COVID-19: Stigma Sosial, Diskriminasi Antara Cabaran Menduga Petugas Kesihatan, Pesakit
2020.04.03
Kuala Lumpur, Malaysia
Pekerja kesihatan Malaysia yang berurusan dengan pesakit koronavirus berdepan dengan diskriminasi daripada komuniti mereka, kata kumpulan hak asasi manusia tempatan pada Jumaat, dengan memberi amaran bahawa ancaman yang dihadapi oleh petugas barisan hadapan melawan COVID-19 menunjukkan kekurangan kesedaran tentang virus yang meragut 53 nyawa di negara itu.
Pusat KOMAS, sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak asasi manusia di Malaysia berkata ketakutan dan diskriminasi terhadap pekerja perubatan dan pesakit yang berdepan dengan COVID-19 hanya akan menambahkan lagi tekanan mental kepada mereka yang terkesan dengannya.
“Tidak seorang pun ada mekanisma untuk menghalang dari virus itu menjangkiti mereka dan mereka juga tidak tahu dijangkiti sehingga wujud simptom atau sudah melalui ujian. Perlakuan mendiskriminasi ini dilihat agak tidak matang, menambahkan tekanan mental kepada orang yang terkesan, dan yang paling menyedihkan tidak semua dalam masyarakat mempunyai perasaan empati dalam situasi begini.
“Saya harap mereka ini dapat menambahkan lagi ilmu untuk lebih memahami dan matang dalam membantu memberikan semangat kepada barisan hadapan dan pesakit yang terkesan dalam krisis kesihatan ini,” kata Faribel Maglin, jurucakap KOMAS kepada BeritaBenar.
Sementara itu, Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia Hanafiah Harunarashid berkata, emosi dan semangat barisan pekerja kesihatan hadapan adalah sesuatu yang perlu dijaga selain kesihatan mereka juga perlu diambil kira.
“Kesihatan dan keselamatan mereka petugas kesihatan adalah yang utama, disamping perlu sentiasa menaikkan semangat serta memastikan kehendak tugasan dijaga.
“Sehubungan itu, pihak pengurusan hospital sentiasa bersama petugas barisan hadapan hampir setiap hari untuk memberikan sokongan moral kepada mereka dengan aduan atau pertanyaan, akan bantu atau selesaikan sebaik mungkin,” kata Hanafiah yang mengelola hampir 500 orang doktor dan ribuan jururawat di hospital univeriti itu kepada BeritaBenar.
Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia merupakan salah sebuah hospital yang membantu Kementerian Kesihatan Malaysia dalam membendung penularan COVID-19.
Dalam pada itu, dua orang doktor berkongsi dengan BeritaBenar bagaimana mereka dan rakan sekerja menghadapi stigma sosial serta reaksi masyarakat melemahkan semangat di saat memerlukan sokongan moral dari semua pihak semasa membendung wabak COVID-19.
Seorang doktor berusia 32 tahun yang bertugas di Hospital Kuala Lumpur memberitahu bertugas dibarisan hadapan dengan sejak awal Mac dengan syif berakhir jam 12 tengah malam sememangnya sangat memenatkan dengan ada kalanya hampir berputus asa tetapi bernasih baik sistem sokongan memberi motivasi kepada beliau terutamanya di kalangan rakan sekerja.
“Ibubapa saya sentiasa memberi peringatan tugas yang saya lakukan ini adalah satu ibadah kepada komuniti dan itu membuatkan saya untuk terus berkhidmat. Apa yang menyedihkan adalah semasa orang awam cuba mengaitkan krisis ini dengan bangsa tertentu atau isu, dengan asyik bertanya bilangan jangkitan mengikut kaum.
“Ianya seperti mereka melihat krisis ini sebagai pertandingan antara kaum untuk mengesahkan apa saja prejudis yang mereka ada. Saya gembira kementerian [kesihatan] tidak mendedahkannya jika tidak masing-masing akan mula menunding jari," kata doktor itu kepada BeritaBenar.
Manakala seorang doktor yang bertugas di Hospital Sungai Buloh yang menjadi hospital utama dalam merawat kes COVID-19 berkata rakannya berhadapan dengan pengalaman yang buruk kerana berkhidmat di barisan hadapan.
"Rakan sekerja saya memberitahu bahawa jirannya tidak membenarkan anak-anak mereka bermain di halaman rumah kerana takut dan berjiran dengan doktor dari Hospital Sungai Buloh. Ia sesuatu yang agak menyedihkan dan semua petugas kesihatan sebelum pulang ke rumah, diwajibkan mandi dan membersihkan diri dengan teliti," kata doktor berumur 36 tahun itu.
Beliau dengan nada sedih memberitahu walaupun terpaksa bertugas dalam keadaam keletihan kerana waktu kerja yang panjang dan kurang masa rehat serta ‘stress’, mereka masih dan sangat bangga dapat berkhidmat kepada masyarakat dan negara.
Kedua doktor tersebut tidak boleh dinamakan kerana mereka tertakluk kepada regulasi yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM).
Pandang serong
Seorang wanita dari Kampung Bunut Payong, Kota Bharu, Kelantan memberitahu BeritaBenar bahawa beliau dan keluarganya mula mendapat tekanan daripada masyarakat sekeliling semasa sedang menunggu ujian saringan COVID-19 selepas bapanya terdedah dengan tabligh Thailand yang bersembahyag di surau kampongnya bulan lepas.
“Bapa terdedah kepada tabligh Thailand yang bersembahyang di surau kampung, dan berita bapa positif COVID-19 tersebar luas pada 17 Mac dan kami sekeluarga diarahkan untuk menjalani saringan kesihatan.
"Namun, semasa kami sekeluarga sedang menunggu giliran untuk ujian saringan, sudah rasa tertekan dengan orang kampung seolah-olah memandang hina dan jijik kepada kami sekeluarga. Sedangkan apa yang terjadi bukannya kami yang cari," kata Siti Nurul Qalbie A.Ghani, 41 kepada BeritaBenar.
Beliau bersama tiga adik beradik serta ibunya telah disahkan positif COVID-19 selain bapanya sambil berkata wabak berkenaan telah memberi peluang kepada mereka sekeluarga mengetahui siapa yang ikhlas dan pura-pura dalam menghulurkan bantuan.
Tatacara tangkapan salah
Sementara itu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menyatakan tatacara tangkapan dan penahanan beberapa pesalah yang didakwa melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah salah di sisi undang-undang.
SUHAKAM dalam satu kenyataan media pada Jumaat mendakwa berlakunya kurang penjarakkan sosial serta langkah keselamatan semasa proses tangkapan dan penahanan menunjukkan bahawa Tatacara Operasi Standard (SOP), tidak disampaikan sepenuhnya kepada pegawai yang melaksanakan tugas ataupun gagal difahami sebaiknya.
"Merujuk kepada rakaman di mana sekumpulan remaja didakwa melanggar PKP telah dirotan oleh pihak berkuasa di Sabah, SUHAKAM ingin mengingatkan bahawa ia merupakan tindakan yang salah di sisi undang-undang, kejam, menjatuhkan maruah dan bercanggah dengan prinsip hak asasi manusia.
"Tambahan pula, apabila ianya melibatkan kanak-kanak, adalah mencukupi untuk menghalang mereka dengan memberikan amaran untuk kesalahan pertama sebelum mereka dihantar pulang ke rumah," katanya dalam kenyataan itu.
Menurut Peraturan 10, Peraturan-peraturan Lokap 1953, SUHAKAM menjelaskan tahanan harus menjalani pemeriksaan kesihatan sejurus sebelum ditahan di lokap.
"Bagaimanapun, realitinya, tiada pegawai perubatan terlatih ditempatkan di lokap-lokap polis. Berdasarkan pemerhatian semasa lawatan pemantauan dijalankan, kebanyakan lokap polis adalah kecil, dalam keadaan uzur, kurang pengudaraan dan pencahayaan semulajadi.
"Ketiadaan langkah pencegahan sebaiknya dan jumlah pesalah yang didakwa kerana engkar arahan PKP yang agak tinggi, boleh meningkatkan risiko ancaman kesihatan terhadap tahanan, pihak polis dan barisan hadapan yang terlibat dalam proses tangkapan dan penahanan.
Sehingga kini sebanyak 3,333 kes positif COVID-19 dan 53 kematian dilaporkan di Malaysia dengan jumlah kes harian tertinggi turut direkodkan iaitu 217 kes. Daripada jumlah itu 58 darinya mempunyai kaitan dengan perhimpunan keagamaan di Masjid Seri Petaling di Kuala Lumpur pada akhir Februari.