Rasuah: Bekas Ketua Pengarah, Dua Pegawai Kanan Tentera Didakwa di Mahkamah
2020.10.27
Kuala Lumpur, Malaysia

Bekas ketua pengarah risikan dan dua pegawai kanan tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa diatas 17 pertuduhan meminta dan menerima rasuah bernilai lebih RM2 juta (AS$480,000) berhubung beberapa projek kerajaan melibatkan Kementerian Pertahanan.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula memberitahu BeritaBenar yang pendakwaan keatas tiga pegawai kanan itu mempunyai kaitan dengan pertuduhan keatas bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Pertahanan yang didakwa pada 14 Oktober lalu dengan lima pertuduhan rasuah berjumlah RM6.35 juta (AS$1.52 million) bagi syarikat yang sama, FEHM Entity Sdn Bhd untuk mendapatkan kontrak bagi projek bahagian perisikan kementerian berkenaan.
Hakim Sabariah Othman yang mendengar pengakuan tidak bersalah oleh bekas Ketua Pengarah Bahagian Staf Perisikan, Leftenan Jeneral (Bersara) Sheikh Mokhsin Sheik Hassan, 59, Leftenan Kolonel Che Ahmad Idris, 53 dan Brigader Jeneral Mohammed Feizol Anuar Ayob, 50, mengarahkan ketiga-tiganya diikat jamin dengan masing-masing seorang penjamin bersama syarat tambahan.
"Saya membenarkan Che Ahmad dan Mohammed Feizol, masing-masing diikat jamin RM80,000 (AS$19,200) dan RM60,000(AS$14,400) dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia setiap bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.
"Sheikh Mokhsin pula dikenakan jaminan RM110,000 (AS$26,400) dengan seorang penjamin dan mengguna pakai syarat tambahan sama. Saya menetapkan 27 November ini untuk sebutan semula kes bagi kesemua tertuduh," kata Hakim itu.
Che Ahmad yang ketika itu bertugas sebagai Ketua Cawangan Peperangan Siber Strategik Bahagian Staf Perisikan Pertahanan, didakwa atas lima pertuduhan didakwa meminta RM500,000 (AS$120,000), bersetuju menerima rasuah RM500,000 (AS$120,000) dan menerima rasuah berjumlah keseluruhan RM105,000 (AS$25,200) daripada Pengarah Urusan FEHM Entity Sdn Bhd, Elias Jemadi Tajudin, untuk mencadangkan pelantikan syarikat itu secara rundingan terus bagi Bahagian Staf Perisikan Pertahanan.
Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Perumahan Tun Osman Jewa Kementerian Pertahanan, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur antara September 2019 dan April 2020.
Sementara itu, Mohammed Feizol yang ketika itu Penasihat Ketenteraan Menteri Pertahanan didakwa atas lima tuduhan menerima rasuah berjumlah RM128,000(AS$30,700) daripada Elias melalui anak perempuannya dan pengarah syarikat FEHM, Hishamuddin Johari untuk membantu menyerahkan surat niat untuk menjadi rakan strategik dan kontraktor senggaraan.
Beliau dituduh melakukan kesalahan itu beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur termasuk tempat letak kereta Masjid Khalid Al-Walid Kementerian Pertahanan, Jalan Padang Tembak,Kuala Lumpur antara 30 Oktober 2019 dan 24 Jun 2020.
Pada prosiding yang sama, Sheikh Mokhsin didakwa atas tuduhan meminta RM1 juta (AS$240,100), bersetuju menerima RM1 juta (AS$240,100) dan empat tuduhan menerima RM266,000 (AS$63,800) daripada Elias untuk meluluskan cadangan perlantikan FEHM Entity secara rundingan terus bagi Bahagian Staf Perisikan Pertahanan.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di beberapa lokasi antaranya di pejabatnya dan di sebuah hotel di Kuala Lumpur antara Jun 2019 dan Jun 2020.
Dalam pada itu, Sheikh Mokhsin juga berdepan tuduhan menerima suapan RM50,000 (AS$12,000) daripada Syed Omar Syed Mohamad kerana melantik Syarikat Malvus Sense Sdn Bhd untuk dua sistem khas bagi Bahagian Staf Perisikan Pertahanan di pejabatnya, jam 2.30 petang, pada 26 Jun 2020.
Semua ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000(AS$2,400) atau mana lebih tinggi.
Sebaik pertuduhan dibacakan, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asraf Mohamed Tahir, Nik Isfahanie Tasnim Wan Abd Rahman dan Siti Noor Hafizan Zakaria masing-masing menawarkan jaminan RM100,000(AS$24,000) terhadap ketiga mereka bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM pada setiap bulan.
Siti Noor Hafizan Zakaria turut menawarkan jaminan RM20,000 (AS$4,800) dengan seorang penjamin terhadap Sheikh Mokhsin bagi pertuduhan ketujuh.
Bagaimanapun, semua tertuduh dalam rayuan masing-masing menerusi peguam Gooi Soon Seng, Azrul Zulfikli Stork dan Mohd Shahrom Mohamad serta P G Cyril memohon dibenarkan jaminan rendah dengan alasan mempunyai tanggungan isteri dan anak.
Cyril yang mewakili Sheikh Mokhsin dalam rayuannya memberitahu mahkamah anak guamnya kini sudah bersara selain mempunyai dua anak masih belajar serta isteri yang tidak bekerja.
"Sejak ditahan pada 2 Julai lalu, tertuduh sudah memberikan kerjasama kepada semua pihak selain hadir secara sukarela ke mahkamah pada hari ini," katanya di mahkamah.
Mahkamah kemudian menetapkan 27 November ini untuk sebutan semula kes bagi kesemua tertuduh.
Kaitan dengan kes Setiausaha politik
Sementara itu, sumber SPRM berkata, setiausaha politik menteri, Mohd Azhar Che Mat Dali, 49, telah membantu syarikat tersebut untuk dipilih menjadi rakan strategik bagi Bahagian Staf Perisikan Pertahanan kementerian berkenaan.
"Ketiga pegawai ini pula memainkan peranan dalam proses seterusnya hingga meluluskan projek itu," katanya kepada BeritaBenar.
Mohd Azhar adalah setiausaha politik kepada Mohamad Sabu, ketika Presiden Parti Amanah Negara itu memegang jawatan Menteri Pertahanan sewaktu pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan.
BeritaBenar turut dimaklumkan oleh sumber SPRM bahawa agensi itu mula membuka kertas siasatan ke atas setiausaha politik tersebut sekitar 2018 selepas menerima laporan daripada orang awam yang beliau menerima lebih RM800,000 (AS$187,362) dari pihak lain untuk menyelesaikan statusnya yang muflis.
"Setiausaha politik itu diisytiharkan muflis oleh Jabatan Insolvensi pada tahun 2014 hingga Mei 2018, sebelum beberapa individu membuat bayaran kepada jabatan berkenaan bagi menyelesaikan hutang setiausaha politik itu.
"Dari daripada itu, siasatan dimulakan SPRM ke atas individu terbabit. Lebih 10 individu lain sudah dirakam keterangan pada tahun 2018 dan terkini, selepas mendapat bukti baru, kes ini disiasat dengan lebih lanjut," katanya kepada BeritaBenar.
SPRM juga turut menyita pelbagai mata wang tunai yang dianggarkan bernilai lebih RM70,000 (AS$16,845) serta dokumen berkaitan projek berkenaan ketika membuat penahanan ke atas suspek pada Julai tahun ini.
Susulan dari penahanan Mohd Azhar, tiga pegawai kanan itu turut ditahan SPRM pada bulan yang sama dan masing-masing direman selama enam hari untuk melengkapkan siasatan.