Follow us

Bekas Penjual Emas Dipenjara 3 Tahun Salur Dana RM200 Kepada Pengganas

Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-11-15
E-mel
Komen
Share
Bendera Kumpulan Militan Negara Islam [IS] berselerak di atas tanah selepas kawasan yang menjadi benteng terakhir IS di sekitar Baghouz, Syria digempur melalui serangan udara oleh gabungan pakatan yang diketuai oleh Amerika Syarikat dan Pasukan Demokratik Syria, 23 March, 2019.
Bendera Kumpulan Militan Negara Islam [IS] berselerak di atas tanah selepas kawasan yang menjadi benteng terakhir IS di sekitar Baghouz, Syria digempur melalui serangan udara oleh gabungan pakatan yang diketuai oleh Amerika Syarikat dan Pasukan Demokratik Syria, 23 March, 2019.
[AP]

Seorang penjual emas dijatuhkan hukuman tiga tahun penjara oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat selepas didapati bersalah menyalurkan dana sebanyak RM200 kepada anggota militan Negara Islam [IS] rakyat Malaysia di Syria pada 2018.

Mohd Zulkifli Shafie, 37, didakwa melakukan kesalahan tersebut dibawah Seksyen 130Q(1) Kanun Keseksaan kerana menyalurkan RM200 (AS$48) melalui akaun Maybank beliau kepada anggota militan IS rakyat Malaysia Wan Aquil Wan Zainal Abidin yang turut dikenali sebagai Akel Zainal.

Zulkifli didakwa menyalurkan dana itu sebagai satu dorongan dan manfaat bagi melanjutkan satu perbuatan dan ideologi kumpulan pengganas Negara Islam.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman itu setelah mendengar fakta kes, hujahan pembelaan, mitigasi dan pemberatan dari pihak pendakwaraya dan peguam bela.

“Dengan ini saya menjatuhkan hukuman penjara 3 tahun yang bermula dari tarikh ditangkap,” kata hakim itu.

Keluarga Zulkifli yang kelihatan hadir pada sesi berkenaan menangis selepas mendengar jumlah hukuman penjara yang dijatuhkan.

Zulkifli ditahan pihak berkuasa pasukan Anti-keganasan Bukit Aman pada 30 Oktober, 2018 di Putrajaya kerana disyaki menyalurkan dana kepada Akel.

Beliau yang pada mulanya telah didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 130N Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara maksima 30 tahun dan denda, kemudiannya telah membuat rayuan supaya Seksyen tersebut dipinda kepada 130Q yang membawa kepada hukuman yang lebih ringan.

Akel Zainal, bekas pemain drum kumpulan rock Ukays dan menjadi terkenal sekitar tahun 1990-an meninggalkan Malaysia pada 2014 untuk menyertai kumpulan pengganas IS.

Akel telah disahkan meninggal dunia bersama isteri dan dua anaknya pada Mac lalu, selepas rumah mereka di Baghouz, sebuah bandar di Syria yang bersempadan dengan Iraq serta merupakan benteng terakhir kumpulan militan IS, terkena letupan bom semasa serangan udara pasukan gabungan pakatan yang diketuai Amerika Syarikat, di wilayah tersebut.

Tiga bulan sebelum itu seorang lagi rakyat Malaysia yang merupakan pengrekrut dan ketua IS Malaysia di Syria, Mohd Rafi Udin turut disahkan meninggal dunia dalam cubaan melarikan diri dari serangan di daerah yang sama.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti-Keganasan (E8) Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia, Ayob Khan Mydin Pitchay memberitahu BeritaBenar bahawa penyaluran dana merupakan satu kesalahan berat.

“Tidak kira berapa jumlah yang disalurkan, ia tetap satu kesalahan,” kata Ayob semasa dihubungi.

Pada 2016, Mahkamah Melaka menjatuhkan hukuman penjara empat tahun ke atas abang kepada Muhammad Wanndy Mohamed Jedi, perekrut utama IS bagi Malaysia, kerana membenarkan akaun bank beliau digunakan untuk aktiviti keganasan.

Mohamed Danny, 32, mengaku bersalah membenarkan wang berjumlah RM12,310 (AS$2,964) dan pengeluaran RM10,000 (AS$2,407) bagi membantu aktiviti keganasan.

Danny didakwa melakukan kesalahan tersebut di cawangan Maybank Ayer Keroh di Melaka antara 28 Januari dan 5 Mac, 2016.

Pihak berkuasa Malaysia menurut Ayob sentiasa memantau transaksi kewangan yang mencurigakan dengan bantuan dari pihak berkuasa perbankan negara seperti Bank Negara.

Selain itu, PDRM juga turut memantau setiap pengumpulan dana yang dilakukan melalui transaksi perbankan yang kononnya menggunakan nama sesebuah pertubuhan atau badan bukan kerajaan (NGO) bagi tujuan kemanusiaan namun sebaliknya adalah untuk kumpulan militan.


Lihat Laman Penuh