PM: Malaysia Capai 80 Peratus Populasi Dewasa Lengkap Vaksinasi COVID-19

Varian Delta memaksa pegawai menetapkan sasaran 90 peratus untuk mencapai imuniti kelompok.
Noah Lee & Muzliza Mustafa
2021.09.21
Kuala Lumpur
PM: Malaysia Capai 80 Peratus Populasi Dewasa Lengkap Vaksinasi COVID-19 Seorang jururawat memberikan suntikan vaksin COVID-19 kepada pelajar sekolah menengah di Putrajaya, Malaysia, 20 September 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Perdana Menteri Malaysia pada Selasa mengumumkan bahawa negara itu telah berjaya mencapai 80 peratus populasi dewasa yang mendapat vaksinasi lengkap COVID-19 ketika beberapa negara lain di Asia masih bergelut untuk memberi suntikan vaksin kepada rakyatnya.

Semasa negara di Asia Tenggara memulakan kempen imunisasi pada 24 Feb, para pegawai di Malaysia mengisytiharkan bahawa matlamat mereka adalah untuk memberikan suntikan kepada sekurang-kurangnya lapan daripada 10 orang dewasa dalam setahun untuk melengahkan penyebaran virus yang telah melanda seluruh dunia.

Sejak itu, berjuta-juta rakyat Malaysia menerima telah vaksin jenis Pfizer-BioNTech, AstraZeneca dan Sinovac dalam tempoh kurang tujuh bulan.

“Tahniah! Malaysia mencapai 80 peratus populasi dewasa negara yang telah lengkap divaksinasi,” kata Ismail Sabri dalam ciapan di laman Twitternya pada Selasa. “Teruskan usaha kita perangi COVID-19.”

Sehingga pagi Rabu (waktu tempatan), laman sesawang penjejak COVID-19 kerajaan melaporkan bahawa lebih 18.6 juta orang atau 79.6 peratus populasi dewasa negara itu telah lengkap menerima vaksin. Kira-Kira 24 juta orang daripada populasi negara yang berjumlah 32.66 juta itu berumur 18 tahun ke atas.

Angka vaksinasi untuk seluruh populasi, termasuk kanak-kanak yang belum layak, berjumlah 57.1 peratus, lapor laman sesawang penjejak itu.

Sebagai perbandingan, Thailand telah menyaksikan 22 peratus daripada keseluruhan penduduknya diberi vaksin, Indonesia 16 peratus, Filipina 11 peratus dan Bangladesh sembilan peratus, menurut maklumat yang dikumpulkan oleh ‘Our World in Data.’

Peralihan sasaran

Walaupun mencapai kejayaan itu, varian Delta yang cepat menular telah memaksa Malaysia meningkatkan jumlah vaksinasi yang diperlukan bagi mencapai imuniti kelompok, kata Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah kepada BenarNews.

"Sasaran liputan kami kini adalah melebihi 90 peratus memandangkan kebolehjangkitan varian Delta yang tinggi – jadi kita memerlukan sekurang-kurangnya 90 peratus populasi dewasa (untuk mencapai imuniti kelompok)," kata Noor Hisham.

Selain itu, remaja akan turut menerima suntikan vaksin dan kerajaan telah meluluskan pemberian vaksin Pfizer kepada 3.2 juta remaja berusia lingkungan 12 hingga 17 tahun. Sekurang-kurangnya 60 peratus dijangka menerima suntikan dos pertama pada November, menurut Kementerian Kesihatan.

Ketika ditanya jika langkah itu akan mewujudkan imuniti kelompok, Noor Hisham berkata ia bergantung kepada virus COVID.

"Jika virus terus bermutasi maka kita tidak dapat mencapai imuniti kelompok," katanya sambil menambah memandangkan virus selesema bermutasi maka vaksinasi tahunan diperlukan. "Jadi, liputan sasaran itu penting."

Carta maklumat COVID-19 Universiti Johns Hopkins baru-baru ini telah mengubah cara menilai kes COVID-19 bagi setiap negara dengan mengukur jumlah selama 28 hari dan bukannya jumlah keseluruhan jangkitan sekali gus menjadikan Malaysia sebagai negara ketujuh yang paling teruk dilanda pandemik itu, iaitu satu tangga di atas Filipina.

Carta itu telah menyatakan bahawa Malaysia mencatatkan hampir 540,000 jangkitan sepanjang empat minggu terakhir. Pegawai kesihatan melaporkan 15,759 jangkitan pada Selasa - hampir 9,000 lebih rendah berbanding 24,599 yang dicatatkan pada 26 Ogos - sebelum negara itu mula menyaksikan trend penurunan.

Sejak pandemik itu bermula, Malaysia telah mencatatkan lebih 2.1 juta jangkitan COVID-19 dan hampir 23,750 kematian.

Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan meramalkan jumlah jangkitan baharu akan terus menurun apabila semakin ramai yang diinokulasi.

"Kita akan mempunyai kurang daripada 1,000 kes (harian) pada akhir November."

Suntikan penggalak

Pada Ahad, Ismail Sabri mengumumkan bahawa kerajaan telah bersertuju memberi suntikan dos ketiga vaksin COVID-19.

“Keutamaan bagi suntikan dos ketiga ini akan diberi kepada kumpulan berisiko tinggi terlebih dahulu termasuk petugas kesihatan barisan hadapan, pesakit kurang daya tahan imun, warga emas dengan komorbiditi serta individu yang tinggal atau bekerja di pusat jagaan jangka panjang selepas liputan imunisasi populasi dewasa melebihi 80 peratus,” menurutnya dalam satu kenyataan.

“Dos ketiga ini dapat meningkatkan tahap imuniti dalam kalangan individu berisiko tinggi terhadap jangkitan COVID-19 yang mungkin menurun dalam tempoh tertentu selepas dos kedua,” kata Perdana Menteri.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pula berkata para pegawai dijangka mula memberikan dos penggalak pada awal Oktober.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.