Follow us

COVID-19: Malaysia Catat 94.5 Peratus Kumulatif Kes Pulih, Longgar Akses Sempadan

Nisha David
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-06-19
E-mel
Komen
Share
Seorang pegawai kesihatan memantau ketibaan pelancong menggunakan pengimbas suhu badan dalam ujian saringan COVID-19, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di Sepang, Selangor, 21 Januari, 2020.
Seorang pegawai kesihatan memantau ketibaan pelancong menggunakan pengimbas suhu badan dalam ujian saringan COVID-19, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di Sepang, Selangor, 21 Januari, 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia mencatatkan 94.6 peratus kumulatif kes pulih jangkitan COVID-19 dengan kira-kira 400 kes lagi masih dalam rawatan, dan pada masa yang sama kerajaan juga membuat keputusan untuk membuka pintu sempadan kepada beberapa kategori termasuk ekspatriat, pelajar asing dan rakyat Malaysia yang perlu ke luar negara, kata pihak berkuasa negara itu pada Jumaat.

Enam kes jangkitan harian direkodkan dalam tempoh 24 jam menjadikan keseluruhan sebanyak 8,535 kes, 344 kes lagi masih dirawat manakala kadar kesembuhan pula sebanyak 70 kes, sekaligus menjadikan jumlah kumulatif yang sudah sembuh memasuki angka 8,070 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Noor Hisham Abdullah berkata jumlah jangkitan harian bagi domestik mencatatkan angka satu digit sejak kebelakangan ini dan paras itu adalah antara tanda yang menyakinkan pihak berkuasa kesihatan negara itu bahawa Malaysia telah memasuki fasa pemulihan.

"Akhir-akhir ini jumlah jangkitan harian antara satu hingga dua digit dan bagi jangkitan domestik, ia selalu mencatatkan satu digit, itu tanda bahawa Malaysia telah memasuki fasa pemulihan,” kata Noor Hisham semasa sidang media hariannya di Putrajaya pada Jumaat.

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan akan terus melakukan pengawasan dan meningkatkan pemantauan COVID-19 di kalangan masyarakat agar dapat membuat pengesanan awal dan tindakan lebih cepat dapat diambil.

Semasa ditanya tahap pematuhan rakyat Malaysia kepada prosedur standard kerja (SOP), Noor Hisham memberitahu yang pematuhan orang ramai sangat memberangsangkan dan baik daripada jangkaan kerajaan.

"Kita telahpun melaksanakan tindakan dalam komuniti iaitu pemantauan dan pematuhan. Itu yang penting untuk kita membendung COVID-19… Mesti ada kerjasama padu di antara kementerian dan rakyat dan apa yang penting kita telah memberikan tanggungjawab sosial kepada rakyat untuk terus mematuhi SOP. Dengan melihat kepada tindakan yang dibuat selama ini kita berjaya menurunkan jangkitan kepada satu angka," katanya.

Buka pintu sempadan berperingkat

Sementara itu, Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan Keselamatan berkata yang Putrajaya bersetuju membenarkan rakyat Singapura dan Brunei memasuki ke Malaysia tetapi ianya tertakluk kepada syarat timbal balas daripada kedua-dua negara tersebut.

“Kerajaan secara dasar bersetuju untuk membenarkan rakyat Singapura dan Brunei masuk ke Malaysia tanpa perlu mengemukakan permohonan kepada Jabatan Imigresen, dengan mengetepikan keperluan rakyat dari kedua-dua negara berkenaan untuk membuat saringan COVID-19 dan juga menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari. Bagaimanapun kelonggaran ini bergantung kepada syarat timbal balas dari Singapura dan Brunei,” tambah beliau.

Ismail Sabri juga berkata, keputusan membuka pintu sempadan turut melibatkan ekspatriat bagi kategori EP1, golongan yang mempunyai ‘Professional Visit Pass’ dan ‘Residen Pass Talent’ yang melibatkan pengurusan tertinggi seperti pengarah urusan syarikat.

“Mereka dibenarkan masuk ke Malaysia tanpa perlu memohon kebenaran Jabatan Imigresen Malaysia terlebih dahulu, tetapi perlu menjalani saringan COVID-19 di negara asal, sebelum berlepas atau membuat ujian saringan di pintu masuk negara.

"Individu dari negara yang berada dalam senarai zon hijau juga tidak perlu menjalani proses kuarantin wajib 14 hari, tetapi perlu memuat turun dan menggunakan aplikasi MySejahtera untuk proses pemantauan manakala negara bukan zon hijau, mereka diwajibkan menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari,” katanya semasa sidang media harian di Putrajaya.

Malaysia pada Jumaat turut mengeluarkan senarai negara yang dikategorikannya sebagai negara zon hijau yang terdiri daripada Singapura, Brunei, New Zealand, Australia, Jepun dan Korea Selatan.

Ismail Sabri berkata bagi pakar teknikal asing yang diperlukan untuk kerja-kerja tertentu, kumpulan tersebut perlu memohon Professional Visit Pass melalui Expatriate Services Division (ESD) yang boleh dibuat secara dalam talian dengan mengikuti prosedur sama seperti kategori EP1.

Beliau juga memberitahu yang Putrajaya turut meluluskan kemasukan pelajar antarabangsa yang menuntut di institusi pengajian tinggi awam atau swasta termasuk sekolah antarabangsa yang telah diberikan menyambung pengajian masing-masing di negara itu.

Selain itu, katanya pelajar Malaysia yang mahu melanjutkan pelajaran atau menyambung pengajian mereka ke luar negara juga dibenarkan untuk berbuat demikian dengan syarat semuanya perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan mempunyai surat kebenaran daripada pihak universiti dan sekolah.

“Bagi rakyat Malaysia yang mempunyai keperluan untuk ke luar negara atas urusan kecemasan ataupun perniagaan, mereka perlu mengemukakan bukti dokumentasi kepada pegawai imigresen di lapangan terbang,” tambah Ismail Sabri.

Beliau juga berkata, kerajaan negara itu juga membenarkan kemasukan pelawat asing yang mahu mendapatkan rawatan kesihatan, atau pelancongan kesihatan tetapi perlu melalui Kementerian Kesihatan Malaysia dan mendaftar dengan Malaysia Healthcare Travel Council serta menjalani saringan COVID-19 di negara asal atau setibanya di Malaysia.

Lihat Laman Penuh