COVID-19: Majoriti Kes Jangkitan Baharu Adalah Warga Asing

Ray Sherman & Nisha David
2020.06.03
Kuala Lumpur, Malaysia
200603-MY-PATI1000.jpg Pihak berkuasa membawa pendatang tanpa izin dari Pasar Borong Selayang di Kuala Lumpur ke depoh-depoh tahanan, 11 Mei 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia mencatatkan sebanyak 93 kes baru COVID-19 pada Rabu yang hampir kesemuanya merupakan warga asing dengan pejabat Kedutaan Indonesia dan Bangladesh berkata rakyat negara itu perlu disahkan bebas dari virus sebelum dihantar pulang.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 91 kes baharu yang direkodkan pada Rabu melibatkan pekerja asing dengan 55 daripadanya mereka berada di Pusat Tahanan Imigresen Bukit Jalil, di Kuala Lumpur, dan selebihnya melibatkan kilang pemprosesan ayam di Pedas, Negeri Sembilan.

"Lima puluh lima kes adalah dari Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil dan 36 kes dari Kluster Pedas. Hanya dua kes melibatkan warganegara Malaysia. Tiada kes import yang mendapat jangkitan di luar negara,” kata Noor Hisham pada sidang media harian di Putrajaya.

Beliau berkata angka positif terbaharu itu sekaligus menjadikan jumlah kes di Malaysia adalah sebanyak 7,970 kes, manakala jumlah kematian kekal pada 115, tiada kematian terbaharu dicatatkan sejak 22 Mei.

Katanya Kementerian Kesihatan Malaysia telah menjalankan ujian saringan terhadap 4,908 individu di empat pusat tahanan Imigresen, iaitu Bukit Jalil, Semenyih, Sepang dan Putrajaya dengan 466 daripadanya didapati positif.

“Seramai 3,267 yang disaring didapati negatif manakala 1,175 sampel lagi sedang menunggu keputusan. Manakala Kluster Pedas pula ada penambahan 36 kes menjadikan jumlah kumulatif bagi kluster tersebut sebanyak 256 kes.

“Kluster ini melibatkan 16 warga tempatan dan 242 bukan warganegara. Jumlah tertinggi adalah dikalangan warga Nepal dengan 136 kes,” demikian menurut Noor Hisham.

Warga asing penyumbang statistik

Noor Hisham, baru-baru ini telah berkata bahawa jangkitan COVID-19 di kalangan pekerja asing sekali lagi meningkatkan statistik penularan harian virus berkenaan di Malaysia.

"Peningkatan kes ini dapat dilihat secara ketara mulai 29 April 2020. Ini adalah disebabkan oleh kes import dari luar negara, penularan kes COVID-19 di kalangan bukan warganegara di beberapa Depoh Tahanan Imigresen, dan juga di kalangan pekerja bukan warganegara pelbagai sektor di dalam komuniti," katanya.

Namun begitu, Noor Hisham berkata bukan warganegara tidak harus disisih dan distigmakan oleh rakyat Malaysia.

Justeru, kerjasama dari kedutaan dan NGO diperlukan untuk berkomunikasi dengan penduduk warga asing untuk memerangi wabak tersebut.

Kedutaan pantau saringan, proses penghantaran


Sementara itu, pejabat Kedutaan Indonesia dan Bangladesh memberitahu BeritaBenar pada Rabu bahawa kesemua rakyat negara itu yang akan dihantar pulang menjalani ujian saringan dan disahkan bebas dari virus sebelum dihantar pulang.

“Kami mengadakan mesyuarat dengan kerajaan Malaysia pada hujung Mei dan semua yang akan dihantar pulang akan disaring. Yang mana berada di depoh tahanan seperti di Bukit Jalil sudah disaring manakala selebihnya sedang dalam proses.

“Penghantaran yang akan bermula pada 6 Jun, melibatkan 2,861 warga Indonesia dari seluruh negare termasuk Sabah dan Sarawak yang akan dihantar pulang secara berperingkat seperti yang diumumkan kerajaan Malaysia,” demikian menurut jurucakap pejabat Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur kepada BeritaBenar.

Katanya lagi, pejabat Kedutaan itu akan turut membantu dari pengurusan dokumentasi kepada mereka yang tidak mempunyai dokumen.

Manakala Kedutaan Bangladesh pula berkata kira-kira 2,476 warganya yang ditahan di depoh tahanan imigresen di negara itu akan dihantar pulang.

“Mereka yang berada dalam tahanan di depoh imigresen telah dan sedang disaring oleh pihak berkuasa kesihatan Malaysia dan kami tidak mempunyai jumlah yang tepat berapa ramai yang sudah disaring,” kata jurucakap kedutaan tersebut.

Tambah beliau, kerajaan Bangladesh akan membuat keputusan lain jika ada keperluan untuk menyaring warganya selepas mereka tiba di negara itu.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.