Malaysia Catat Sifar Kematian, Tujuh Negeri Bebas COVID-19

Nisha David & Hadi Azmi
2020.04.20
Putrajaya, Malaysia
200420-MY-PasarBorong1000.jpg Anggota Angkatan Tentera Malaysia memasang kawat duri di sekitar kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur selepas arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikeluarkan di kawasan tersebut akibat menularan wabak COVID-19, 20 April 2020.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia mencatatkan sifar kematian pada Isnin dengan tiada jangkitan COVID-19 di tujuh buah negeri bagi tempoh 24 jam, satu penurunan ketara bagi negara itu yang menurut pihak berkuasa kesihatannya ia adalah hasil daripada tindakan proaktif serta agresif dalam mengesan jangkitan terutama bagi tempoh dua minggu lepas.

Kementerian Kesihatan Malaysia [KKM] melalui Ketua Pengarahnya Noor Hisham Abdullah juga memaklumkan bahawa kes positif harian dua angka telah direkodkan secara berturut-turut oleh negara sejak Jumaat lalu di mana 69 kes baharu dicatakan, diikuti 54 pada Sabtu, 84 (Ahad) dan 36 pada Isnin.

“Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke ‘Crisis Preparedness and Response Centre’ (CPRC) Kebangsaan, tiada sebarang kes kematian terbaharu setakat ini. Oleh itu, sehingga pukul 12 tengah hari 20 April 2020, jumlah kematian kekal 89 kes.

“Penurunan jumlah kes harian yang dapat dilihat sejak kebelakangan ini adalah hasil daripada tindakan proaktif dan agresif dalam mengesan kes yang dijalankan terutama dalam tempoh dua minggu yang lalu.

"Walaupun sudah ada penurunan jumlah pesakit disahkan positif COVID-19 sejak dua minggu kebelakangan ini, saya mahu melihat statistik ini berkurangan menjadi satu angka. Untuk membolehkan itu berlaku, semua pihak perlu bekerjasama dan terus tinggal di rumah," kata Noor Hisham pada sidang media harian KKM di Putrajaya.

Beliau juga memberitahu yang tujuh negeri di Malaysia mencatat sifar kes baru dalam tempoh 24 jam terakhir dan negeri berkenaan ialah Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Terengganu, Kelantan dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Bagaiamanapun katanya, “jumlah atau bilangan kes baharu mungkin boleh meningkat kembali dalam  tempoh dua minggu akan datang memandangkan aktiviti pengesanan kes masih giat dijalankan terutamanya keatas rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara dan dilokaliti yang terlibat dibawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).”

Beliau berkata, arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan yang ke enam telah dikeluarkan paada Isnin yang melibatkan Pasar Borong Kuala Lumpur dan kawasan di sekitarnya berkuatkuasa mulai 20 April hingga 3 Mei depan berikutan 28 kes positif dengan satu kematian dikesan di kawasan tersebut.

Mengenai 36 kes baharu pada Isnin, Noor Hisham berkata, sebanyak 24 kes membabitkan penularan dalam komuniti, manakala 12 lagi adalah kes import iaitu 11 kes membabitkan pelajar pulang dari Megetan Jawa Timur dan satu kes melibatkan pelajar yang pulang dari Amerika Syarikat.

Noor Hisham turut mengingatkan yang Malaysia mungkin terpaksa ‘berperang’ sehingga tahun depan dalam menentang penularan wabak COVID-19 seperti yang dijangkakan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Katanya KKM juga sedang mempertimbangkan untuk menjalankan ujian antibodi di kawasan setempat atau Zon Merah bagi mengkaji bilangan dalam komuniti yang dijangkiti wabak COVID-19.

"KKM sedang mempertimbangkan untuk menjalankan kajian itu di Zon Merah. Jika mereka terdedah kepada virus itu, antibodi akan terbina dalam tempoh seminggu. Kita hendak tahu berapa ramai di Zon Merah yang dijangkiti tetapi tidak dikesan. Jadi ini mungkin kajian baik yang boleh dipertimbangkan dan mungkin masa yang sesuai untuk kita laksanakan ujian itu.

"Ujian itu menggunakan kit ujian antibodi yang cepat dan membolehkan kita mengukur antibodi. Kita cuma perlukan setitis darah," katanya.

Noor Hisham juga memaklumkan bahawa ujian pengesanan COVID-19 di enam kawasan PKPD mendapati 796 daripada 13,2777 saringan yang dibuat telah dikesan positif jangkitan wabak dengan lima kematian sejak 27 Mac lalu.

Saringan di Pasar Borong

Dalam pada itu, kira-kira 15,000 orang sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur iaitu lokasi PKPD terbaru akan menjalani ujian saringan COVID-19 dalam tempoh seminggu bermula Isnin, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa.

Beliau memaklumkan enam pusat ujian diwujudkan dalam kawasan PKPD itu yang dipecahkan kepada lapan parcel dan seramai 500 petugas kesihatan ditempatkan di kawasan berkenaan bagi membolehkan ujian saringan berjalan lancar.

“Kita menjangkakan antara 1,500 hingga 2,000 penduduk di kawasan ini akan menjalani ujian saringan COVID-19 setiap hari dan berharap antara 15,000 ke 16,000 orang disaring dalam seminggu.

“Langkah kawalan diambil bagi memastikan pergerakan penduduk dari kediaman ke pusat ujian adalah tersusun, dengan dihadkan 50 orang dalam satu pergerakan yang dikawal oleh 10 anggota polis dan tiga tentera," katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook, pada Isnin.

Annuar berkata, setiap stesen ujian dilengkapi dengan ruang menunggu yang luas bagi memastikan semua penduduk yang majoritinya warga asing, mematuhi penjarakan sosial.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemborong Sayur Kuala Lumpur Wong Keng Fatt berkata peniaga diminta menutup perniagaan mereka pada 19 dan 20 April pada awalnya tetapi, arahan itu kemudian dilanjutkan sehingga jam 12 pagi 24 April.

DBKL dalam notis kepada pemegang lesen pasar itu berkata arahan penutupan dikeluarkan Kementerian Kesihatan dan penutupan berkuatkuasa sejak 8 pagi Isnin sehingga 12 pagi 24 April.

“Lori pembawa barang dan pemegang lesen tidak dibenarkan masuk kawasan pasar pada tarikh dan masa dinyatakan,” kata notis itu.

Rakyat Malaysia sah covid di Singapura

Dalam pada itu, pihak berkuasa kesihatan Singapura berkata seramai 95 rakyat Malaysia yang bekerja di negara itu telah disahkan positif COVID-19, termasuk tiga kes terkini yang dilaporkan negara itu pada Isnin.

Data Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) mencatatkan jumlah kes COVID-19 di republik itu sehingga Ahad adalah 6,588 kes dengan 4,706 kes diklasifikasi sebagai penghuni asrama, yang melibatkan 305 pemegang permit bekerja tidak mendiami asrama, 1,008 kes komuniti, dan 569 lagi kes diimport.

Jumlah peningkatan kes mendadak di negara itu sejak seminggu lepas dikatakan dari kluster asrama pekerja asing dengan data harian dikeluarkan MOH menunjukkan jumlah rakyat Malaysia dikaitkan dengan kluster asrama adalah seramai tujuh orang.

Menurut agensi berita nasional Malaysia, Bernama, lebih 20 lagi rakyat Malaysia yang positif COVID-19 dikaitkan dengan kluster lain seperti ABC Hostel, Mustafa Centre, McDonald Singapura, SAFRA Jurong, SingPost, Project Glory, dan TTJ Design & Engineering Pte Ltd.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.