Kes COVID-19 di Malaysia dijangka terus meningkat, kata pakar kesihatan

Walaupun terdapat peningkatan kes, keadaan masih terkawal dan tidak membebankan fasiliti kesihatan sedia ada di negara itu, kata Kementerian Kesihatan Malaysia.
Ili Shazwani Ihsan
2023.12.12
Kuala Lumpur
Kes COVID-19 di Malaysia dijangka terus meningkat, kata pakar kesihatan Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (1) sedang menunggu untuk mendapatkan vaksin semasa Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bagi remaja, di Putrajaya, 20 September 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Pakar Virologi dan Kesihatan Awam Malaysia pada Selasa berkata, kes COVID-19 dijangka akan terus meningkat sehingga Januari depan selepas berlakunya peningkatan dua kali ganda bagi setiap tempoh seminggu pada bulan lepas berbanding sebelum ini.

Sikap tidak peka di kalangan masyarakat, jangkaan peningkatan jumlah kemasukan pelancong semasa musim cuti sekolah yang bakal tiba turut merupakan antara penyebab jangkitan COVID di Malaysia dan negara Asia Tenggara yang lain, kata pakar.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, terdapat peningkatan jangkitan COVID hampir sekali ganda bagi setiap minggu sejak November.

“Pada minggu epidemiologi ke-48 iaitu antara 26 November hingga 2 Disember, sebanyak 6,796 kes COVID-19 telah dilaporkan berbanding dengan 3,626 kes yang dilaporkan bagi tempoh 19 November hingga 25 November.

“Walaupun terdapat peningkatan kes COVID-19, secara keseluruhannya keadaan di Malaysia masih dalam keadaan terkawal dan tidak membebankan fasiliti kesihatan sedia ada,” kata Muhammad Radzi dalam satu kenyataan.

Menurut beliau lagi, lebih 72 peratus daripada ‘Variant of Concern’ yang dikesan adalah terdiri daripada varian Omicron diikuti dengan 26.2 peratus varian Delta dan selebihnya adalah varian Beta dan Alpha, namun tiada varian baharu yang dikesan di Malaysia setakat ini.

Menyentuh mengenai kadar kemasukan pesakit termasuk mereka yang disyaki dijangkiti virus tersebut ke fasiliti kesihatan, Muhammad Radzi berkata “Kadar kemasukan pesakit adalah 3.5 bagi setiap 100,000 penduduk dan 1.0 bagi setiap 100,000 penduduk yang bergejala ringan.”

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar mengamalkan langkah pencegahan penularan COVID-19 termasuk memakai pelitup muka di tempat awam bagi mereka yang bergejala dan juga berisiko tinggi seperti warga emas, individu dengan penyakit kronik dan ibu mengandung.

“Dinasihatkan agar mengamalkan TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform and Seek) sekiranya bergejala selain mendapatkan rawatan antiviral Paxlovid di Klinik Kesihatan terdekat bagi individu positif COVID-19 bagi mengurangkan risiko mendapat komplikasi jangkitan yang serius,” tambahnya.

Kes semasa cuti

Pada Sabtu lalu, Zaliha Mustafa yang merupakan Menteri Kesihatan pada ketika itu memberitahu media jangkaan kenaikan kes akan berlaku semasa musim perayaan Krismas yang akan disambut pada 25 Disember iaitu melalui aktiviti kunjung-mengunjung.

“Beberapa minggu kebelakangan ini memang kita lihat kes COVID meningkat… dan kita lihat kes-kes yang berlaku adalah kes ringan.. Ia tidak membebankan fasiliti kesihatan kita, namun kita tetap menggalakkan rakyat mengambil langkah segera dengan berjumpa doktor dan dapatkan saringan sekiranya bergejala,” katanya pada satu program kesihatan di ibunegara.

Mengikut data yang diperolehi dari laman sesawang Kementerian Kesihatan [KKM] sehingga 9 Disember, sebanyak 5,160,116 kes COVID secara keseluruhannya telah dilaporkan di negara itu

Pakar kesihatan berpendapat selain pergerakan semasa musim, antara faktor penyumbang kepada penularan virus tersebut adalah sikap tidak peka kebanyakan masyarakat yang mana rata-ratanya kini memandang ringan terhadap jangkitan COVID-19.

Menurut seorang Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit, Hospital Tuanku Fauziah di Perlis, Suhaila Abdul Wahab, kebiasaannya mereka yang tidak mengambil serius jangkitan virus itu adalah yang tidak mempunyai masalah kesihatan serius atau hanya mengalami gejala ringan seperti demam, batuk dan selsema.

“Sekarang segelintir masyarakat merasakan COVID-19 adalah sesuatu yang normal, mereka ni orang yang sihat, tiada masalah kesihatan dan kebanyakannya simptom ringan sahaja.

“Bila orang yang rasa sihat atau simptom (dijangkiti COVID-19) ringan sahaja mendekati orang yang ada masalah kesihatan, itu yang menjadi masalah.

“Golongan berisiko tinggi lain seperti wanita mengandung, orang tua, kanak-kanak boleh mengalami simptom yang lebih serius,” kata doktor pakar itu kepada BenarNews.

Suhaila juga mengakui trend peningkatan kes dapat dilihat di Perlis dengan jumlah kemasukan pesakit dengan simptom serius akibat jangkitan virus tersebut di hospital bertambah hampir sekali ganda sejak dua minggu lalu.

Risiko

Pelan liberalisasi visa yang antara lainnya membenarkan kemasukan pelancong dari China dan India tanpa visa selama 30 hari bermula bulan ini secara tidak langsung akan menggalakkan lagi kedatangan pelancong asing ke Malaysia.

Pakar dari Universiti Malaya Muhamad Afiq Aziz berkongsi pandangannya yang dengan kemasukan pelancong asing ke negara itu berisiko menjadi salah satu faktor penyebaran varian virus dari negara lain ditambah pula dengan budaya memakai pelitup muka sudah semakin jarang diamalkan.

“Kemasukan pelancong asing memang menjadi salah satu faktor menyebaran varian virus dari negara lain. Dengan harapan semua sudah lengkap vaksinasi, kita semakin kuat dari varian yang sedia ada.

“Budaya memakai pelitup muka sudah semakin jarang. Mungkin kerana kita sudah biasa dengan persekitaran sekarang,” kata beliau kepada BenarNews.

Malina Osman, seorang Pakar Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia bagaimanapun merasakan risiko penyebaran varian dari negara lain agak rendah buat masa ini susulan tiada penemuan varian baru yang dilaporkan.

Dalam masa yang sama, beliau bersetuju dengan jangkaan peningkatan kes dalam tempoh hingga dua bulan ekoran musim perayaan dan cuti sekolah yang akan berlangsung dalam tempoh seminggu lagi, berdasarkan pola peningkatan kes setakat ini.

“Kita tahu bahawa fasa pasca pandemik ni tidaklah sepertimana yang kita lalui sebelum vaksin ditemui dan sebahagian besar dari kita telah dijangkiti COVID dan telah menerima vaksin, jadi respon terhadap jangkitan ini tidaklah seteruk seperti mana kita pernah lalui.

“Pada pandangan saya, sebarang impak terhadap sistem perkhidmatan kesihatan kita tidak akan berlaku seperti mana yang pernah berlaku ketika COVID pada fasa delta sebelum ini,” katanya ketika dihubungi BenarNews.

Minggu lalu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengeluarkan kenyataan bahawa pelan liberalisasi visa akan tetap diteruskan meskipun terdapat kebimbangan peningkatan kes COVID-19 memandangkan pihaknya belum mendapat sebarang amaran terkini atau langkah berjaga-jaga daripada KKM berhubung perkembangan terbaharu penularan virus itu.

“Sebelum melaksanakan pelan itu, kami sudah merujuk dan berpandukan kepada nasihat daripada KKM. Namun, setakat ini kami belum mendapat sebarang amaran terkini daripada KKM,” katanya semasa sidang media pada 4 Disember.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.