Malaysia Rancang Ubah Tahap Sekatan COVID-19 Atas Faktor Ekonomi

Langkah kawalan lebih longgar akan diperkenalkan bulan hadapan bagi kurangkan impak negatif pada ekonomi, kata Ketua Pengarah Kesihatan.
Noah Lee & Hadi Azmi
Kuala Lumpur
2021-01-25
Share
Malaysia Rancang Ubah Tahap Sekatan COVID-19 Atas Faktor Ekonomi Kakitangan perubatan sebuah klinik swasta lengkap berpakaian peralatan perlindungan diri (PPE) sedang mengambil sampel dari seorang pelanggan secara pandu lalu bagi ujian COVID-19 di Jalan Pudu, Kuala Lumpur, 19 Januari 2021.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]


Malaysia berharap untuk melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang COVID-19 di hampir seluruh negara itu, kata Ketua Pengarah Kesihatannya pada Isnin, ketika adanya spekulasi bahawa kerajaan hampir menutup ekonomi negara tersebut selepas 4 Februari kerana kebanyakkan kes jangkitan pandemik dilaporkan datang dari sektor perusahaan.

Pada hari yang sama juga, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menyelar keputusan Putrajaya membenarkan sektor pembuatan terus beroperasi semasa perlaksanaan PKP dengan menyatakan bahawa tindakan itu adalah sesuatu yang bertentangan dengan usaha mengawal pandemik kerana kebanyakan kes positif baharu datangnya dari kluster tempat kerja yang melibatkan sektor berkenaan.

Noor Hisham memberitahu media bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan jumlah kes dapat dikawal dengan pelaksanaan PKP selama sebulan sebelum digantikan dengan PKP Bersyarat untuk tiga bulan selepas itu bagi menurunkan bilangan kes harian.

"Kita menjangkakan PKP dilaksana selama empat minggu. Kita tidak mahu memanjangkan tempoh PKP kerana ia memberikan kesan terhadap ekonomi. Kena ada keseimbangan di antara kesihatan dan kelangsungan hidup

"Jadi kita jangka PKP sehingga awal Februari, disusuli PKP Bersyarat dalam tiga bulan selepas itu. Dengan PKP dan PKP Bersyarat ini, kita turut menjangka dapat mencapai penurunan kes harian sehingga ke dua digit pada 11 Mei ini," kata beliau semasa satu sesi taklimat bersama media yang diadakan secara maya pada hari ulangtahun pertama penemuan kes COVID-19 di Malaysia.

KKM menganjurkan taklimat itu bagi memberikan perkembangan terkini situasi pandemik di Malaysia sepanjang tempoh setahun, dengan turut disertai tiga pakar kesihatan yang memberikan penerangan mengenai usaha terkini pihak berkuasa kesihatan dalam mengkoordinasi usaha merawat dan memantau pesakit COVID-19 termasuk mereka yang perlu menjalani kuarantin di rumah.

Sejak negara dilanda gelombang ketiga penularan wabak pada Oktober tahun lalu, bilangan kes positif COVID-19 terus mencatatkan peningkatan hampir setiap hari. Pembatalan larangan rentas daerah dan negeri oleh kerajaan pada bulan Disember kemudiannya menyaksikan jumlah kes terus meningkat dengan lebih teruk sehingga mencecah empat digit sehari dan memaksa kerajaan kembali mengenakan PKP pada 13 Januari lalu dan dijadualkan berakhir 4 Februari ini.

Menurut kenyataan media harian KKM, Malaysia merekodkan 3,048 kes baharu pada Isnin, menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 meningkat kepada 186,849 dengan 11 lagi kes kematian, sekaligus membawa jumlah keseluruhannya 689 orang meninggal akibat pandemik itu.

Noor Hisham berkata bahawa PKP yang dilaksanakan kini adalah bagi menstabilkan kadar kebolehjangkitan wabak COVID-19 dengan sehingga Isnin, kadar R-nought yang digunakan bagi mengukur kebolehjangkitan virus berada pada tahap 1.06.

"Hari ini R-nought kurang sedikit berbanding 1.2 semalam, iaitu 1.06. Mungkin esok jika kita boleh kurangkan lagi daripada 1.06. Kalau boleh kurang daripada 1. Harap dalam dua minggu dapat elakkan lonjakkan kes tetapi berada dalam keadaan stabil," kata beliau.

Nilai R-nought 100 bermakna setiap 100 kes positif boleh menyebarkan virus kepada 106 individu lain, terang beliau.

Tidak konsisten

Dalam pada itu, Anwar yang merupakan Pengerusi parti pembangkang Pakatan Harapan mempertikaikan tindakan kerajaan yang didakwanya tidak mengambil tindakan tegas terhadap sektor pembuatan bagi mengawal penularan pandemik di kalangan pekerja mereka.

"Terdapat banyak laporan yang menyatakan berlakunya pelanggaran prosedur operasi standard di dorm-dorm pekerja asing. Mengapa syarikat dan kilang ini masih dibenarkan beroperasi tanpa dikenakan hukuman?," soal Anwar.

Anwar berkata Putrajaya juga tidak konsisten dalam menjalankan penguatkuasaan undang-undang berkaitan pandemik, sehingga menimbulkan keresahan orang ramai.

"Keputusan kerajaan memantau, menguatkuasa prosedur operasi standard itu kadang kala tidak konsisten. Kadang kala keras, kadang kala lembut, kadang-kadang masa cuti-cuti diberikan kelonggaran luar biasa," tambah beliau.

Anwar turut membangkitkan mengenai sepucuk surat yang dikeluarkan oleh Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah (Eurocham) terhadap ahli-ahlinya baru-baru ini, yang menyenaraikan beberapa syor oleh Kementerian Perdagangan dan Industri Antarabangsa (MITI), yang antara lainnya menggesa semua ahli Eurocham menyertai usaha memutuskan rantaian jangkitan COVID-19, dan memberi amaran bahawa kerajaan akan melaksanakan PKP lebih ketat selepas 4 Februari, sekiranya kadar jangkitan tidak berkurangan.

"Surat EUROCHAM itu termasuk syor-syor oleh MITI pada sektor pembuatan. Cadangan-cadangan ini sepatutnya telah dilaksanakan beberapa bulan yang lalu. Sekarang masa untuk penguatkuasaan yang tegas, bukan memberi muka pada sektor-sektor ini.

"Surat EUROCHAM itu mengesahkan apa yang dirasakan oleh ramai rakyat Malaysia seperti yang dipanjangkan kepada saya bahawa langkah dan tindakan kerajaan dalam menangani COVID-19 di negara ini cukup lemah dan ketinggalan," tegas Anwar.

Impak ekonomi

Bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Christopher Lee ketika ditanya BeritaBenar mengenai PKP yang dilaksanakan kini berkata bahawa faktor ekonomi adalah antara isu utama yang akan dipertimbangkan dalam menentukan berapa ketat sesuatu peraturan dibuat.

"Impak dalam menurunkan jumlah kes bergantung kepada berapa ketat sesuatu perintah kawalan itu. Dan ia bergantung kepada pandangan kerajaan samada ekonomi Malaysia mampu bertahan jika satu perintah berkurung secara penuh dilaksanakan," kata beliau kepada BeritaBenar.

Selain perintah berkurung, Lee menambah bahawa jumlah kes yang tinggi direkodkan di tempat kerja menunjukkan tahap kekurangan pematuhan penjarakan fizikal oleh mereka yang terlibat.

"Ini perlu dikaji semula dengan segera kerana jika kita terus melihat kluster tempat kerja semasa PKP, maka kita boleh jangkakan situasi yang lebih memburuk apabila lebih banyak sektor pekerjaan dibuka semula selepas PKP," kata Lee.

Sementara itu, Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) yang mewakili sektor pembuatan negara berkata sektor itu tidak boleh bertahan jika PKP secara total seperti yang dilaksana pada Mac tahun lalu dibuat sekali lagi.

"Perintah berkurung secara penuh akan membawa kepada kerosakan yang tidak mampu diperbaiki lagi terhadap sektor perniagaan dan ekonomi, dengan kesan yang amat buruk terhadap kebolehan perniagaan untuk bertahan serta jaminan pekerjaan.

"Oleh itu, adalah amat penting untuk industri ini memberikan kerjasama penuh dan memainkan peranan mereka dengan melaksanakan langkah proaktif dan pencegahan tambahan, dengan memperketatkan SOP di tempat kerja serta kediaman pekerja," kata Presiden FMM Soh Thian Lai dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai 318 kluster aktif, di mana 99 daripadanya, atau 30 peratus, adalah membabitkan kilang-kilang dan tapak kerja yang berkaitan sektor pembuatan.

"Ia mesti diakui bahawa selagi pandemik berterusan, perkembangan dan pelaburan oleh sektor swasta akan terus dihimpit, serta pemulihan ekonomi akan terus berjalan secara perlahan.”

Pakar ekonomi Nazari Ismail dari Universiti Malaya memberitahu BeritaBenar bahawa impak perintah berkurung secara total akan menjadi sesuatu yang "luar biasa".

"Lebih banyak perniagaan akan gulung tikar dan banyak keluarga akan terkesan, terutama jika bank tidak melanjutkan moratorium pinjaman. Kita akan menyaksikan senario di mana lebih ramai yang terseksa terutama dikalangan kumpulan B40," kata Nazari.

Vaksinasi pekerja asing

Dalam pada itu, sekumpulan aktivis hak pekerja asing pada Isnin menggesa kerajaan supaya tidak menyisihkan pekerja asing, pelarian, pemohon suaka dan warganegara luar yang berada di negara itu dalam program vaksin COVID-19.

Tenaganita, salah satu NGO dalam gerakan dipanggil Migrant Workers' Right to Redress Coalition (MWR2R), berkata usaha mesti dilakukan bagi memastikan semua golongan tersebut dapat akses kepada program vaksinasi dan tidak diketepikan atas apa-apa alasan.

"Kita menggesa kerajaan supaya mempertimbangkan supaya semua individu termasuk pekerja asing sah atau tidak sah, dari pelbagai sektor termasuk komuniti pelarian, pasangan warganegara asing dan mereka yang tanpa negara untuk turut menerima vaksin.

"Jika kita tidak berbuat demikian, akan ada kelompongan yang serius dalam kebolehan usaha vaksinasi bagi membawa perubahan kepada pandemik," kata Glorene Das, pengarah eksekutif Tenaganita.

Dalam satu kenyataan bersama, kumpulan berkenaan menambah bahawa situasi pandemik telah digunakan sebagai alasan oleh majikan dan ejen pekerjaan untuk melayan pekerja asing dengan sewenang-wenangnya, dengan pihak imigresen pula membuat keputusan sewenang-wenangnya berkenaan status dan masa depan warga asing.

"Kami meminta satu mesyuarat dengan Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Kesihatan bagi membincangkan pelan mereka, kami menggesa kerajaan untuk menginstitusikan mesyuarat antara agensi kerajaan dengan organisasi sivil bagi memastikan komunikasi efektif bagi kebaikan masyarakat," kata gabungan itu.

Minggu lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata bahawa Malaysia telah memberikan komitmen sebanyak RM2.05 bilion (AS$504.4 juta) bagi mendapatkan vaksin COVID-19 bagi vaksinasi meliputi 82.8 peratus populasinya mulai penghujung bulan depan melalui perjanjian dengan Covax, Pfizer dan AstraZeneca serta tiga lagi yang masih sedang dalam rundingan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh