Follow us

Polis Malaysia Tahan Sepuluh Orang, Dadah RM8 Juta Dirampas

Ali Nufael
Kuala Lumpur, Malaysia
2018-07-23
E-mel
Komen
Share
Rampasan dadah oleh pihak berkuasa Malaysia di Pelabuhan Klang, pinggir Kuala Lumpur, 9 Julai 2012.
Rampasan dadah oleh pihak berkuasa Malaysia di Pelabuhan Klang, pinggir Kuala Lumpur, 9 Julai 2012.
AP

Polis Malaysia merampas dadah jenis syabu (methamphetamine) yang dikatakan diseludup dari Myanmar bernilai RM7.8 juta dalam satu serbuan di tempat letak kereta sebuah pasaraya di Ampang Jaya, tidak jauh dari ibu kota Kuala Lumpur pada Sabtu.

Dadah seberat 156 kilogram itu disembunyi di dalam bungkusan paket teh merupakan rampasan terbesar polis Malaysia bagi tahun ini.

Timbalan Pengarah Cawangan Narkotik Bukit Aman Kang Chez Chiang memberitahu BeritaBenar bahawa dadah tersebut dipaketkan sebegitu rupa untuk mengaburi mata pihak berkuasa tempatan tetapi penyeludupannya berjaya dikesan pihak berkuasa China yang kemudiannya menyalurkan maklumat kepada Malaysia.

"Sepuluh lelaki tempatan berjaya ditahan dan kesemua mereka berumur antara 25 dan 46 tahun. Dadah jenis syabu itu dipercayai dibuat dan dibungkus di Myanmar. Buat masa ini kami sedang menyiasat dan maklumat lanjut yang tidak boleh dikongsi bagi mengelak kejadian yang tidak diingini," kata Kang sambil menambah yang operasi masih berjalan.

Menurut sumber, kesemua dadah yang ditemui itu dipercayai untuk pasaran tempatan dan juga Indonesia, dengan harga syabu berkenaan boleh mencecah tiga kali ganda serta  mampu menampung permintaan dari 179,000 penagih.

Sementara itu, Pengarah Cawangan Siasatan Narkotik Bukit Aman Mohmad Salleh dalam kenyataan media pada Isnin berkata serbuan polis dibuat pada kira-kira 7.45 pagi, Sabtu lalu.

Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim memberitahu BeritaBenar, bayaran lumayan daripada sindiket dadah antarabangsa membuatkan sesetengah individu sanggup melanggar undang-undang negara.

Kata beliau, seseorang itu akan dibayar puluhan ribu ringgit untuk satu operasi menyeludup.

"Habuan tinggi, jalan singkat untuk mendapatkan wang yang banyak adalah faktor utama mengapa masih ada lagi orang yang sanggup menyeludup dadah… Ini melibatkan wang dan setiap seorang daripada mereka mempunyai nilai bayaran tersendiri. Oleh itu, mereka tidak memikirkan tentang akibat jika ditangkap kerana upah yang sangat tinggi," tambah Kamal Affandi.

Parlimen Malaysia pada tahun lepas telah memansuhkan hukuman mati mandatori di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi pesalah dadah.

Menteri undang-undangnya yang juga merupakan menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said mengatakan kerajaan mahu melihat sama ada langkah itu "akan mampu mengurangkan perang terhadap dadah sama ada di dalam atau di luar negara."

Beliau berkata, pemansuhan hukuman mati mandatori yang sekaligus melihat pindaan terhadap Rang Undang-Undang [RUU] Dadah Berbahaya itu akan memberi lebih ruang kepada mahkamah untuk menggunakan budi bicara dalam menentukan hukuman lebih sesuai terhadap pesalah dadah.

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan seramai 702,319 individu ditahan kerana mengedar dan memiliki dadah untuk tempoh Januari 2014 hingga Oktober tahun lalu.

Dalam tempoh sama, seramai 21,371 ditangkap di bawah Seksyen 39B, dengan 13,036 kertas siasatan dibuka dan 10,878 kes dituduh di mahkamah.

Bawa dadah ke Malaysia

Sementara itu, Polis Thailand menerusi Biro Pencegahan Narkotik Thailand (NSB) berjaya mematahkan percubaan sindiket dadah untuk menyeludup 400kg 'Ice' (Crystal Methaphetamine) dan 77kg  heroin bernilai berbilion baht ke Malaysia.

Enam suspek, termasuk seorang wanita, ditangkap dalam operasi berasingan di Hatyai, Chumpon dan Nakhon Si Thammarat pada Khamis dan Jumaat lepas.

Agensi berita Bernama melaporkan dadah itu dirancang untuk dihantar ke Malaysia menggunakan sebuah lori sebelum kenderaan itu dipintas di sebuah stesen minyak di wilayah kecil Kuanlong, Hatyai

Ketua NSB Lt Jen Sommai Kongvisaisuk berkata, hasil pemeriksaan rapi, para pegawai NSB mendapati dadah itu disembunyikan di bawah paip PVC dibawa lori berkenaan, dan susulan itu, pemandunya ditahan untuk siasatan lanjut.

Menurut pegawai itu, tiga lagi suspek, yang pihak berkuasa percaya bertindak sebagai "pasukan peninjau" bagi sindiket terbabit, ditangkap di daerah Thungsong, Chumpon, manakala dua lagi diberkas di Nakhon Si Thammarat.





Lihat Laman Penuh