Follow us

Pelajar Tahfiz Selangor Positif COVID, Putrajaya Perketat PKP Fasa Dua

Noah Lee & Hadi Azmi
Putrajaya, Malaysia
2020-03-30
E-mel
Komen
Share
Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia menggunakan jentera untuk menjalankan kerja-kerja pembasmian kuman atau disinfeksi di kawasan paling sibuk berhampiran Pasar Air Itam di Pulau Pinang, 30 Mac, 2020. [S. Mahfuz/BeritaBenar]
Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia menggunakan jentera untuk menjalankan kerja-kerja pembasmian kuman atau disinfeksi di kawasan paling sibuk berhampiran Pasar Air Itam di Pulau Pinang, 30 Mac, 2020. [S. Mahfuz/BeritaBenar]
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Pihak berkuasa kesihatan Malaysia pada Isnin percaya 90 pelajar sebuah sekolah agama di Selangor yang positif virus COVID-19 "berkemungkinan besar" mempunyai kaitan dengan perhimpunan tabligh di Kuala Lumpur, dengan Putrajaya mahu perketat Perintah Kawalan Pergerakan fasa dua.

Kerajaan pada hari yang sama juga memberitahu bahawa fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan bermula pada Rabu akan menyaksikan peraturan PKP diperketatkan termasuk menghadkan masa operasi antara jam 8 pagi dan 8 malam, bagi mengekang penularan virus tersebut.

Ketua Pengarah Jabatan Kesihatan Malaysia Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan berlakunya peningkatan kes positif COVID-19 di Hulu Langat, Selangor, iaitu sebanyak 90 kes dan ianya melibatkan penghuni Madrasah Nabawiyyah di Kampung Sungai Lui.

“Kluster itu (yang dijangkiti) mungkin ada kaitan dengan perhimpunan tabligh. Jadi, kita lihat dalam masa satu bulan…. kluster tersebut, peserta perhimpunan tabligh telah menyebarkan virus itu kepada generasi kedua, ketiga, keempat sehingga generasi ke lima.

Mungkin ada di antara penduduk di Hulu Langat atau Kampung Sungai Lui yang positif,” kata Noor Hisham pada satu  dalam sidang media di Putrajaya.

KKM mengesan 71 kes di sekolah tersebut dua hari lepas, yang sekaligus membawa kepada penutupan sepenuhnya tujuh perkampungan berhampiran, kawasan itu di bawah inisiatif PKP Diperketatkan (PKPD).

Menurut Noor Hisham, statistik terkini menunjukkan daerah Hulu Langat merekodkan sejumlah 271 kes, termasuk kes jangkitan pelajar madrasah tersebut.

Data KKM merekodkan sebanyak 14,111 saringan telah dibuat melibatkan kluster perhimpunan tabligh, dengan 1,290 daripadanya positif COVID-19.

Ia sekaligus menjadikan kluster tersebut adalah kluster terbesar di Malaysia setakat ini, yang mencatatkan jumlah keseluruhan 2,626 kes positif.

Pihak berkuasa sebelum ini menganggarkan seramai 16,000 orang telah menyertai perhimpunan tabligh yang diadakan di Masjid Jamek Sri Petaling, di Kuala Lumpur daripada 27 Februari hingga 1 Mac lalu, termasuk 1,500 daripadanya adalah rakyat negara asing.

Sementara itu, seorang guru yang keluarganya menetap di sebuah kampung di Hulu Langat, Mazlizah Idris, 33, mendakwa jangkitan virus tersebut hanya melibatkan pelajar sekolah tahfiz  berkenaan, dan mereka semua telah dikuarantin di dalam premis itu lebih awal lagi.

"Tiada penduduk Sungai Lui yang terjangkit, mereka yang positif hanyalah anak-anak tahfiz yang menghafal Al-Quran di sekolah itu. Bagaimana mereka boleh terjangkit, saya dimaklumkan bahawa salah seorang daripada pengajar mereka telah menghadiri perhimpunan tabligh di Sri Petaling tempoh hari," dakwanya.

Kematian dan kes positif terus meningkat

Sepanjang hujung minggu lalu, Malaysia terus mencatatkan peningkatan kes positif dan kematian disebabkan COVID-19 dengan statistik terbaru yang dikeluarkan KKM pada Isnin, menrekodkan seramai 37 kematian termasuk penambahan tiga kes terbaru.

Manakala bagi jumlah kes positif adalah sebanyak 2,626, iaitu 150 kes baru dilaporkan pada Isnin.

Sebanyak tujuh kematian direkodkan pada Ahad, iaitu jumlah tertinggi angka kematian akibat COVID-19 setakat ini.

Menurut KKM lebih separuh dari kes kematian melibatkan warga tua berumur 60 tahun ke atas dan lebih 60 peratus melibatkan pesakit yang mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, buah pinggang dan juga sakit jantung.

Dalam pada itu, Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob mengumumkan yang kerajaan akan memperketatkan PKP fasa kedua yang bermula Rabu ini sehingga 14 April dengan tindakan lebih tegas oleh pihak berkuasa terhadap mereka yang engkar mematuhinya.

“Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-menteri berkaitan PKP pada pagi Isnin telah memutuskan supaya premis menjual makanan harian hanya dibenarkan beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam semasa fasa kedua PKP,  yang meliputi restoran, stesen minyak, serta khidmat penghantaran ke rumah.

“Operasi pengangkutan awam dikekalkan dari dari 6 pagi hingga 10 pagi dan 5 petang sehingga 10 malam,” katanya.

Beliau berkata aktiviti riadah dilarang termasuk di kawasan awam dan persendirian, tetapi memberi sedikit kelonggaran kepada golongan autism dan Orang Kurang Upaya bagi mendapatkan terapi, namun tetap tidak boleh dilakukan secara berkumpulan.

Dalam pada itu, kawasan di Sungai Lui bermula dari Batu 21 hingga Batu 24 pula menjadi lokasi kedua Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan bermula Isnin diikuti pengumuman ketiga penutupan keseluruhan bangunan Kondominium Menara One City di Jalan Munshi Abdullah di Kuala Lumpur yang akan berkuatkuasa Selasa.

"Tujuan PKPD dilaksanakan di kesemua kawasan itu adalah untuk membendung jangkitan COVID-19 daripada menular keluar," kata Ismail Sabri.

Minggu lalu dua buah kawasan di daerah Kluang di Johor menjadi kawasan pertama diarah menjalani PKPD selepas KKM merekodkan 61 kes positif berbanding 83 kes keseluruhan dalam daerah itu.

Ismail Sabri juga memaklumkan bahawa sehingga Ahad seramai 828 orang telah ditahan kerana melanggari perintah PKP.

Beliau berkata pelaksanaan fasa kedua juga menyasarkan pengurangan jumlah mereka yang engkar arahan PKP, dan ia akan dikuatkuasakan dengan penambahan jumlah sekatan jalan raya serta anggota penguatkuasa.

Malaysia kaji kit dari luar negara

Sementara itu, Noor Hisham memaklumkan bahawa KKM telah membuat keputusan untuk tidak memesan kit pengesan yang dihasilkan sebuah syarikat dari China selepas ujian ke atas produk berkenaan mendapati ianya tidak menghasilkan keputusan yang bagus.

"Kita telah melaksanakan ujian ke atas jenama dari China, namun ketepatannya tidak berapa bagus. Institut Kajian Perubatan (IMR) telah mengenalpasti bahawa jenama itu tidak sesuai," kata Noor Hisham.

Tambahnya, Malaysia tidak mahu mengulangi kesilapan dilakukan oleh negara Sepanyol, yang baru-baru ini telah membeli sejumlah 200,000 unit antigen yang berketepatan rendah, dan kemudiannya mengambil keputusan untuk tidak menggunakan kit berkenaan.

Sebaliknya, katanya KKM telah menjalankan ujian ke atas kit dari Korea Selatan dan sekiranya kit itu menunjukkan keputusan yang berketepatan tinggi, pihak berkuasa kesihatan itu bercadang untuk memesan sebanyak 1 juta unit.


Lihat Laman Penuh