Follow us

Malaysia: 315 Kanak-Kanak Dijangkiti COVID-19

Noah Lee & Nisha David
Putrajaya, Malaysia
2020-04-16
E-mel
Komen
Share
Anggota tentera lengkap bersenjata mengawal semua pintu masuk dan persekitaran ke Flat Selangor Mansion dan Malayan Mansion semasa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di Kuala Lumpur,  15 April 2020.
Anggota tentera lengkap bersenjata mengawal semua pintu masuk dan persekitaran ke Flat Selangor Mansion dan Malayan Mansion semasa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di Kuala Lumpur, 15 April 2020.
[S. Mahfuz/BeritBenar]

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Khamis memaklumkan bahawa seramai 315 orang kanak-kanak berusia 14 tahun dan ke bawah adalah antara mereka yang disahkan positif virus COVID-19 termasuk 83 daripadanya berusia bawah 4 tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kanak-kanak positif COVID-19 itu mewakili 6 peratus dari jumlah keseluruhan kes yang dicatatkan negara dengan sebab utama jangkitan melibatkan golongan itu adalah melalui ibubapa mereka.

"Dilihat pada data, setakat ini kanak-kanak berumur 4 tahun dan ke bawah yang dijangkiti COVID adalah seramai 83 kanak-kanak, manakala bagi umur antara 5 dan 9 tahun juga 83 orang lagi.

"Bagi yang berumur 10 ke 14 tahun, rekod menunjukkan seramai 149 pesakit dan ini sekaligus bermakna jumlah keseluruhan pesakit positif COVID-19 yang berusia di bawah 14 adalah seramai 315 orang, bersamaan lebih kurang enam peratus," kata beliau dalam sidang media di Putrajaya.

Malaysia sehingga kini merekodkan 5,182 kes positif COVID-19 dengan 84 kematian sehingga Khamis, di mana lebih 50 peratus kes telah pulih sepenuhnya.

Beliau berkata punca jangkitan  terhadap kanak-kanak adalah melalui ibu bapa atau dari ahli keluarga lain yang positif COVID-19.

Ketua Pengarah itu, bagaimanapun tidak memberikan angka pecahan bilangan pesakit bawah umur yang dijangkit bersama ahli keluarga namun memaklumkan ada beberapa kes yang melibatkan hanya kanak-kanak.

Katanya, bagi kes kanak-kanak yang positif bersama ahli keluarga, mereka ditempatkan di dalam wad atau bilik yang sama bagi memudahkan penjagaan.

"Tetapi, dalam kes di mana ibu bapa tidak mendapat jangkitan, jika mereka ingin menjaga anak di dalam wad, mereka perlu menandatangani borang kebenaran dan perlu memakai pakaian perlindungan diri (PPE) ketika bersama anak mereka," tambahnya.

Kit ujian Korea Selatan


Sementara itu, Noor Hisham juga memberitahu yang kerajaan telah membuat tempahan kit ujian cepat (KUC) untuk mengesan antigen COVID-19 dari sebuah syarikat yang berpangkalan di Korea Selatan, dengan merancang untuk mula ujian pengesanan virus itu secara besar-besaran sebaik produk tersebut tiba awal minggu hadapan.

Katanya, hasil ujian yang dilaksanakan KKM keatas satu jenama KUC yang dikeluarkan oleh syarikat SD Biosensor dari Korea Selatan menunjukkan hasilnya begitu memberangsangkan.

Menurut beliau, kit ujian itu mempunyai kadar sensitiviti 84.4 peratus, manakala kadar ketepatan pula adalah 100 peratus.

"Jika kita menggunakan alat pembaca ‘fluorescence’, kadar sensitiviti ini boleh ditingkatkan lagi," katanya sambil menambah kit KUC itu boleh dilaksanakan di klinik atau hospital tanpa perlu menghantar sampel ke makmal untuk diuji.

Belaiu berkata, ia adalah berbeza jika dibandingkan dengan ujian rt-PCR (Reverse transcription polymerase chain reaction) yang digunakan setakat ini, di mana semua sampel perlu diuji di makmal dan memakan masa sekurang-kurangnya enam jam.

"Kita akan meneruskan rancangan untuk menguji populasi negara menggunakan KUC antigen ini. Kita cuba untuk jalankan ujian dan telah membuat tempahan KUC serta berharap minggu hadapan boleh mendapatkan kit ujian tersebut," tambah beliau lagi.

Noor Hisham tidak menyatakan jumlah KUC yang ditempah oleh KKM dari SD Biosensor, namun beliau pernah memberitahu sidang media sebelum ini bahawa pihaknya merancang untuk membeli sehingga 200,000 unit.

Sebelum ini, KKM pernah mengadakan ujian ke atas beberapa jenis KUC termasuk yang dikeluarkan oleh beberapa syarikat lain dari China dan Korea Selatan tetapi tidak meneruskan pembelian setelah mendapati produk berkenaan tidak mempunyai sensitiviti yang tinggi bagi mengesan kehadiran virus COVID-19 pada sampel.

Nasib rakyat sertai himpunan tabligh di India

Dalam pada itu, Kementerian Luar Negeri pada hari yang sama turut memaklumkan bahawa Malaysia sudah mula berunding dengan kerajaan India berhubung 17 rakyat Malaysia yang menyertai himpunan tabligh di New Delhi yang kini ditahan atas kesalahan penyalahgunaan visa di negara itu.

Timbalan Menteri Luar Kamarudin Jaffar berkata, berdasarkan maklumat awal, 17 rakyat Malaysia itu ditahan mengikut undang-undang India di bawah Akta Pengurusan Bencana Negara 2015, Akta Warga Asing 1946 dan Kanun Keseksaan. (National Disaster Management Act 2015, Foreigners Act 1946 dan Indian Penal Code)

"Buat masa ini, Wisma Putra sedang dalam proses mengenal pasti permasalahan dan mendapatkan cerita sebenar di sebalik isu ini daripada kerajaan India. Kita juga amat mengambil berat dan akan pastikan mereka yang ditahan ini berada dalam keadaan baik,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di Putrajaya.

Secara keseluruhannya, seramai 191 jemaah tabligh warganegara Malaysia sedang dikuarantin di India walaubagaimanapun maklumat rasmi daripada kerajaan negara itu berhubung status rakyat Malaysia yang dikuarantin termasuk tempoh mereka akan diletakkan di pusat tersebut dan tindakan susulan selepas proses itu selesai masih belum diketahui.

Menurut Kamarudin, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi telah menghulurkan bantuan termasuk memberikan pek penjagaan diri kepada sebahagian daripada jemaah tabligh yang sedang dikuarantin itu.

"Saya berharap jangan ada mana-mana pihak yang mempolitikkan isu ini apatah lagi mengaitkannya dengan isu keagamaan. Perkara ini bukan sahaja akan menimbulkan pelbagai salah faham dalam kalangan masyarakat bahkan boleh merumitkan rundingan antara kedua-dua negara," katanya.

Ibu pejabat jemaah tabligh itu di Delhi disita dua minggu lalu, sementara ribuan ahlinya termasuk lapan rakyat Malaysia ditahan untuk diasingkan selepas mereka menghadiri perhimpunan yang berlangsung antara 1 hingga 15 Mac lalu.

Menurut laporan agensi berita Reuters, pihak berkuasa India sebelum ini mendakwa pemimpin tabligh di India Muhammad Saad atas tuduhan melanggar larangan perhimpunan namun dikenakan pertuduhan tambahan atas kesalahan cubaan menyebabkan kematian.

Pertuduhan yang setara dengan peruntukan sama dalam Kanun Jenayah di Malaysia itu memperuntukkan hukuman tidak lebih 10 tahun.

Jurucakap kumpulan tabligh Mujeeb-ur Rehman dipetik berkata tidak dapat mengesahkan perkembangan terbaru ini.

Awal bulan ini, pihak berkuasa kesihatan India berkata seorang dalam setiap tiga kes jangkitan COVID-19, yang ketika itu hampir 3,000 kes, melibatkan mereka yang hadir dalam perhimpunan jemaah tabligh atau mereka yang mempunyai kontak dengan pesertanya.

Setakat hari ini, India mengesan 12,380 kes positif COVID-19 dengan 414 kematian dan daripada keseluruhan jangkitan itu, dianggarkan hanya sekitar 12 peratus telah sembuh.

Semakan statistik lebih terperinci setakat data semalam juga menurut Reuters menunjukkan hampir 70 peratus kes di Delhi adalah dari kluster jemaah tabligh.

Lihat Laman Penuh