Follow us

Dua Tan Syabu Bernilai RM103.2 juta Dirampas di Johor

Radzi Razak & Ali Nufael
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-03-22
E-mel
Komen
Share
Dadah jenis Syabu yang dibungkus di dalam uncang teh Cina bernilai 103.2 juta ringgit telah dirampas dalam serbuan di Johor, dipamerkan di Ibupejabat Polis Daerah Seri Alam, Johor Bahru, Malaysia,  22 Mac, 2019.
Dadah jenis Syabu yang dibungkus di dalam uncang teh Cina bernilai 103.2 juta ringgit telah dirampas dalam serbuan di Johor, dipamerkan di Ibupejabat Polis Daerah Seri Alam, Johor Bahru, Malaysia, 22 Mac, 2019.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Pihak berkuasa Malaysia pada Jumaat berkata mereka berjaya melumpuhkan satu sindiket yang dipercayai menjadikan Johor sebagai pusat transit dadah bagi pasaran antarabangsa selepas merampas dadah jenis syabu seberat lebih 2.06 tan yang bernilai kira-kira 103.2 juta ringgi (AS$25.3 juta) dalam satu operasi di negeri itu, demikian menurut Pengarah Jabatan Siasatan Narkotik Bukit Aman.

Mohmad Salleh berkata, polis turut menahan enam anggota sindiket didalangi warga tempatan berusia antara 35 hingga 49 tahun termasuk ketuanya dalam serbuan tersebut.

Beliau menambah, dadah tersebut dipercayai diseludup masuk melalui jalan laut dari kawasan Segitiga Emas(Thailand, Myanmar dan Kemboja) telah dibungkus semula di Malaysia sebelum dieksport ke tujuh buah negara lain.

“Kami percaya sindiket ini baru sahaja bergiat sejak 2 minggu lalu dan menjadikan Malaysia sebagai transit untuk membawa masuk dadah dari negara Segitiga Emas, sebelum membungkus semula di beberapa buah makmal mini untuk pasaran tempatan dan juga di negara seperti Singapura, Indonesia, Filipina, Korea, Jepun, Australia dan New Zealand,” kata Mohmad dalam satu sidang media di Ibu pejabat Polis Daerah [IPD] Seri Alam, Johor Bahru, Johor.

“Kejayaan ini (juga) merupakan rampasan terbesar dalam sejarah polis,” tambah beliau lagi sambil memaklumkan yang kesemua serbuan telah dibuat di tiga lokasi berbeza pada Selasa lalu.

Menurut Mohmad, dadah dipercayai jenis Syabu itu mampu menampung keperluan bagi 10.3 juta penagih di rantau itu.

“Syabu dibungkus dalam 2,000 paket bungkusan teh Cina jenama terkenal, ditemui dalam sebuah kontena disimpan di kawasan kolam ternakan ikan dekat ladang kelapa sawit di Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram, Johor Bahru, Selasa lalu.

“Serbuan pertama di Taman Desa Cemerlang, kita menahan tiga lelaki dan merampas semua dadah berkenaan, manakala, serbuan kedua di sebuah rumah dekat Taman Pelangi Indah, Ulu Tiram, dua lelaki lelaki ditahan.

“Serbuan ketiga pula seorang lelaki ditahan dalam kenderaan di Taman Desa Cemerlang,” kata Mohmad.

Beliau berkata, semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah, dengan  negatif dalam ujian air kencing. Kesemua mereka ditahan reman selama tujuh hari sehingga 27 Mac ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam serbuan tersebut, polis turut menyita tujuh buah kenderaan, wang tunai, barang kemas dan jam tangan bernilai RM489,000.

Kenderaan itu adalah sebuah SUV Lexus, Toyota Camry, Toyota Estima, Nissan Cefiro, Nissan Navara, Ford Ranger dan Proton Inspira.

Kerjasama antara agensi

Mohmad berkata rampasan kali ini adalah hasil kerjasama antara tiga agensi iaitu Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam dan Eksais DiRaja serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Kejayaan kali ini menurut Mohmad merupakan hasil risikan dua minggu bersama-sama dengan dua lagi agensi.

Ini merupakan kejayaan kelima polis dalam membuat rampasan dadah bernilai jutaan ringgit sepanjang tiga bulan pertama tahun ini.

Minggu lalu polis menangkap tujuh anggota daripada satu lagi sindiket yang turut memasarkan dadah bagi pasaran antarabangsa serta merampas dadah bernilai hampir RM1 juta, di Johor Bahru.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor, Asisten Komisioner Lukas Aket, berkata pihaknya merampas 15.15 kilogram dadah dipercayai syabu, 380 gram lagi kokain dan 50.3 gram ecstacy.

Katanya, semua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM850,000 selain menyita empat kenderaan iaitu Mercedes Benz, Toyota Vellfire, Honda Civic dan PROTON Waja, selain pelbagai barang kemas, jam tangan mewah dan pelbagai mata wang tunai bernilai 429,600 ribu ringgit seperti dilaporkan agensi Bernama.

Pada 26 Feburari pula, Polis merampas 72,000 pil yaba, 290 botol heroin dan syabu seberat 2.7 kilogram (kg) bernilai keseluruhan 1.15 juta ringgit selain menyita tiga kenderaan di Kota Bharu, Kelantan.

Manakala pada 3 Februari lalu, Polis menahan tiga individu dan merampas dadah jenis ketamin bernilai RM5.6 juta dalam dua serbuan berasingan di Persiaran Jengka dan Sungai Buloh, Selangor.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Zulkifli Ali berkata dadah berkenaan mampu menampung lebih 300,000 penagih dadah di negara ini.

Pada Januari pula, polis menahan lapan orang dan merampas pelbagai jenis dadah termasuk syabu bernilai  2.93 juta ringgit selepas menumpaskan dua sindiket dadah dalam operasi berasingan di Johor dan Perak termasuk sindiket mengedar dadah dalam penjara.

Menurut penganalisa jenayah Malaysia, Kamal Affendi Hashim, jumlah rampasan dan tangkapan yang banyak tahun ini menunjukkan sikap proaktif pihak berkuasa dalam menangani masalah dadah di dalam dan di luar negara yang menjadikan Malaysia sebagai pusat pengedaran dan transit sindiket antarabangsa.

“Tidak dapat disangkal. Polis dan kastam saling bersaing dan ini satu petunjuk yg positif. Kita perlu ucap tahniah kepada polis dan kastam yang sememangnya proaktif seperti selalu. Komitment yang ditunjukkan amat tinggi,” kata Kamal lagi.

Pada penghujung 2018, Kementerian Dalam Negeri mendedahkan bahawa Kelantan, Pahang, Perlis, Terengganu dan Pulau Pinang mendahului senarai penyalahgunaan dadah selain mencatatkan penagih dadah paling ramai mengikut nisbah jumlah penduduk sepanjang 2018.

Menteri Muhyiddin Yassin, berkata Kelantan merekodkan 16,918  penagih dadah diikut, Pahang (16,150), Selangor (13,123), Johor (13,003)  dan Terengganu (10,576).

Secara keseluruhan, jumlah penyalahgunaan dan penagih dadah di seluruh negara sejak 2014 hingga September 2018 adalah seramai 133,684 orang iaitu kira-kira 0.40 peratus berbanding jumlah penduduk di Malaysia.

Beliau juga memberitahu bahawa kaum Melayu mendahului senarai penagih dadah paling ramai iaitu seramai 88,522 orang (80.6 peratus) diikuti Cina (7,883), India (7,689), pribumi Sabah (4,274) dan pribumi Sarawak (713).

Lihat Laman Penuh