Follow us

Malaysia Kerah Tentera Bantu Polis Jalankan Penguatkuasaan Perintah Kerajaan

Noah Lee
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-03-20
E-mel
Komen
Share
Anggota Polis DiRaja Malaysia bertanyakan soalan semasa sekatan jalanaraya di Jalan Tun HS Lee, Kuala Lumpur, 19 Mac 2020.
Anggota Polis DiRaja Malaysia bertanyakan soalan semasa sekatan jalanaraya di Jalan Tun HS Lee, Kuala Lumpur, 19 Mac 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia pada Jumaat mengumumkan pengerahan pasuakn tentera untuk membantu polis menjalankan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas ramai gagal mematuhi arahan tersebut, dengan Yang Di-Pertuan Agong buat pertama kalinya tampil secara langsung menerusi televisyen memohon kerjasama rakyat selepas kes COVID-19 melonjak melebihi 1,000 dengan tiga kematian.

Beberapa jam sebelum Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tampil di kaca televisyen secara langsung, Menteri Pertahanan Ismail Sabri terlebih dahulu berbuat demikian untuk memaklumkan mengenai keputusan kerajaan yang dibuat pada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri berhubung perlaksanaan PKP serta usaha menggembeleng tenaga tentera membantu polis memantau perintah yang wajib dipatuhi rakyat di seluruh negara.

"Tentera akan mula digerakkan pada Ahad ini. Kita yakin dengan bantuan dari pihak tentera, kawalan lebih baik dapat dilaksanakan dengan berharap rakyat terus patuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan," kata Ismail semasa sidang media di Putrajaya pada Jumaat.

Keputusan kerajaan itu dibuat ketika penguatkuasaan PKP masuk hari ketiga dengan rekod terkini dikeluarkan oleh pihak berkuasa kesihatan Malaysia mencatatkan kematian ketiga bagi negara itu.

Seorang lelaki rakyat tempatan, berusia 58 tahun dari Tawau, Sabah, yang juga merupakan kumpulan daripada kluster perhimpunan tabligh di sebuah masjid di Kuala Lumpur lewat Februari lepas telah meninggal dunia pada 6.27 petang Jumaat, demikian kata Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah.

Katanya kematian ketiga itu merupakan kluster kedua meninggal dunia yang menghadiri perhimpunan tersebut.

Noor Hisham berkata sebanyak 130 kes baru dilaporkan pada Jumaat menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan sehingga Jumaat adalah sebanyak 1,030 kes.

“Daripada 130 kes baru, 48 daripadanya adalah daripada kluster tabligh menjadikan jumlah kesemuanya daripada kluster berkenaan seramai 624 orang yang didapati positif dijangkiti COVID-19,” tambah Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia itu lagi.

Semasa siaran langsung titah ucapan Yang Di-Pertuan Agong yang disiarkan tepat pada jam 8 malam, Sultan Abdullah meminta semua rakyat memainkan peranan membantu membendung wabak COVID-19.

"Kepada seluruh rakyat Malaysia, saya ingin mengajak rakyat mematuhi perintah kawalan pergerakan. Jangan keluar rumah jika tiada keperluan penting.

"Saya juga minta batalkan hasrat untuk balik kampung. Jangan berkumpul atau menghadiri sebarang aktiviti sosial di luar rumah, Kepada ibubapa pengantin, saya nasihatkan tangguhkan dulu majlis kenduri sehingga keadaan beransur pulih," titah baginda.

Selain itu, Sultan Abdullah turut bertitah meminta rakyat Malaysia supaya tidak panik dalam menyediakan barang keperluan dan tidak menyebarkan berita palsu, selain mengamalkan amalan kebersihan diri yang baik.

Ismail berkata kerajaan yakin dengan bantuan daripada tentera, perintah kawalan dapat dibuat dengan lebih baik, kerana masih terdapat insiden mereka yang tidak mahu menurut arahan kerajaan, termasuk enggan bersurai walaupun diminta oleh pihak polis.

"Kami berharap tidak perlulah sampai tindakan undang-undang seperti tangkapan dibuat, tetapi pihak polis memaklumkan sudah sampai ke tahap tidak boleh berkompromi dengan cara nasihat lagi,” kata Menteri Pertahanan itu.

Dalam satu kenyataan media susulan pengumuman itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Affendi Buang berkata kolaborasi berkenaan akan disertai anggota tentera dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan darat, udara dan laut, dan akan memantapkan lagi kerjasama mereka dengan pihak polis.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya memberikan kerjasama penuh kepada anggota tentera dan polis dalam menguatkuasakan perintah tersebut "agar tidak menimbulkan sebarang permasalahan yang boleh merumitkan keadaan."

Ismail turut memberi amaran kepada lebih 4,000 peserta perhimpunan tabligh yang masih belum tampil untuk pemeriksaan dan jika masih gagal berbuat demikian dengan segera, mereka  berdepan dengan tindakan kerana polis telah dan sedang mengenalpasti mereka.

"Saya berharap tampil secara sukarela untuk buat pemeriksaan. Jangan sampai polis datang ke rumah untuk ambil mereka untuk dibawa ke klinik dan sebagainya," katanya.

Ujian saringan secara paksa

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Labuan, Muhamad Farid Ahmad memberitahu yang sepasukan anggota telah dikerahkan ke sebuah rumah di Taman Mutiara Sungai Bedaun untuk membawa seorang lelaki berusia 68 tahun menjalani ujian saringan COVID-19 secara paksa.

Farid berkata suspek berkenaan adalah kontak rapat kepada anak lelakinya yang telah menyertai perhimpunan tabligh di Kuala Lumpur itu, dan telah dipanggil untuk menjalani saringan dan kuarantin secara sukarela, namun enggan bekerjasama.

"Sepasukan polis Labuan daripada Jabatan Siasatan Jenayah dengan kekuatan seorang pegawai dan dua anggota memberikan bantuan kepada pihak hospital dan telah menggunakan kekerasan secara minima seperti peruntukkan Seksyen 15(2) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

"Subjek telah berjaya diserahkan kepada pasukan perubatan untuk menjalani ujian COVID-19 dan seterusnya menjalani perintah kuarantin selama 14 hari di Pusat Kuarantin Hospital Labuan," katanya.

Noor Hisham juga memberitahu kematian ketiga negara pada petang Jumaat itu merupakan kes ke-152 dan telah dimasukkan ke Hospital Tawau pada 9 Mac lalu, selepas mengalami simptom jangkitan serta pernafasan akut yang teruk.

"Beliau telah diberi bantuan mesin pernafasan dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada hari yang sama dan kesihatannya merosot hari demi hari dan telah disahkan meninggal dunia pada 20 Mac 2020 jam 6.27 petang," kata Noor Hisham.

Pada Selasa lalu, Menteri Kesihatan Adham Baba memberitahu media, kematian pertama dan kedua bagi Malaysia akibat jangkitan COVID-19 adalah seorang jemaah tabligh dari Johor berusia 34 tahun yang menyertai perhimpunan tabligh di Kuala Lumpur dan seorang paderi di sebuah gereja di Kuching, Sarawak, berumur 60 tahun adalah mangsa kedua.

Pihak berkuasa Malaysia menganggarkan lebih kurang 16,000 orang telah menyertai perhimpunan tabligh itu, termasuk peserta dari luar negara, dengan sebahagian daripada mereka telah tampil untuk pemeriksaan kesihatan.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik dengan mengambil kira terhadap peningkatan kes yang ketara di beberapa negara di dunia.

Malaysia melepasi Jepun untuk menjadi negara Asia ketiga tertinggi yang mempunyai jumlah kes positif COVID-19 selepas China dan Korea Selatan, menurut data yang dikemaskini oleh pakar penyakit berjangkit di Universiti Johns Hopkins di Amerika Syarikat.

Seramai 263,071 telah dijangkiti koronavirus dengan 11,147 kematian direkodkan di seluruh dunia menurut pakar penyakit berjangkit universiti berkenaan.

Nisha David di Kuala Lumpur turut membantu kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh