Malaysia Tarik Balik Sekatan Terhadap Lapan Negara Afrika

Negara itu tidak lagi punya alasan untuk menyekat kemasukan dari negara terbabit berikutan penularan varian Omicron yang kini sudah tersebar di seluruh dunia.
Noah Lee & Nisha David
2021.12.28
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Malaysia Tarik Balik Sekatan Terhadap Lapan Negara Afrika Penumpang pesawat Singapore Airlines SQ108 dari Singapura dipakaikan gelang tangan sebelum menjalani ujian saringan COVID-19 Lumpur menerusi Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) udara, sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, 29 November 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Malaysia pada Selasa telah menarik balik sekatan perjalanan yang dikenakan terhadap lapan buah negara Afrika yang dianggap berisiko tinggi penularan varian baru virus COVID-19 yang dipanggil Omicron.

Putrajaya dalam pengumumannya mengenai keputusan tersebut menyatakan bahawa pembatalan sekatan berkenaan adalah kerana varian yang mempunyai kebolehjangkitan amat tinggi itu kini telah tersebar luas dan bukan hanya datang dari lapan negara berkenaan.

Dalam masa yang sama, kerajaan itu juga telah membuat keputusan untuk memendekkan sela masa dos penggalak bagi penerima vaksin lengkap jenama Pfizer serta AstraZeneca, ketika negara itu merekodkan kira-kira 300 lagi kes positif COVID-19 yang disyaki membabitkan varian Omicron.

"Kita akan menghentikan larangan perjalanan ke atas lapan negara Afrika. Kerana larangan perjalanan ini tidak lagi sesuai memandangkan Omicron juga datang dari negara-negara lain.

"Kesemua lapan negara ini akan dimasukkan ke dalam senarai negara berisiko tinggi, menjadikan jumlah negara yang berisiko tinggi kini adalah 18 buah," Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memberitahu satu sidang media yang diadakan di Kementerian Kesihatan di Putrajaya pada petang Selasa.

Negara-negara tersebut ialah Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Zimbabwe dan Malawi.

Dengan penarikan sekatan itu, pengembara yang tiba dari lapan negara tersebut akan dibenarkan menjalani kuarantin di rumah dan diwajibkan memakai peranti pengesan digital untuk memastikan mereka mematuhi arahan pengasingan.

Sebelum ini, senarai negara berisiko tinggi Omicron menyenaraikan 10 negara iaitu United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Arab Saudi, Norway, Perancis, Denmark, India, Kanada dan Nigeria.

Semasa sidang media berkenaan, Khairy juga mengumumkan yang Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengesan 366 lagi kes positif COVID-19 di kalangan pengembara yang memasuki negara itu di antara 21 dan 25 Disember lepas, dengan sebahagian besar daripada jumlah itu disyaki membabitkan varian Omicron.

"Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah menjalankan ujian PCR Genotyping Assay ke atas 366 sampel kes positif COVID-19 dalam kalangan pengembara dari 21 sehingga 25 Disember 2021.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 306 telah menunjukkan berkemungkinan (presumptive) varian Omicron dan kini menunggu keputusan ujian jujukan penuh (WGS)," kata beliau.

Setakat 25 Disember lepas, pihak berkuasa kesihatan telah berjaya mengesan 62 kes positif COVID-19 yang disahkan sebagai varian Omicron, termasuk 61 daripadanya membabitkan pengembara yang tiba dari negara luar.

Menteri itu turut menasihatkan semua pengembara yang baru tiba dari luar negara termasuk mereka yang baru pulang selepas menjalani ibadah Umrah di Arab Saudi supaya mengamalkan disiplin kuarantin yang ketat di rumah dan membuat ujian COVID-19 kendiri setiap hari.

Ujian secara kerap itu, tegas Khairy, adalah perlu memandangkan banyak kes positif Omicron yang disahkan di Malaysia hanya berjaya dikesan melalui ujian hari kelima selepas ketibaan.

"Banyak kes yang telah KKM terima di mana mereka didapati negatif dalam ujian pra-perlepasan, juga negatif dalam ujian yang dibuat semasa ketibaan (di Malaysia), tetapi mereka positif pada ujian yang diadakan pada hari kelima.

"Maksudnya, mereka dijangkiti tetapi tidak dapat dikesan dalam ujian pra-perlepasan dan ujian semasa ketibaan di pintu masuk antarabangsa. Ini adalah perkara baru yang kita pelajari mengenai varian Omicron."

Dos penggalak

Sementara itu, KKM juga telah memutuskan untuk memendekkan jangka masa di antara dos lengkap vaksin COVID-19 dengan dos penggalak bagi penerima vaksin jenis Pfizer dan AstraZeneca kepada hanya tiga bulan, berbanding tempoh enam bulan yang dipraktikkan sebelum ini.

Khairy berkata keputusan itu dibuat berdasarkan saranan yang diterima KKM daripada Kumpulan Kerja Teknikal Bagi Vaksinasi Dos Penggalak, berdasarkan bukti kukuh bahawa dos penggalak berkemungkinan boleh meningkatkan perlindungan terhadap jangkitan varian Omicron.

"Untuk Malaysia, kita buat keputusan bahawa sela masa vaksinasi dos penggalak bagi Pfizer dan AstraZeneca boleh diberi sekurang-kurangnya 3 bulan selepas pemberian dos kedua vaksin primer. Dengan itu, interval bagi vaksin Pfizer dan AstraZeneca kini juga adalah 3 bulan, bagi semua penerima berusia 18 tahun dan ke atas," umum Khairy.

Bagi pelaksanaan polisi baru pemberian dos penggalak itu, KKM akan memberikan temujanji kepada mereka yang layak mengikut keutamaan, kata Khairy, termasuk mengambil kira turutan umur penerima serta status kesihatan mereka.

Mereka yang berusia lanjut dan individu yang mempunyai penyakit kronik serta komorbiditi akan diberikan keutamaan.

"KKM jangka sebahagian besar penduduk Malaysia yang layak menerima dos penggalak akan menerimanya dalam bulan Januari dan Februari ini.

"Kita akan membuka lebih banyak pusat pemberian vaksian, samada di klinik-klinik pengamal perubatan swasta atau pusat yang akan kita buka tidak lama lagi di dewan-dewan, seperti apa yang dibuat dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan."

Pakar penyakit berjangkit Dr Christopher Lee bersetuju dengan tindakan kerajaan memendekkan sela masa untuk dos penggalak.

"Walaupun data yang ada masih terhad, kira-kira setengah dozen kajian makmal telah menunjukkan bahawa vaksinasi lengkap COVID-19 sebelum ini -- yang kebiasaannya diberi dalam dua dos -- adalah tidak mencukupi untuk menghalang jangkitan Omicron. Akan tetapi, dos penggalak mungkin boleh membantu.

"Banyak negara, termasuk AS, telah meluluskan supaya dos penggalak diberikan enam bulan selepas seseorang penerima menerima vaksinasi lengkap. Baru-baru ini, Korea Selatan, UK dan Thailand memendekkan tempoh itu kepada tiga bulan, manakala Belgium pula memendekkannya kepada empat bulan.

"Langkah ini didorong oleh kegusaran mengenai kadar kebolehjangkitan Omicron yang tinggi," kata Lee kepada BenarNews.

Pada Selasa, Malaysia merekodkan 2,897 kes baharu COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif mereka yang telah dijangkiti koronavirus itu meningkat kepada 2,746,833. Sejumlah 302 kes kini dirawat di Unit Rawatan Rapi hospital, termasuk 169 memerlukan bantuan pernafasan.

Bilangan individu yang telah mati kerana COVID-19 di Malaysia adalah seramai 31,392 orang setakat Isnin.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh