COVID-19: Malaysia Mungkin Lanjut PKP, Buru 3,800 Jemaah Tabligh

Noah Lee
2020.03.23
Kuala Lumpur, Malaysia
200323-MY-Army1000.jpg Anggota tentera dan polis semasa menjalankan tugas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan susulan penularan wabak COVID-19 di susur keluar ke Jambatan Pulau Pinang di Lebuhraya Tun Dr Lim Choong Eu, di Pulau Pinang, 23 Mac, 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia berkemungkinan melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas 911 daripada 1,518 kes jangkitan COVID-19 melibatkan peserta perhimpunan tabligh pada lewat Februari lepas, dengan baki 3,800 lagi jemaah yang gagal membuat ujian kesihatan kini diburu pihak berkuasa.

Lapan daripada 14 kematian akibat COVID-19 yang direkodkan Malaysia adalah peserta pehimpunan tabligh yang dihadiri kira-kira 16,000 peserta di Masjid Seri Petaling di Kuala Lumpur lewat Februari lepas dengan 14,500 adalah rakyat tempatan manakala selebihnya dari negara luar.  

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Isnin berkata, lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan juga bergantung kepada penelitian oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) terhadap tahap pematuhan masyarakat berhubung arahan kerajaan itu, sama ada sudah memadai atau perlu dilanjutkan selepas tarikh tamat pada 31 Mac ini.

“Samaada kita hendak lanjutkan (atau tidak) kita akan teliti perkembangan… Kalau sudah ada penambahbaikan dengan tindakan yang sudah diambil Kementerian Kesihatan dan dibantu pelbagai agensi yang lain, terutama kerjasama kumpulan tabligh yang masih berbaki belum keluar (buat pemeriksaan COVID-19) lagi…, kemungkinan besar PKP ini menunjukkan kesan yang positif kalau kiranya data dan angka ini lebih rendah (mereka yang tidak patuh)," katanya.

Beliau memberitahu MKN akan bermesyuarat pada Isnin depan dan akan menentukan sama ada langkah tempoh (PKP) sudah memadai atau perlu dilanjutkan untuk tempoh seminggu atau dua minggu dari tarikh tamatnya.

Putrajaya telah melaksanakan PKP selama dua minggu bermula pada 18 Mac lepas bagi mengurangkan penularan wabak COVID-19 dan mulai Ahad kira-kira 7,000 anggota tentera telah digerakkan ke seluruh negara untuk mengawal pergerakan orang ramai dalam tempoh perintah tersebut.

 

 

Buru 3,800 jemaah tabligh

Menteri Pertahanan, Ismail Sabri pada hari yang sama turut memberitahu pemberita bahawa pihak polis sudah mendapat senarai lengkap peserta himpunan tabligh dan mengenal pasti 3,800 yang belum lagi tampil membuat saringan ujian kesihatan.

"Lebih 3,800 jemaah tabligh ini bukan sahaja rakyat Malaysia tetapi terdiri daripada rakyat Rohingya dan pendatang tanpa izin.. Mereka tidak perlu takut untuk tampil ke hospital menjalani ujian saringan walaupun tidak mempunyai pasport… yang penting mereka dapat diselamatkan," kata Ismail.

Menurut data yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, kira-kira 11,000 peserta perhimpinan tabligh telah membuat saringan kesihatan di seluruh negara.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Noor Hisham Abdullah berkata kematian akibat virus berkenaan terus meningkat dengan jumlah kes positif yang baharu meningkat melebihi seratus kes setiap hari.

“Empat kematian terbaharu direkodkan pada Isnin, menjadikan jumlah keseluruhan kematian berkait virus itu di Malaysia meningkat kepada 14 orang. Kes jangkitan terbaharu yang dicatatkan KKM juga melonjak iaitu sebanyak 212 berbanding 123 kes pada Ahad dan 153 kes pada Sabtu, dan angka yang dikeluarkan pada Isnin merupakan jumlah yang tertinggi setakat ini,” kata Noor Hisham.

Pihak berkuasa kesihatan itu turut mengumumkan bahawa mereka akan mula menjalankan ujian COVID-19 ke atas setiap peserta himpunan tabligh selepas usaha saringan berdasarkan simptom sebelum ini gagal mengesan dan membendung penularan dari kluster tersebut.

"Memang sekarang ini, jika tiada simptom pun kita akan uji semua jemaah tabligh. Pada mulanya kita memang mengikut (garis panduan) WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia), hanya menjalankan ujian jika seseorang itu menunjukkan gejala.

"Tapi hari ini kita telah setuju untuk menjalankan ujian walaupun tiada (simptom)," katanya ketika menjawab soalan pemberita.

Noor Hisham turut menjelaskan bahawa ujian COVID-19 yang dijalankan oleh KKM ke atas suspek penghidap atau pembawa virus itu adalah percuma dan tidak dikenakan apa-apa caj, termasuk warga asing.

"Kalau warga asing datang ke klinik KKM atau hospital untuk penyakit selain COVID-19, akan dikenakan caj yang telah ditetapkan. Tapi untuk ujian COVID, sebagaimana pekeliling yang dikeluarkan pada 29 Jan, tiada caj akan dikenakan,” tambah Ketua Pengarah Kesihatan itu.

Doktor meninggal akibat COVID

Sementara itu, seorang daripada kematian yang tidak berkait dengan himpunan itu adalah seorang doktor KKM yang bertugas di Hospital Tuanku Fauziah di Kangar, Perlis, yang merupakan pesakit kesembilan yang meninggal dunia akibat COVID-19 di Malaysia.

Namun, Noor Hisham dalam kenyataannya berkata doktor yang meninggal pada Ahad itu dipercayai tidak dijangkiti wabak tersebut semasa bertugas tetapi berkait dengan sejarah perjalanannya ke Turki baru-baru ini.

Selain itu, seorang ibu berusia 79 tahun dan anak perempuannya berusia 40 tahun di Sarawak, juga antara mereka yang kehilangan nyawa akibat dijangkiti COVID-19.

Dalam pada itu, Hospital Pantai Laguna Merbok di Sungai Petani, Kedah memberitahu yang hospital berkenaan terpaksa ditutup selama dua hari bagi menjalankan kerja-kerja nyah-infeksi selepas seorang wanita mengandung yang bersalin di hospital tersebut tidak memaklumkan beliau mempunyai hubungan dengan seorang peserta perhimpunan tabligh semasa mendapatkan rawatan.

Menurut kenyataan media hospital berkenaan wanita berusia 30-tahun itu tidak memaklumkan kepada pihak hospital mengenai perkara berkenaan sebelum dimasukkan ke situ untuk bersalin.

"Wanita warganegara Malaysia berusia 30 tahun tidak memaklumkan keseluruhan maklumat ketika proses saringan di hospital dan telah dimasukkan untuk bersalin melalui proses biasa.

"Namun, pesakit ini kemudiannya telah demam selepas melahirkan. Selepas disoal lebih lanjut diketahui bahawa wanita berkenaan telah tinggal serumah dengan seorang ahli keluarga yang telah menyertai perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling dan telah didapati positif COVID-19," kata kenyataan hospital itu.

Kenyataan itu juga memaklumkan bahawa semua kawasan yang dilawati pesakit tersebut telah dibersihkan dan dinyahinfeksi mengikut garis panduan KKM, manakala pesakit itu kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.