COVID-19: Malaysia Catat Peningkatan Tertinggi, 28 Kes Baharu Dalam Tempoh Sehari

Arief Rahmat
2020.03.06
Kuala Lumpur, Malaysia
200306-MY-COVID-1000.jpg Kakitangan utiliti di sebuah masjid di daerah Suan Juan di Manila, sedang membersihkan kawasan selepas pegawai kesihatan Filipina mengesahkan seorang lelaki yang sering melakukan ibadahnya di masjid berkenaan telah didapati positif dengan jangkitan COVID-19, Filipina, 6 Mac, 2020.
[Basilio Sepe/BeritaBenar]

Malaysia mencatatkan peningkatan tertinggi kes baru selepas 28 orang lagi dikesan dijangkiti virus misteri COVI-19 dalam tempoh sehari, dengan Kementerian Kesihatan memberi jaminan bahawa situasi jangkitan masih dalam kawalan dan berada pada tahap pembendungan awal.

Ketua Pengarah Kesihatan, Noor Hisham Abdullah berkata, dengan peningkatan itu, Malaysia telah mencatatkan sebanyak 83 kes setakat 12 tengah hari Jumaat dan kesemua kes terbaru itu melibatkan warganegara Malaysia.

“Terdapat 28 kes baharu jangkitan COVID-19 telah dilaporkan pada 6 Mac 2020. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 83 kes. Kes-kes positif ini adalah dalam kalangan Patient-Under-Investigation(PUI) jangkitan  COVID-19,  kontak rapat, dan mereka yang menyertai misi bantuan kemanusiaan,

“Daripada jumlah ini, 65 orang adalah warganegara Malaysia, 15 orang warganegara China dan tiga orang adalah lain-lain warganegara iaitu Amerika Syarikat, Jepun serta Itali,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Jumaat.

Noor Hisham menambah, berdasarkan kepada penilaian yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, situasi jangkitan masih berada dalam kawalan dan pada tahap pembendungan awal.

“Situasi jangkitan COVID-19 kini masih lagi dalam kawalan dan berada pada tahap pembendungan awal. Sehubungan itu, orang awam diminta untuk memberikan kerjasama sepenuh kepada Kementerian Kesihatan Malaysia bagi proses siasatan, pengesanan kontak rapat dan rawatan kepada pesakit,” tambah beliau.

Katanya kontak-kontak rapat kes terbaru itu sedang dikenal pasti untuk siasatan dan pengambilan sampel selanjutnya.

Kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan itu juga berkata, sehingga kini sebanyak 956 kontak rapat telah dikenal pasti dan daripada jumlah itu, 258 kontak rapat kepada kluster yang berkaitan dengan kes ke-26 telah dikesan dan diambil sampel.

Untuk rekod, kes ke-26 positif COVID-19 merupakan seorang kakitangan syarikat pelaburan negara Khazanah Nasional Berhad.

“Daripada kluster ini, 18 orang telah disahkan positif COVID-19, 70 orang adalah negatif namun begitu, mereka diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah untuk tempoh 14 hari. Seramai 170 orang lagi telah berjaya dikesan dan masih menunggu keputusan makmal,” tambah beliau lagi.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan juga menjalankan survelan COVID-19 bagi mengesan kes sporadik dan kes tempatan di negara itu melalui pesakit influenza-like-illness (ILI) dan jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) yang tiada kaitan dengan sejarah perjalanan ke negara yang terjejas atau kontak dengan kes positif koronavirus itu.

“Sehingga hari ini, sebanyak 430 sampel telah diuji dan setakat ini tiada sampel dikesan positif jangkitan COVID-19. Buat masa ini tiada kes sporadik COVID-19 yang dikesan melalui aktiviti survelan ini,” tambah beliau lagi.

Pihak berkuasa Malaysia juga telah mengetatkan sekatan perjalanan sementara dalam usaha mencegah penularan kes baru koronavirus, terhadap kemasukan semua pelawat tanpa mengira warganegara yang berada atau berkunjung ke beberapa bandar dan wilayah seperti yang disenarai negara itu bagi tempoh 14 hari sebelum ketibaan.

“Bandar dan wilayah terlibat adalah Lombardy, Veneto dan Emilia Romagna di Itali; Tehran, Qom dan Gila di Iran serta Hokkaido di Jepun yang terjejas teruk oleh virus tersebut. Rakyat Malaysia juga dinasihatkan agar menangguhkan sementara ke bandar dan wilayah ini, kata Noor Hisham dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Lebih daripada 93,000 kes COVID-19 telah disahkan dan sekurang-kurangnya 3,000 kematian dilaporkan di 77 buah negara dengan kebanyakan kes tertumpu di China, di mana wabak itu mula-mula dikesan, demikian menurut maklumat terkini dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).



Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.