

Cendekiawan media Malaysia, Chen, berkata bahawa pembaca termasuk pemimpin dan ahli perniagaan tempatan Cina, memberi tekanan kepada media jika mereka melihat terlalu banyak berita negatif tentang China berikutan hubungan perniagaan mereka yang rapat dengan China.

Wartawan Cina Malaysia, Chen Zhi De, dan beberapa yang lain bagaimanapun mempertahankan diri mereka dengan menyatakan bahawa mereka mematuhi etika profesional, dan walaupun laporan mereka mungkin tidak sempurna, mereka tidak mengambil sikap pro-China.

"Satu jenis beras boleh memanfaatkan ratusan orang yang berbeza," kata Chen kepada AFCL, sambil terus bercakap tentang MCIL, yang memiliki tiga daripada empat akhbar Cina terkemuka di Malaysia.

"Jika mereka percaya bahawa MCIL adalah 'media merah', oleh itu semua yang mereka baca akan menjadi merah."

Laporan ini dihasilkan oleh Asia Fact Check Lab, sebuah unit Radio Free Asia iaitu perkhidmatan berita bersekutu BenarNews. Shailaja Neelankantan dari BenarNews turut menyumbang kepada laporan ini dari Washington.

Berikutan kebimbangan mengenai keselamatan diri, Xiaoling, Qiuping, Li Wen Yue, Chen Ming Hui, Chen Zhi De, Lin Wei Hong adalah nama samaran yang dipilih oleh mereka yang ditemu bual itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.