Bekas Panglima Tentera Laut mengaku tidak bersalah pertuduhan rasuah

Ahmad Ramli Mohd Noor yang juga bekas pengarah urusan Boustead berdepan hukuman penjara 20 tahun bagi setiap pertuduhan jika sabit kesalahan.
Tengku Noor Shamsiah Tengku Abdullah
2022.08.16
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Bekas Panglima Tentera Laut mengaku tidak bersalah pertuduhan rasuah Ahmad Ramli Mohd Nor, bekas pengarah urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd, meninggalkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan yang dikaitkan dengan projek kapal tempur pesisir yang tertangguh, 16 Ogos 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

KEMASKINI pada 11.30 pagi waktu tempatan ETS - 2022-08-18

Seorang bekas Panglima Tentera Laut Malaysia mengaku tidak bersalah pada Selasa atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah berhubung pembayaran jutaan ringgit tanpa mendapat kelulusan lembaga pengarah semasa beliau bertugas sebagai Pengarah Urusan syarikat limbungan kapal milik kerajaan pada 2011.

Pertuduhan terhadap Ahmad Ramli Mohd Nor, 79, bekas Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) adalah berhubung dengan dakwaan pembayaran RM21 juta (AS $4.7 juta) kepada tiga syarikat berpangkalan di Singapura tanpa kelulusan daripada lembaga pengarah syarikat berkenaan.

BNS sejak kebelakangan ini terlibat dalam kontroversi skandal pembinaan kapal tempur persisir bernilai berbilion ringgit bagi kegunaan Tentera Laut DiRaja Malaysia yang tidak siap seperti mengikut perjanjian.

“Saya faham (pertuduhan), saya mengaku tidak bersalah dan mahu dibicarakan,” kata Ahmad Ramli kepada Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin, demikian menurut agensi berita Bernama. Beliau dibebaskan dengan jaminan RM500,000 (AS$112,000) dan diarah menyerahkan pasportnya.

Ahmad Ramli didakwa meluluskan RM13.5 juta (AS$3 juta) kepada Setaria Holdings Ltd tanpa kelulusan Lembaga Pengarah di antara 26 Julai 2010 dan 25 Mac 2011. Pertuduhan kedua pula berkaitan pembayaran RM1.36 juta ($304,500) yang didakwa diluluskan kepada JSD Corp Pte Ltd di antara 19 April 2011 dan 4 Mei 2011.

Bagi pertuduhan ketiga, beliau didakwa meluluskan pembayaran RM6.1 juta (AS$1.3 juta) kepada Sousmarin Armada Ltd di antara 28 Okt 2010 dan 22 Nov 2010.

Adalah tidak jelas sama ada pendakwaan dan siasatan terhadap Ahmad Ramli oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mempunyai kaitan dengan skandal kapal tempur persisir itu. Tetapi sumber SPRM memaklumkan The Straits Times bahawa tiada satu pun syarikat Singapura itu mempunyai urusan dengan BNS.

Ahmad Ramli berkhidmat sebagai Pengarah Urusan BNS sepanjang tempoh pembayaran itu dibuat dan menyandang jawatan sebagai Panglima Tentera Laut dari Oktober 1996 sehingga beliau bersara pada 1998 selepas berkhidmat selama 35 tahun dengan tentera laut itu.

Jika sabit kesalahan, beliau berdepan hukuman penjara dua hingga 20 tahun dengan sebatan dan denda bagi setiap pertuduhan.

SPRM telah mengeluarkan kenyataan pada Isnin memaklumkan wartawan mengenai tindakan mahkamah itu.

“Ini adalah untuk memaklumkan anda bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah mendapat izin mendakwa seorang bekas pengarah urusan sebuah syarikat berkaitan kes kapal tempur pesisir,” menurut kenyataan itu.

220816-MY-LCS-Inside.jpg

Bahagian badan luar Kapal Tempur Littoral 1 yang dapat dilihat di Boustead Naval Shipyard di Lumut, Perak, 13 Ogos 2022. [S. Mahfuz/BenarNews]

Beberapa individu lain akan turut didakwa

Menerusi kenyataan terdahulu bertarikh 11 Ogos, SPRM memaklumkan bahawa suruhanjaya itu telah menyelesaikan siasatan ke atas "beberapa individu" yang dikaitkan dengan dakwaan penyelewengan dalam projek pembinaan kapal itu. Ia menyatakan bahawa dokumen siasatan telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara "dengan cadangan daripada SPRM untuk mempertimbang pertuduhan terhadap beberapa individu," dan sedang menunggu arahan daripada pejabat itu.

Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata mereka yang bertanggungjawab harus berdepan pertuduhan jenayah sebaik bukti yang mencukupi diperoleh. Anggota Kabinetnya menggesa SPRM agar mempercepat siasatannya.

Pada 2011, BNS menerima surat anugerah daripada Kementerian Pertahanan untuk menyiapkan enam LCS sebagai sebahagian daripada pelan pembaharuan armadanya, demikian menurut laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dikeluarkan awal bulan ini.

Laporan itu, yang berdasarkan siasatan selama dua tahun, menyatakan bahawa surat hasrat untuk projek itu telah disediakan pada 2010, empat tahun sebelum projek enam kapal, bernilai RM9 bilion (AS$2 bilion) diberikan kepada BNS pada 2014, yang merupakan kontrak terbesar pernah dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan kepada syarikat tempatan.

Dikeluarkan pada 4 Ogos, laporan PAC menyatakan bahawa walaupun Tentera Laut Diraja Malaysia sepatutnya menerima lima kapal selewat-lewatnya bulan ini, tidak ada yang dihantar walaupun kerajaan telah membelanjakan kira-kira RM6 bilion (AS$1.36 bilion) bagi projek itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.