Malaysia Selaras Prosedur Kesihatan Pengembara Dari Tiga Negara Asean
2022.03.15
Kuala Lumpur
Selaras dengan persediaan Malaysia membuka semula pintu sempadannya mulai April, Putrajaya pada Selasa mengumumkan pengembara dari tiga buah negara ASEAN - Singapura, Thailand dan Kemboja tidak lagi perlu menunggu keputusan ujian saringan COVID-19 di terminal lapangan terbang sebaik tiba di negara itu.
Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata penyeragaman prosedur operasi standard kesihatan bagi laluan perjalanan udara lengkap vaksin (VTL) menerusi kaedah ‘Test and Release’ itu hanya melibatkan ketibaan pengembara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang mulai 16 Mac.
“Prosedur operasi standard [SOP] kesihatan bagi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) melalui pengangkutan udara antara Malaysia dengan Singapura, Thailand dan Kemboja akan diseragamkan dan dilaksanakan berasaskan kaedah “Test and Release” di mana pengembara tidak perlu menunggu keputusan ujian COVID-19 semasa tiba di lapangan terbang.
“Sebaliknya, pengembara hanya perlu menjalani pengambilan calitan (swab) ujian COVID-19 semasa ketibaan dan dibenarkan untuk meneruskan perjalanan ke tempat penginapan masing-masing sepertimana yang diisytiharkan dalam aplikasi MySejahtera Perintah Pengawasan dan Pemerhatian dengan menaiki kenderaan pengangkutan persendirian, teksi atau kereta sewa persendirian,” kata Menteri itu dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan Putrajaya pada Selasa.
Menurut Wee, jika keputusan negatif diperoleh, pengembara dibenarkan untuk menjalankan aktiviti mereka tetapi jika ianya positif, pengembara tersebut perlu mengikuti protokol kesihatan sedia ada yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM)
Jelasnya, penyeragaman itu dibuat bertujuan mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengembara VTL Udara yang memasuki Malaysia serta memudahkan aspek penguatkuasaan di lapangan terbang.
“Butiran lanjut mengenai syarat pra-pelepasan dan kemasukan ke Malaysia yang telah dikemaskini selaras dengan penyeragaman itu boleh didapati di laman web Jabatan Imigresen Malaysia,” kata Wee sambil menambah SOP itu dirangka berdasarkan kepada penilaian risiko semasa dan persetujuan KKM.
Butiran SOP VTL Udara melibatkan pengembara tiga negara Asia Tenggara berkenaan adalah selari dengan perancangan Malaysia untuk memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik bermula 1 April depan.
Peralihan
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa lalu mengumumkan sempadan negara itu akan kembali dibuka sepenuhnya kepada pelawat antarabangsa bermula bulan hadapan susulan pelaksanaan fasa peralihan endemik.
Malaysia telah menutup pintu sempadan antarabangsanya sejak dua tahun lalu susulan perlaksanaan langkah kawalan ketat di sempadan bertujuan mengekang penularan pandemik COVID-19.
Ismail Sabri mengumumkan bagi para pengembara yang telah melengkapkan vaksinasi akan dibenarkan untuk masuk ke negara itu tanpa perlu menjalani tempoh kuarantin, namun mereka disyaratkan mengambil ujian COVID-19 sebaik tiba dan juga 24 jam selepas ketibaan.
Cadangan pembukaan semula sempadan bagi pengembara dari Kemboja dan Thailand telah dibincangkan ketika lawatan kerja rasmi Ismail Sabri ke kedua-dua negara berkenaan bulan lalu selepas menjawat jawatan perdana menteri.
Dalam lawatan berkenaan, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Kemboja, Samdech Techo Hun Sen disusuli dengan perbincangan dengan Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-O-Cha.
Susulan pertemuannya dengan Prayuth, Ismail Sabri berkata Malaysia dan Thailand bersetuju secara dasar untuk melaksanakan VTL udara sebagai langkah permulaan pembukaan semula sempadan kedua-dua negara berjiran itu.
Ujarnya lagi, Skim VTL darat akan diperkembangkan untuk pembukaan sempadan darat melalui Bukit Kayu Hitam-Sadao, serta termasuk semua CIQ (kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin) di utara semenanjung dan Selatan Thailand, selain VTL-Laut antara Langkawi-Satun.
Tanpa vaksin kuarantin lima hari
Menteri Kesihatan Malaysia pada Rabu lalu mengumumkan pengembara yang belum lengkap vaksinasi atau tidak menerima sebarang vaksinasi COVID-19, perlu menjalani kuarantin selama lima hari, tertakluk kepada syarat ditetapkan Putrajaya sebaik menamatkan tempoh kuarantin, termasuk tidak dibenarkan makan di restoran.
Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata bagi pengembara yang dikecualikan daripada menerima vaksinasi atas faktor kesihatan, mereka disyaratkan memuat naik bukti pengecualian diberikan pegawai perubatan ke dalam aplikasi MySejahtera.
Ujarnya lagi, Kementerian Kesihatan juga menetapkan bagi pengembara yang sudah menerima vaksin COVID-19 serta individu berusia 17 tahun ke bawah, tidak perlu menjalani kuarantin.
Bagaimanapun, Khairy berkata para pengembara masih perlu menjalani ujian RTK antigen (RTK-Ag) sebaik tiba di Malaysia.