Follow us

Ketua Sindiket Penculikan Warga Bangladesh Ditembak Mati

Hadi Azmi & Zam Yusa
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-02-13
E-mel
Komen
Share
Polis membawa mayat lelaki warga Bangladesh yang dipercayai ketua sindiket penculikan yang ditembak mati dalam satu operasi di Kajang, Malaysia. 12 Feb, 2019.
Polis membawa mayat lelaki warga Bangladesh yang dipercayai ketua sindiket penculikan yang ditembak mati dalam satu operasi di Kajang, Malaysia. 12 Feb, 2019.
[Ihsan Polis Diraja Malaysia]

Pihak berkuasa Malaysia menembak mati dua warga Bangladesh, di mana salah seorang daripada mereka dipercayai ketua kumpulan sindiket penculikan yang menyasarkan rakyat dari negara tersebut di sekitar ibunegara dan Selangor pada Selasa.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim berkata, sindiket itu dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 13 kes penculikan yang membabitkan warga Bangladesh yang bekerja di sekitar kawasan tersebut.

"Mangsa terbaru yang diculik di Kuala Lumpur pada 8 Februari lepas turut berjaya diselamatkan dalam operasi yang dijalankan awal pagi Rabu di sebuah rumah di Kajang, yang dipercayai digunakan untuk menyembunyikan orang tawanan," tambahnya.

Terdahulu itu, Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff seperti dilaporkan agensi berita nasional Malaysia [Bernama] berkata “Seorang suspek yang ditembak mati dipercayai dalang utama kumpulan terbabit dan polis kini dalam proses mengenal pasti identiti kedua-dua suspek."

Mazlan turut memberitahu yang sindiket itu menghubungi keluarga mangsa yang diculik di Bangladesh untuk mendapatkan wang tebusan sekitar 200 ribu ringgit [AS$49,116] dari keluarga mangsa yang diculik.

"Bertindak atas maklumat yang suspek menyembunyi mangsa di rumah berkenaan, polis telah menjalankan operasi menyelamat dan semasa tiba pasukan kami telah diancam dengan beberapa das tembakan oleh kedua-dua lelaki yang menyedari kehadiran kami sebelum berlakunya kejadian berbalas tembakan antara dua pihak,” tambahnya lagi.

Mazlan berkata, polis merampas pistol separa automatik dan juga sebilah parang panjang ditemui di sisi penculik yang mati terkena tembakan, dengan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui daripada kedua-duanya.

Difahamkan bahawa mangsa culik yang ditemui pihak polis di salah sebuah bilik di rumah tersebut telah diikat tangan dan kakinya.

Mazlan berkata siasatan juga mendedahkan bahawa penculik itu bukan sahaja terlibat dalam kes yang serupa sebelum ini, tetapi juga mempunyai kaitan dengan pembunuhan dua pekerja Bangladesh yang mayat mereka ditemui berdekatan dengan pusat timbunan sampah di Kuala Lumpur dan di sebatang sungai di Selangor bulan lepas. Satu mayat yang ditemui itu hilang jari kaki manakala satu lagi separa reput.

"Polis Kuala Lumpur telah menjalankan siasatan lanjut selepas kedua-dua mayat itu ditemui pada 13 Januari lepas, dan kami dapati suspek bertanggungjawab terhadap kematian dua warga Bangladesh berkenaan," kata Mazlan sambil menambah bahawa mangsa yang diselamatkan oleh pihak polis pada awal pagi Rabu turut mengesahkan penglibatan suspek dengan mangsa yang dibunuh.

Pihak berkuasa Malaysia juga menahan dua lelaki tempatan yang dipercayai sebagai anggota sindiket berkenaan serta merampas sebuah kereta MPV Perodua Alza yang dipercayai digunakan untuk menculik mangsa dengan kedua-dua lelaki tersebut kini direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan.

Polis juga mendedahkan bahawa sindiket berkenaan bertanggungjawab terhadap sekurang-kurangnya 13 kes penculikan yang melibatkan pekerja Bangladesh di Kuala Lumpur dan Selangor sejak 2017 dan telah mengumpulkan antara 2.5 juta ringgit (AS$614,000) sebagai wang tebusan.

BeritaBenar dimaklumkan oleh sumber polis, yang juga seorang pegawai kanan  yang mengetahui tentang siasatan itu, bahawa sindiket berkenaan menyasarkan rakyat negara sendiri kerana lebih mudah berkomunikasi dengan keluarga mereka di Bangladesh untuk meminta wang tebusan.

"Sedikit sukar untuk menculik mangsa berbangsa lain. Bahasa, kerja yang lebih banyak. Tetapi lebih mudah di kalangan mereka," kata sumber itu.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan dikenakan denda.

Membimbangkan


Penculikan pekerja Bangladesh di Malaysia sangat membimbang, kata Naheedul Huq, ahli eksekutif Persatuan Forum Bangladesh Malaysia yang berpejabat di Kuala Lumpur dengan turut menggesa pihak polis menyiasat kenapa sidiket itu menyasarkan warga Bangladesh.

"Wang tebusan yang diminta oleh kumpulan sidiket berkenaan berjumlah ratusan ribu ringgit seperti yang dilaporkan media, dan ianya seperti tidak masuk akal kerana pekerja warga Bangladesh tidak mempunyai pendapatan yang tinggi, antara 1,000 dan 2,000 ringgit sebulan.

“Mereka juga perlu menyelesaikan pinjaman yang dibuat semasa mahu datang ke Malaysia termasuk membayar levi tahunan yang tinggi. Keluarga mereka di tanahair mereka juga bukannya terdiri daripada golongan kaya… Jadi saya tidak pasti mengapa penculik mahu menyasarkan warga Bangladesh,” kata Naheedul Huq.

Beliau juga menambah dengan berkata, “Saya meminta polis Malaysia untuk menyiasat sehingga ke peringkat akar umbi kenapa dan mengapa perkara ini boleh terjadi. Saya cadangkan supaya Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Kuala Lumpur bekerjasama dengan pegawai Kementerian Dalam Negeri berbincang tentang isu keselamatan pekerja Bangladesh di Malaysia.”

Sementara itu, kumpulan hak asasi manusia, Tenaganita, menerusi pengarah eksekutifnya, Glorene Das, berkata kes seperti ini mempunyai unsur penyeludupan manusia kerana mangsa ditahan tanpa kehendak mereka.

"Oleh itu, kes ini perlu ditangani dengan sewajarnya oleh pihak polis," katanya sambil menambah bukan hanya warga Bangladesh yang diculik.

"Tenaganita tahu bahawa pihak berkuasa berkaitan mengetahui siapakah yang sering menjadi mangsa culik. Kami berharap anggota sindiket tersebut didakwa dan dihukum. Kami juga berharap mangsa mendapat keadilan yang sewajarnya dan tidak dihukum kerana status mereka yang tidak mempunyai dokumen, tetapi sokongan dan jaminan keselamatan perlu disediakan," tambah Glorene.

Sumber polis berkata kes penculikan pekerja asing banyak berlaku dikalangan warga Bangladesh dengan empat lelaki termasuk seorang lelaki Bangladesh mengaku tidak bersalah atas kesalahan menculik, mencuri dan memeras ugut sehingga menyebabkan kecederaan kepada dua pekerja pembinaan warga itu di Johor.

Menurut laporan Institut Penyelidikan Khazanah pada tahun lalu, pekerja Bangladesh mewakili 13.2 peratus daripada jumlah pekerja asing di Malaysia dibelakang Nepal dan Indonesia.

Lihat Laman Penuh