Kebanyakan negara di Asia Tenggara tidak berhasrat sekat pelancong China
2023.01.05
Bangkok, Kuala Lumpur, Jakarta & Manila
KEMASKINI pada 10 malam waktu tempatan ETS - 2023-01-05
Thailand menyertai kebanyakan negara di Asia Tenggara, yang bergantung kepada sektor pelancongan, mengekalkan sekatan yang longgar terhadap pelancong China yang dijangka meneruskan perjalanan ke luar negara minggu depan meskipun WHO mendakwa Beijing tidak telus dengan tahap sebenar keseriusan wabak COVID-19 di negara itu.
Seperti Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand pada Khamis berkata pelancong yang masuk dari China tidak perlu menjalani ujian praperlepasan COVID meskipun terdapat peningkatan mendadak jangkitan virus itu di negara tersebut, dalam usaha memulihkan ekonomi mereka yang terjejas teruk akibat pandemik.
Di Malaysia pula, negeri Sabah yang bersempadan dengan Sarawak dan mempunyai lebih autonomi berbanding negeri lain, telah melanggar dasar pengembaraan COVID kerajaan persekutuan.
Sabah yang terletak di Kepulauan Borneo dan merupakan destinasi popular bagi pelancong China, memutuskan sehari lebih awal bahawa mulai 8 Jan, pelancong dari negara itu perlu diberikan vaksin sepenuhnya. Mereka juga perlu menunjukkan bukti ujian COVID yang negatif dalam tempoh 48 jam sebelum berlepas ke luar negara.
Menteri Kesihatan Awam Thailand Anutin Charnvirakul memberitahu pemberita pada Khamis selepas mesyuarat kesihatan, pelancongan dan pegawai lain bahawa orang ramai perlu diwajibkan memakai pelitup muka di tempat awam yang sesak.
“Thailand tidak akan mewajibkan ujian COVID terhadap pelancong asing …Ini adalah peluang untuk memulihkan ekonomi kita dan bangkit daripada kerugian yang kita alami selama hampir tiga tahun.”
“Di sini tidak akan wujud sebarang diskriminasi terhadap negara tertentu susulan penularan COVID-19 di seluruh dunia dan jenisnya adalah serupa. Jadi, ia tidak seharusnya dijadikan isu untuk mendiskriminasi mana-mana negara.”
Bagaimanapun, Thailand akan mengenakan semula syarat pengembara perlu mendapat sekurang-kurangnya dua suntikan COVID-19 dan insurans kesihatan mampu menampung kos rawatan jika mereka dijangkiti virus itu.
“Mesyuarat itu bersetuju dengan langkah berikut iaitu sebelum memasuki Thailand, pelancong perlu mendapat sekurang-kurangnya dua suntikan vaksin COVID.… Dalam kes negara asal mewajibkan keputusan negatif ujian RT-PCR semasa pulang, [pelancong] mesti membeli pelan perubatan yang meliputi rawatan COVID untuk membantu mengurangkan bayaran kemasukan ke hospital jika mereka disahkan positif,” kata Anutin.
Sebanyak 205,735 kes baharu dikesan di China dalam tempoh seminggu lepas dengan 635 kematian direkodkan, demikian menurut kemas kini data Pertubuhan Kesihatan Sedunia.
Pada 27 Dis 2022, China mengumumkan bahawa ia menarik balik kebanyakan sekatan perjalanannya yang ketat mulai 8 Jan dan selepas pandemik itu bermula, Beijing telah mengehadkan perjalanan antarabangsa dengan hanya membenarkan ia dilakukan jika benar-benar perlu.
Pelancong berpakaian tradisional Thailand bergambar di kuil Buddha Wat Arun di Bangkok, 9 Dis 2022. [Lillian Suwanrumpha/AFP]
Sejurus selepas pengumuman itu, penyedia perkhidmatan pelancongan trip.com mencatatkan peningkatan 254% dalam tempahan penerbangan keluar di tanah besar China berbanding sehari sebelumnya. Negara-negara di Asia Tenggara dan Amerika Syarikat adalah antara 10 destinasi teratas.
Perkara itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan Pada 2019, sebelum penularan pandemik itu, sejumlah 32 juta warga China melancong ke Asia Tenggara, menurut Rane Worldview, firma penyelidikan risiko geopolitik. Setahun kemudian, jumlah itu menurun kepada 4 juta.
"Pelancong China adalah nadi kepada sektor pelancongan di Asia Tenggara dan ketiadaan mereka yang berterusan akan menghalang pemulihan ekonomi di rantau itu," menurut firma itu pada September tahun lepas.
“Kesan pandemik COVID-19 … telah meninggalkan kesan yang teruk ke atas negara-negara di Asia Tenggara terutama Thailand, Filipina dan Malaysia di mana sektor pelancongan menjana sejumlah besar pendapatan dan pekerjaan sebelum ini.”
Ketika itu, Rane Worldview berkata ketiadaan pelancong China secara berpanjangan akan "terus menghalang pemulihan pascapandemik" sektor pelancongan yang begitu penting kepada negara terbabit.
Seorang pelancong China (tengah) memakai pelitup muka sebagai langkah pencegahan selepas penularan wabak koronavirus yang bermula di bandar Wuhan, tiba bersama yang lain dari Nusa Penida di jeti bot laju di Pulau Serangan, Denpasar, ibu negeri Bali, Indonesia, 27 Jan 2020. [Sonny Tumbelaka/AFP]
“Harap semua pelancong jalani ujian COVID’
Tidak dinafikan bahawa pengusaha pelancongan, hotel dan perniagaan berkaitan pelancongan di Asia Tenggara begitu teruja dengan prospek kemasukan semula pelancong China. Namun setelah melihat bukan sahaja ekonomi malah keluarga mereka turut terkesan akibat virus COVID, keghairahan itu ditangani dengan berhati-hati.
Zack, seorang pengendali bot di Pulau Kapas, Terengganu, sebuah destinasi pelancongan pulau, hidup dalam ketakutan jika sekali lagi terpaksa berdepan perintah sekatan seperti yang pernah terjadi sepanjang tempoh pandemik.
“Kerajaan hendaklah menutup pintu buat sementara kepada pelancong China sehingga keadaan kembali normal,” kata Zack yang lebih senang dikenali dengan nama pertamanya kerana tidak mahu sebarang publisiti, kepada BenarNews.
"Saya takut dikurung semula," katanya sambil menambah pelancong tidak mungkin berkunjung ke pulau itu jika wujud perintah sekatan susulan peningkatan jangkitan.
Malaysia pada minggu lepas menyatakan negara itu akan menyaring semua pengembara bagi mengesan jika ada yang deman selain menguji sisa kumbahan daripada pesawat yang tiba dari China. Mereka yang mengalami demam panas atau penyakit pernafasan atau mempunyai gejala COVID-19 akan dihantar ke pusat kuarantin atau kepada pegawai kesihatan bagi menjalani ujian tambahan.
Di Chiang Mai, Thailand, Pornpimol Rungrasmisup, pemilik Thierry Resort, memberitahu BenarNews bahawa beliau berbelah bahagi mengenai dasar negara itu terhadap pelancong China.
"Pelancong China melakukan perjalanan keluar negara adalah perkara yang besar bagi kami kerana ia bermakna perniagaan yang baik," katanya merujuk kepada fakta daripada hampir 40 juta pelancong asing yang melawat Thailand pada 2019, lebih satu perempat adalah dari China.
“Tetapi apabila saya mengetahui tiada lagi ujian COVID, saya berasa tidak selesa. Kami ingin mengalu-alukan kedatangan pelancong China. Chiang Mai bersiap sedia untuk menerima mereka namun saya berharap semua pelancong menjalani ujian COVID,”
Pihak berkuasa pelancongan Thailand menganggarkan antara 18 hingga 25 juta ketibaan pelancong tahun ini dan Dewan Perniagaan Thailand menganggarkan 5 juta daripadanya adalah dari China.
Pelancong bermain luncur ombak di pekan General Luna di selatan Pulau Siargao, Filipina, 7 Okt 2022. [Ferdinandh Cabrera/AFP]
Di Filipina, yang baru-baru ini menolak sekatan perjalanan bagi pelancong asing walaupun terdapat peningkatan mendadak kes di China, seorang doktor menasihatkan agar sekatan ketat dikenakan terhadap pelancong China.
"Kita perlu meminta pelancong China menyerahkan ujian RT-PCR 48 jam sebelum penerbangan dan sudah tentu menjalani saringan semasa ketibaan," katanya kepada BenarNews sambil menambah bahawa subvarian baharu boleh mengurangkan keuntungan yang diperoleh Filipina dalam mengawal penularan COVID.
“Kita tidak dapat menghentikan penularan COVID-19 tetapi ujian praperlepasan dan keperluan menunjukkan keputusan ujian negatif apabila terbang dari China ke Filipina boleh membantu memperlahan penularan ketika kami berusaha mengenal pasti dan memahami sebarang kemungkinan varian baharu.”
Kerajaan Indonesia pula berkata ia tidak merancang untuk mengenakan sebarang sekatan kemasukan khas ke atas pelancong China kerana penduduknya mempunyai tahap imuniti yang tinggi. Bagaimanapun, pakar epidemiologi Dicky Budiman berkata semua pihak perlu sentiasa berwaspada.
“Indonesia mesti terus memperketat sekatan ke atas pelancong asing untuk mencegah penularan semula COVID-19. Mesti ada mekanisme atau prosedur yang sekurang-kurangnya dapat menjamin sesiapa yang memasuki Indonesia tidak membawa sebarang patogen berbahaya,” katanya kepada BenarNews.
"Sekiranya pelancong yang datang tidak mengambil vaksin penggalak maka mereka mesti menjalani ujian PCR untuk mengesahkan bahawa mereka negatif COVID-19."
Kebanyakan penduduk di Asia Tenggara berharap pelancong China telah divaksin dengan berkesan.
Pemandu teksi di Filipina, Marionito Marcos, 58, yang menyediakan perkhidmatan dari lapangan terbang utama negara itu, menyamakan keadaan tersebut dengan rolet Rusia.
“Anda tidak tahu sama ada penumpang anda dijangkiti atau tidak. Mereka mungkin pembawa cuma kita tidak tahu,” katanya kepada BenarNews.
“Bagaimanapun, orang ramai masih perlu bekerja untuk kelangsungan hidup… dan saya percaya jika anda telah menerima vaksin, anda akan baik-baik sahaja. Ini adalah kebiasaan baharu kita,” kata Marcos.