Malaysia Bakal Lihat 30,000 Kes Harian Jika Gagal Bendung Gelombang Varian Omicron

Kadar jangkitan harian Omicron yang pantas dan melonjak boleh memberi tekanan serta melumpuhkan sistem kesihatan awam negara.
Iskandar Zulkarnain & Nisha David
2022.01.06
Kuala Lumpur
Malaysia Bakal Lihat 30,000 Kes Harian Jika Gagal Bendung Gelombang Varian Omicron Bakal haji dari Malaysia berkumpul sebelum bergerak menaiki bas menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebelum berlepas ke Tanah Suci Makkah, di sebuah hotel milik Lembaga Tabung Haji di Sepang, 14 Ogos 2018.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Pihak berkuasa kesihatan Malaysia pada Khamis memberi amaran jika tiada langkah segera dan tegas diambil bagi mengekang gelombang varian Omicron COVID-19 yang sangat mudah berjangkit, negara itu bakal menyaksikan peningkatan jangkitan harian sehingga 30,000 kes sehari.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada hari yang sama turut memberitahu yang negara itu telah mengesan sebanyak 245 kes varian Omicron setakat ini, dengan lebih 50 peratus daripadanya melibatkan pengembara yang pulang dari Arab Saudi.

Mengambil kira risiko kadar jangkitan COVID-19 mampu melonjak sehingga ke paras 15,000 kes dalam tempoh 24 jam di antara Januari hingga Febuari, Khairy berkata Jemaah menteri membuat keputusan menangguhkan ibadat umrah untuk tempoh satu bulan bermula 8 Januari.

"Ini hasil unjuran KKM menerusi model Berisiko-Terdedah-Berjangkit-Diasingkan (SEIR) yang menggunakan kadar kebolehjangkitan (Rt) sebagai sandaran, iaitu masing-masing pada 0.95, 1.2 dan 1.6.

"Mengikut model SEIR, sekiranya Rt berada para paras 1.2, kes akan meningkat kepada 10,000 sehari, jika Rt 1.6 kes melambung mencecah 30,000 kes sehari,” kata Khairy semasa sidang media pada Khamis.

Menurutnya jumlah tersebut bakal mengatasi jumlah jangkitan harian tertinggi 24,599 kes di Malaysia yang direkodkan pada Ogos tahun lalu.

Perkhidmatan kesihatan awam terancam

Khairy menegaskan walaupun varian Omicron tidak mengancam nyawa seperti varian Delta, namun kadar jangkitan harian yang tinggi akan menyebabkan peningatan kes serius seterusnya memberi tekanan kepada sistem kesihatan awam.

“Tetapi kalau kes jangkitan baharu mencecah 30,000 setiap hari, kemasukan ke hospital akan meningkat. Sistem kesihatan kita baru sahaja hendak pulih.

“Berdasarkan data yang dikumpul sehingga 30 Disember 2021, terdapat 57,355 kes pembedahan dan rawatan yang tertunda di hospital-hospital awam dan angka tersebut telah berjaya dikurangkan kepada 52,189 kes setakat ini,” kata Khairy.

Tambahnya lagi: “Sekiranya kita ‘lepaskan’ gelombang Omicron masuk terlalu awal, maka bilangan kes pembedahan dan rawatan tertunggak akan kembali meningkat.

Beliau turut berkongsi kebimbangan sekiranya peningkatan jumlah pesakit varian Omicron tidak dibendung, ia akan mengancam para petugas barisan hadapan perubatan.

"Bayangkan, jika jururawat, doktor pakar dan pegawai perubatan dijangkiti Omicron, mereka tidak mempunyai pilihan lain tetapi terpaksa mengasingkan diri, sekali gus tidak boleh bertugas.

"Sekiranya tiada yang bertugas di hospital, sektor perkhidmatan kesihatan awam kita akan berisiko lumpuh dan akhirnya kembali seperti takuk lama apabila penularan varian Delta melanda negara.

Penyebaran virus di kalangan pengembara

Mengulas lanjut, Khairy mendedahkan hasil ujian yang dilakukan oleh Institut Kajian Perubatan (IMR) ke atas 1,174 kes positif di kalangan pengembara yang tiba di Malaysia bagi tempoh 1 hingga 31 Disember, mendapati 1,220 iaitu 69 peratus sampel menunjukkan berkemungkinan varian Omicron.

“Dari jumlah ini, 928 atau 76 peratus yang melibatkan sampel pengembara yang tiba dari Arab Saudi.

“Kes COVID-19 tidak kira varian yang kita kesan di pintu masuk lapangan terbang pada minggu akhir tahun 2021 adalah sebanya 1,842 kes positif dan 85 peratus ataupun 1,558 adalah pengembara adalah Jemaah Umrah yang kembali dari Arab Saudi.

“Kedua paling tinggi adalah pengembara yang pulang dari Turki dengan 84 kes, diikuti oleh pengembara yang pulang dari Emiriah Arab Bersatu dengan 50 kes serta 47 kes melibatkan pengembara pulang dari United Kingdom.

“Dari kes-kes tersebut, varian Omicron paling banyak datang dari pengembara Umrah. Itu fakta,” ujarnya.

Gagal patuhi protokol kesihatan

Dalam sidang media sama, Khairy turut berkongsi kebimbangan mengenai kegagalan agensi pelancongan mematuhi protokol kesihatan yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Ada satu kes yang sangat-sangat membimbangkan melibatkan 91 jemaah umrah yang dikendalikan oleh satu agen pelancongan.

“Dalam kes ini, 55 daripada 91 jemaah Umrah dikesan positif sewaktu ujian pra-pelepasan di Arab Saudi.

“Dengan 36 jemaah daripada kumpulan ini adalah kontak rapat sebab mereka berada dalam satu pakej yang sama, namun mereka dibenarkan untuk naik pesawat dan balik ke Malaysia.

“Kontak rapat tidak diasingkan. Kontak rapat kepada kes positif tidak diasingkan dan apabila mereka kembali, 24 daripada mereka sah positif dan dari situ empat adalah varian Omicron.

"Ini adalah satu lagi sebab kenapa keputusan dibuat untuk menangguhkan dahulu... untuk memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) misalnya kontak rapat, mereka tidak boleh terus dibenarkan pulang," katanya.

Khairy pada 2 Januari lalu mengumumkan bahawa ibadah umrah terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu bermula 8 Januari berikutan peningkatan kes mendadak berkait varian Omicron dikalangan jemaah haji yang pulang.

Menteri Kesihatan itu berkata ianya bagi membolehkan kerajaan merangka SOP yang lebih ketat bagi memastikan bahawa jemaah yang pulang tidak dijangkiti atau menjangkiti orang lain dalam proses kembali ke tanah air.

Khairy turut mendedahkan kementerian turut mengesan 12 jemaah umrah yang pulang tidak mempunyai rekod vaksinasi – bertentangan dengan polisi kerajaan mensyaratkan semua pengembara perlu melengkapkan vaksinasi COVID-19.

Selain itu, kegagalan jemaah umrah mematuhi arahan kuarantin kendiri juga telah mencetuskan penularan jangkitan COVID-19 di kalangan ahli keluarga dan komuniti sehingga membabitkan tiga generasi.

Sebagai contoh, Khairy berkata Kluster Keratong 5 di negeri Pahang yang melibatkan dua kes indeks telah menyebabkan 28 kes positif sehingga menular tiga generasi.

“Jangkitan pertama kepada kontak keluarga di Rompin, generasi kedua melibatkan 15 individu lagi dan generasi ketiga adalah melibatkan tujuh orang di Mersing, Johor.

"Ini adalah contoh bagaimana mereka yang kembali menjalani kuarantin di rumah menyebabkan jangkitan berlaku dan menular sehingga generasi ketiga.

Sementara itu Ida Riswana Idris, Pengarah dan Penasihat Undang-undang Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd berkata syarikat itu bakal menanggung kerugian sehingga RM6 juta susulan langkah kerajaan menangguhkan perjalanan umrah.

“Ini melibatkan perjalan seramai lapan ribu Jemaah dengan bayaran yang telah dibayar kepada Arab Saudi dan sebagainya adalah sekitar RM8 juta melibatkan hotel dan tiket penerbangan yang tidak boleh dipulangkan.

“Kami jangkakan kerugian yang terlepas bayar dan tidak boleh dituntut sekitar RM6 juta,” ujarnya dalam satu siri siaran langsung media sosial pada 3 Januari.

Justeru, beliau berharap kerajaan akan berbincang dengan semua agensi pengendali umrah untuk mencari kaedah terbaik meningkatkan protokol kesihatan tanpa memanjangkan lagi tempoh larangan ke atas perjalanan umrah.

“Saya memahami ada jemaah umrah yang tidak mematuhi SOP sebaik pulang daripada umrah mereka, namun langkah mengetatkan pengawasan terhadap jemaah mungkin boleh dilaksanakan terlebih dahulu,” ujarnya lagi.

Status ibadah haji belum dimuktamadkan

Dalam perkembangan berkaitan, Idris Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengenai Hal Ehwal Agama Malaysia akan berbincang dengan Arab Saudi bagi memuktamadkan status ibadah haji bagi tahun ini.

“Perbincangan lanjut dengan kerajaan Arab Saudi berhubung isu tersebut dijangka berlangsung selewat-lewatnya bulan depan.

“Sepatutnya pertemuan itu sudah berlangsung sebelum ini tetapi terpaksa ditangguhkan berikutan penularan varian Omicron dan pertukaran Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi,” katanya dalam sidang media di negeri Terengganu pada Khamis.

Kerajaan Arab Saudi telah menutup kemasukan Jemaah haji luar negara selama dua tahun sejak penularan pandemik COVID-19 pada awal 2020.

Malaysia merekodkan 3,543 kes harian pada Khamis dan 31,626 kematian berkaitan COVID-19 sejak kes pertama di kesan dua tahun lalu di negara itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.