COVID-19: Perintah Lanjutan PKPB Bagi Kuala Lumpur, Selangor dan Sabah

Jangkitan penularan kes koronavirus telah mencecah lebih 100,000 dengan beberapa daerah berada dibawah Zon Merah.
Noah Lee
2020.12.28
Kuala Lumpur
COVID-19: Perintah Lanjutan PKPB Bagi Kuala Lumpur, Selangor dan Sabah Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia sedang menjalankan pemeriksaan saringan COVID-19 terhadap kira-kira 500 pekerja asing dari tapak pembinaan di Sentul yang dijalankan di perkarangan Hospital Kuala Lumpur, 29 November 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Putrajaya pada Isnin mengenakan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) keatas ibu negara Kuala Lumpur, dan dua buah negeri Selangor serta Sabah selama 14 hari lagi mulai 1 Jan, selepas mendapati kes jangkitan harian pandemik COVID-19 direkodkan menunjukkan peningkatan dengan kebanyakan daerah bertukar menjadi zon merah.

Pelanjutan perintah itu adalah kali ketujuh sejak ia mula dilaksanakan pada 14 Oktober lalu ketika negara dilanda gelombang ketiga pandemik. Sejak COVID-19 mula dikesan di Malaysia pada Januari lalu, lebih 100,000 kes telah direkodkan di dalam negara dengan menyaksikan sejumlah 455 kematian.

Menteri Kanan Keselamatan, Ismail Sabri Yaakob semasa mengumumkan mengenai lanjutan tempoh PKPB itu berkata Selangor telah merekodkan 8,194 kes baru dalam tempoh 14 hari sahaja iaitu di antara 14 dan 27 Disember, dengan Kuala Lumpur (4,379 kes) manakala Sabah pula 3,243 kes.

"Atas nasihat dan penilaian risiko Kementerian Kesihatan Malaysia, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan lagi PKPB di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Sabah sehingga 14 Januari 2021," kata Ismail pada sidang media mengumumkan keputusan kerajaan semasa satu mesyuarat khas di Putrajaya pada Isnin.

Keputusan kerajaan juga menyaksikan tiga daerah di dalam negeri Selangor, iaitu Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor yang sebelum ini dikecualikan daripada PKPB kerana tiada penularan wabak dikesan di sana, kini termasuk di bawah perintah berkenaan.

Tindakan itu diambil kerana dalam tempoh 14 hari antara 14 dan 27 Disember itu, kesemua sembilan daerah di Selangor telah berubah menjadi Zon Merah COVID-19 mengikut kaedah yang digunakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu kawasan yang dikategorikan paling berisiko dengan kes aktif melebihi 40.

Malaysia terus merekodkan jumlah pertambahan kes positif harian COVID-19 dalam julat empat digit pada Isnin, dengan 1,594 kes baharu dan sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan kes positif kepada 106,690.

Daripada jumlah yang direkodkan, Selangor mencatatkan pertambahan tertinggi dengan 697 kes, diikuti Kuala Lumpur dengan 194 kes dan Johor (191 kes).

Tiga kes kematian baharu juga direkodkan dengan dua daripadanya di Selangor manakala satu lagi di Sabah dan jumlah keseluruhan kematian akibat COVID ialah 455 orang.

Pada Sabtu lalu, Malaysia mencatatkan kes baharu COVID-19 tertinggi, dengan 2,335 kes dan sebelum itu, kes tertinggi yang pernah dicatatkan adalah pada angka 2,234 kes iaitu 10 Disember lalu.

Sementara itu, Pulau Pinang dan Johor turut menyaksikan PKPB yang dikenakan ke atas beberapa kawasan di negeri berkenaan dilanjutkan selama 14 hari bermula 1 Jan 2021 kerana terdapat kes positif COVID-19 yang tinggi.

Kawasan-kawasan berkenaan adalah Mukim 12 Barat Daya dan Mukim 13 Timur Laut di Pulau Pinang; manakala di Johor pula kawasan yang dilanjutkan PKPB adalah di Johor Bahru dan Batu Pahat, di mana PKPB di empat kawasan itu sepatutnya berakhir pada 31 Disember.

"Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, kerajaan bersetuju melanjutkan lagi PKPB di Mukim 12, Barat Daya dan Mukim 13, Timur Laut, Pulau Pinang sehingga 14 Januari 2021," kata Ismail ketika mengumumkan keputusan untuk pelanjutan PKPB untuk kawasan di Pulau Pinang.

Tiada mutasi seperti di UK dikesan

Bagi dua kawasan di Perak, iaitu daerah Ipoh dan Mukim Hulu Kinta di Chemor; serta daerah Kulai di Johor, kerajaan bersetuju supaya perintah PKPB ditamatkan pada 28 Disember selepas KKM mendapati baki kes aktif di tiga lokaliti berkenaan menunjukkan penurunan yang ketara dan terkawal.

Dalam pada itu, KKM menyatakan bahawa Malaysia masih belum melihat kes mutasi virus COVID-19 seperti yang menular di United Kingdom kini, yang pada masa ini dikenali sebagai SARS-CoV-2 VUI-202012/01.

Ketua Pengarah KKM, Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan pada Jumaat lalu berkata bahawa mereka telah dimaklumkan mengenai penemuan variasi terbaru COVID-19 itu di UK, yang mana ia mempunyai kadar kebolehjangkitan sebanyak 70 peratus lebih tinggi berbanding versi asal.

"Buat masa ini, SARS-CoV-2 VUI 202012-01 tidak ditemui di Malaysia. Institut Kajian Perubatan akan terus melakukan penjujukan genom (genome sequencing) bagi memantau keberadaan variasi ini serta variasi-variasi yang lain," kata beliau.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.