Polis Malaysia Rampas Ganja Diseludup dari Laos Bernilai RM1.53juta

Dua lelaki tempatan ditahan berhubung penemuan dadah yang dituai dari kawasan Segitiga Emas dan dibawa melalui sempadan Malaysia-Thailand.
Nisha David
2022.03.17
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Polis Malaysia Rampas Ganja Diseludup dari Laos Bernilai RM1.53juta Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis DiRaja Malaysia Ayob Khan Mydin Pitchay menunjukkan dadah jenis ganja yang dipercayai diseludup dari Laos semasa sidang media di Ibupejabat Polis Selangor, di Shah Alam, 3 Mac, 2022.
[Ihsan Polis DiRaja Malaysia]

Polis Malaysia merampas ganja seberat 468.3kilogram bernilai kira-kira RM1.53 juta, yang dipercayai diseludup masuk dari Segitiga Emas Laos, selepas tertangkapnya dua lelaki tempatan di Kuala Langat, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Malaysia pada Khamis.

Ayob Khan Mydin Pitchay berkata dadah itu diseludup masuk melalui jalan darat di sebuah negeri di utara Semenanjung yang bersempadan dengan Thailand untuk pasaran di Lembah Klang.

“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik telah berjaya merampas dadah jenis ganja seberat 486.8 kilogram dan 10 kilogram lagi dadah jenis syabu yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM1.53 juta,” kata Ayob sambil menambah ganja yang dirampas itu diseludup dari Laos.

“Kegiatan penyeludupan ganja dari Laos sebelum dibungkus dan disimpan untuk edaran tempatan terbongkar selepas menahan dua lelaki tempatan di sekitar Kuala Langat, dua hari lalu, yang membawa kepada penemuan dadah berkenaan di sebuah rumah di Klang, awal minggu ini.

“Dadah-dadah ini dipercayai diseludup masuk melalui jalan darat di sebuah negeri di utara Semenanjung yang bersempadan dengan Thailand,” kata Ayob semasa sidang media di Shah Alam pada Khamis.

Beliau berkata kedua-dua lelaki yang ditahan berusia 31 dan 47 tahun itu dipercayai mula aktif dalam pengedaran ganja dan syabu sejak awal bulan ini, dengan seorang daripadanya memiliki rekod kes jenayah lampau.

Menurut beliau lagi, bulan Mac dan Oktober secara kebiasaannya adalah musim menuai ganja di Laos.

“Bagaimanapun, aktiviti menuai di negara itu pada masa sekarang dijalankan sepanjang tahun kerana mempunyai sistem pengairan yang sempurna dan disebabkan itu kita dapat melihat banyak rampasan yang dibuat di sempadan utara Semenanjung Malaysia melibatkan dadah jenis ganja,” katanya.

Beliau berkata, ganja yang dirampas terdiri daripada tiga gred iaitu Gred 2 berharga RM2, 800(AS$667) sekilogram, Gred 3 pada harga RM2,500(AS$595) manakala Gred 4 berharga RM2,400(AS$572).

Jumlah dadah yang dirampas menurut Ayob boleh digunakan oleh seramai 987,341 orang penagih dadah.

“Kita turut menyita pelbagai aset sindiket termasuk kenderaan dan barang kemas bernilai RM88,496(AS$21,000), dan kedua dua lelaki itu kini direman selama 7 hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan” tambahnya lagi.

Segitiga Emas

Sementara itu seorang sumber keselamatan memberitahu BenarNews, Malaysia terletak berhampiran dengan beberapa negara pengeluar dadah seperti Myanmar, Laos dan Thailand yang dikenali sebagai Segitiga Emas.

“Dadah biasanya diseludup dari Segitiga Emas terutamanya daripada Wilayah Shan di Myanmar yang merupakan antara pengeluar dadah jenis syabu terbesar untuk pasaran dunia sebelum memasuki Malaysia melalui jalan laut atau darat,” katanya.

Katanya dua laluan digunakan sindiket iaitu jalan laut dan darat bermula dari Segitiga Emas dan berakhir di seluruh pelosok Malaysia.

“Yang pertama, jika menggunakan jalan laut, perjalanan akan bermula dari wilayah Satun, Thailand menuju ke Pulau Langkawi, Kedah seterusnya belayar merentasi Pulau Kendi dan Teluk Kumbar sebelum masuk ke Sungai Jawi atau Kuala Juru, Pulau Pinang.

“Majoriti sumber dadah ke Sabah dan Sarawak akan melalui jalan laut dan udara dari Semenanjung Malaysia,” katanya lagi.

Menurut beliau, jalan kedua adalah melalui darat yang bermula dari wilayah Narathiwat, Thailand melalui Tak Bai dan Golok menggunakan Sungai Golok ke Tumpat serta Rantau Panjang.

“Laluan darat ini mudah berikutan Malaysia dan Thailand hanya dipisahkan dengan Sungai Golok yang panjangnya 99 kilometer dan lebarnya 15 meter serta sungainya yang agak cetek.

“Faktor sungai yang sempit serta mempunyai kelebaran hanya beberapa meter sahaja membolehkan sindiket menyeludup masuk dadah secara mudah ke dalam Malaysia," kata sumber keselamatan itu lagi kepada BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.