Malaysia Rekod Dua Kematian Pertama COVID-19

Noah Lee
2020.03.17
Kuala Lumpur, Malaysia
200317-MY-CovidAirport02.jpg Orang ramai berpusu-pusu menanti giliran di kaunter tiket syarikat penerbangan untuk pulang ke kampung halaman atau balik ke negara asal masing-masing, selepas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari bermula Rabu, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di Sepang, Selangor, 17 Mac 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia pada Selasa mengumumkan dua kematian pertama akibat COVID-19 yang melibatkan rakyat tempat dengan masing-masing seorang di Semenanjung dan seorang lagi di kepulauan Broneo, di negeri Sarawak.

Menteri Kesihatan, Adham Baba berkata, mangsa pertama ada seorang lelaki berusia 34 tahun yang juga adalah daripada kluster perhimpunan tabligh di Kuala Lumpur hujung bulan lepas, dan berasal dari Johor, manakala mangsa kedua adalah seorang paderi dari Sarawak yang berumur 60 tahun.

Katanya kedua-dua mangsa telah dimasukkan ke hospital kerajaan di Johor dan Sarawak selepas mereka didapati positif COVID-19 awal bulan ini.

"Dukacita dimaklumkan terdapat dua kematian COVID-19, iaitu kes ke-178 dan kes ke-358, dilaporkan kepada Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia pada hari ini," kata Adham dalam satu sidang media di ibupejabat Kementerian Kesihatan di Putrajaya pada Selasa.

Menurut menteri lagi itu, Malaysia turut merekodkan sebanyak 120 kes baru menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 meningkat kepada 673 kes.

“Daripada jumlah itu, kebanyakannya adalah daripada kluster perhimpunan tabligh iaitu seramai 428 kes. Sejumlah 12 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi kerana memperlukan bantuan mesin pernafasan,” tambahnya lagi.

Walaupun KKM tidak mengumumkan identiti mangsa yang meninggal dunia, pesakit bernombor 358 telah dikenalpasti oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak sebagai seorang paderi daripada Emmanuel Baptist Church di Kuching.

Satu kenyataan media juga telah dikeluarkan oleh jawatankuasa berkenaan memaklumkan mengenai kematian paderi tersebut sekitar pukul 11 pagi Selasa, di Hospital Umum Sarawak (HUS).

"Seramai 193 kontak rapat mangsa telah dikesan dan sedang menjalani kuarantin di rumah," menurut kenyataan tersebut.

Menurut Menteri Kesihatan, paderi berkenaan mempunyai sejarah penyakit kronik, termasuk diabetes mellitus dan darah tinggi, dan telah menunjukkan simptom demam, batuk dan kesukaran bernafas sejak 7 Mac lalu.

Mangsa kemudian dimasukkan ke HUS pada Mac 14 selepas didapati positif COVID-19, sebelum keadaannya berubah menjadi lebih teruk dan dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi sehingga kematiannya.

Adham berkata, mangsa dari Johor pula tidak mempunyai sejarah penyakit lampau tetapi pemeriksaan oleh pihak berkuasa kesihatan mendapati kematiannya "disebabkan oleh COVID-19 sepenuhnya".

“Mangsa mula menunjukkan simptom demam pada 5 Mac, dan dimasukkan ke Hospital Permai di Johor Bahru untuk rawatan pada Mac 12 selepas ujian ke atasnya menunjukkan keputusan positif COVID-19. Bagaimanapun terpaksa dipindahkan ke Unit Rawalan Kecemasan (ICU) Hospital Sultanah Aminah selepas keadaanya bertambah buruk, dan meninggal dunia,” kata Adham.

Perintah Kawalan Pergerakan

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Isnin mengisytiharkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu berkuatkuasa pada Rabu, di mana tindakan drastik kerajaan itu adalah untuk membendung wabak COVID-19 yang menunjukkan peningkatan ketara sejak minggu lepas.

Muhyiddin menyenaraikan enam arahan dalam perintah tersebut, termasuk larangan perhimpunan awam, dan penutupan premis kerajaan dan swasta serta semua institusi pengajian di seluruh negara.

Beliau memberitahu yang larangan juga meliputi sekatan terhadap semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara dan kemasukan pelancong dan pelawat asing ke dalam negara.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador dalam satu sidang media pada petang Selasa menyatakan bahawa orang awam Malaysia dinasihatkan untuk tidak melakukan perjalanan rentas negeri kecuali untuk kes-kes kecemasan, seperti berlakunya kematian.

Hamid memberitahu media di Bukit Aman bahawa mereka yang hendak melakukan perjalanan jarak jauh diminta hadir ke balai polis terdekat untuk mengisi borang dan mendapatkan kebenaran ketua polis balai sebelum memulakan perjalanan.

Walaubagaimanapun arahan itu ditarik semula selepas balai polis diseluruh negara diserbu orang ramai yang mahu mendapatkan kelulusan perjalanan pulang ke kampung halaman.

Hamid bagaimanapun dalam satu kenyataan media pada lewat Selasa selepas balai-balai polis diserbu berkata keputusan baru akan diumumkan selepas satu mesyuarat diadakan mengenai perkara tersebut.

"Kami menarik balik larangan itu dan orang ramai boleh melakukan perjalanan dengan selamat, secara berhemah malam ini.

"Tiada sebarang sekatan akan dikenakan ke atas mereka sehingga satu keputusan baru bakal diumumkan selepas mesyuarat berhubung perkara ini, esok," katanya.

Sementara itu, Bursa Malaysia pada Selasa dibuka dalam keadaan merah dengan prestasi semalaman yang negatif di pasaran global utama, ditambah pula dengan perintah kawalan pergerakan seluruh negara ia terus memberi tekanan terhadap sentimen pasaran.

Mesyuarat Menteri APEC ditangguh

Pentadbiran Putrajaya melalui Kementerian Perdagangan dan Industri Antarabangsa (MITI) pada Selasa juga mengumumkan penundaan beberapa siri mesyuarat termasuk diperingkat menteri bagi Sidang Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2020 yang dijadualkan berlangsung bulan hadapan.

“Malaysia ingin mengumumkan penangguhan beberapa siri mesyuarat APEC yang akan berlangsung pada April seperti Mesyuarat Pegawai Kanan APEC siri kedua; Mesyuarat Kementerian Pelancongan APEC 2020; Mesyuarat Menteri-Menteri Perdagangan APEC 2020.

"Kesemua tarikh ini akan dilihat semula pada bulan Mei, bergantung kepada perkembangan berkaitan kes Covid-19.Keputusan menangguhkan mesyuarat dibuat selepas konsultasi panjang dengan semua pemegang taruh dan mengambilkira pengumuman oleh WHO mengenai status Covid-19 sebagai satu pandemik, serta perkembangan terkini dalam negara," kata MITI dalam kenyataan itu.

WHO telah mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik pada 11 Mac lalu berikutan penularannya yang terus naik di sekitar wilayah dan rantau.

Sementara itu, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) Singapura berkata banyak syarikat berusaha untuk menyediakan penginapan kepada pekerja yang sering berulang alik di antara sempadan Singapura dan Malaysia.

MOM dalam kenyataan medianya berkata, MOM sedang bekerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk menyediakan pelbagai pilihan perumahan secara jangka pendek.

“Pelbagai hotel dan bilik asrama, unit bilik dan rumah di pangsapuri HDB serta hartanah perumahan persendirian yang sedia untuk didiami dalam jangka pendek,” kata kenyataan itu.

Mengikut statistik, kira-kira 400,000 rakyat Malaysia bekerja di Singapura dengan hampir 200,000 daripadanya berulang-alik antara Johor Bahru ke negara itu setiap hari menaiki motosikal.

Dua pintu masuk darat utama telah digunakan oleh mereka yang berulang alik ini iaitu menerusi Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar, Bukit Chagar dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah.

WHO minta negara asia bertindak

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa menggesa negara-negara rantau Asia Tenggara supaya "segera" meningkatkan langkah untuk memperlahankan penyebaran COVID-19 di tengah-tengah laporan hampir 185,000 kes direkodkan denga lebih 7,500 kematian di seluruh dunia.

"Keadaan ini berkembang pesat. Kita perlu segera tingkatkan usaha untuk mencegah virus daripada menjangkiti lebih ramai orang," kata Dr Poonam Khetrapal Singh, Pengarah Serantau, WHO Wilayah Asia Tenggara.

Di peringkat global, China masih merekodkan jumlah kes COVID-19 pada 80,881, diikuti Itali sebanyak 27,980 kes, Iran (lebih 14,000 kes) dan Sepanyol (9,942 kes).

Nisha David dan Arief Rahmat di Kuala Lumpur turut membantu kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.