Malaysia Buru ‘Raja Dadah’ dan Sita Aset Miliknya Bernilai AS$82 Juta
2020.01.28
Kuala Lumpur, Malaysia

Pihak berkuasa Malaysia sedang memburu seorang ‘Raja Dadah’ yang mempuyai hubungan dengan kartel dadah di Colombia serta menggunakan Malaysia sebagai transit untuk menyeludup kokain, di mana beliau sekarang ini dipercayai sedang bersembunyi di sebuah negara jiran.
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador pada Selasa berkata, polis juga sudah menyita aset milik lelaki berusia 40-an itu didakwa menggunakan dua syarikat tersenarai awamnya sebagai taktik untuk mengaburi mata pihak berkuasa, yang bernilai kira-kira RM336 juta (AS$82 juta) termasuk kenderaan mewah, hotel, hartanah, rumah dan permis perniagaan.
Beliau juga mendedahkan bahawa perniagaan haram lelaki itu dikesan September lalu apabila polis menyita lebih daripada 12 tan kokain bercampur dengan arang batu, dianggarkan bernilai RM2.4 bilion (AS$580 juta), di Pulau Pinang, dan menangkap beberapa individu.
"Kami mengenal pasti hartanah dan saham dan merampasnya di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan kesemua aset bernilai kira-kira RM366juta dengan suspek masih bersembunyi di negara jiran," kata Abdul Hamid pada satu sidang media di Kuala Lumpur.
Harga pasaran kokain dianggarkan bernilai RM200,000 (AS$47,897) bagi setiap sekilogram.
"Sindiket yang sama juga dipercayai telah memproses methamphetamine di sebuah kilang di Prai, juga di Pulau Pinang, di mana kira-kira 5 kilogram dadah baru-baru ini telah dirampas, bersama dengan bahan kimia dan peralatan pemprosesan dadah, bernilai lebih RM250,000.
"Dalam serbuan ini, lapan suspek yang terdiri daripada dua orang rakyat tempatan, lima warga Myanmar, dan seorang dari China yang kesemua berumur antara 33 dan 51 tahun telah ditahan," tambah Ketua Polis itu lagi.
Sejak tiga tahun lalu, ahli perniagaan bergelar jutawan itu dipercayai hidup mewah di negeri utara, Pulau Pinang dengan melabur dalam saham, perniagaan hartanah dan pembinaan hotel menggunakan wang hasil jualan dadah.
Beliau juga dipercayai menjadikan Malaysia sebagai transit penyeludup kokain sebelum dadah berkenaan dibungkus semula dan dihantar ke negara ketiga.
Abdul Hamid yang enggan menamakan ‘Raja Dadah’ itu berkata, lelaki berkenaan berjaya melarikan diri daripada polis dengan bersembunyi di sebuah negara jiran sejak sebulan lalu.
"Kami telah meminta pertolongan daripada rakan sejawatan kami (di negara tersebut) untuk menjejaki suspek," kata Abdul Hamid yang tidak mahu menamakan negara jiran yang menjadi tempat persembunyian ‘Raja Dadah’ itu.
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia gantung dua syarikat
Ketua Polis itu juga memberitahu yang pihak polis sedang menyiasat dua buah syarikat yang disenarai di Bursa Malaysia yang dipercayai milik lelaki berkenaan.
Pada 22 Januari lepas, akhbar tempatan The Star melaporkan yang satu kenyataan kepada Bursa Malaysia telah dihantar oleh syarikat Heng Huat yang antara lain memaklumkan bahawa Pengerusi Eksekutif Heng Huat Resources Group Bhd, Ooi Chieng Sim telah ditahan reman oleh pihak polis untuk membantu siasatan berkaitan perkembangan ATTA Global Group Berhad, di mana Ooi juga pengerusi eksekutif, di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pada hari yang sama The Edge Markets, iaitu penerbitan yang memberi tumpuan kepada dunia perniagaan tempatan turut melaporkan ATTA Global telah membuat pengesahan bahawa penggantungan dagangan sahamnya disebabkan oleh serbuan polis keatas premis syarikat itu di Kawasan Perindustrian Prai di Pulau Pinang pada 16 Januari.
Penggantungan arahan itu dibuat oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) terhadap semua perdagangan dalam sekuriti ATTA Global dan Heng Huat Resources Group Bhd pada 16 Jan.
The Edge juga melaporkan dalam kenyataan yang diemail sebagai tindak balas kepada pertanyaan oleh penerbitan itu, seorang jurucakap SC berkata: "Arahan kepada Bursa dikeluarkan menurut seksyen 26 dan 28 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, berikutan penyitaan akaun dagangan beberapa individu utama yang terlibat dalam syarikat-syarikat ini oleh Polis Diraja Malaysia."
ATTA Global pada 20 Januari turut mendedahkan bahawa pengerusi eksekutif Ooi Chieng Sim ditahan untuk membantu siasatan.
Berhubung dengan siasatan berkenaan, pihak berkuasa telah membekukan sembilan akaun bank di bawah syarikat dan empat anak syarikat, sekuriti yang dipegang dalam akaun milik dua anak syarikat, serta akaun bank peribadi dan sistem depositori pusat (CDS) Ooi, dan akaun bank eksekutif peribadi pengarah Ng Chin Nam, demikian menurut laporan The Edge.
Rampasan kokain dalam arang
Polis pada September lepas mengatakan bahawa sebuah sindiket cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan mencampurkan kokain dengan 50 tan arang dan tersorok dalam tiga bekas di Pelabuhan Butterworth, dan sukar untuk dikesan menggunakan kaedah dan teknologi konvensional.
Walaupun anjing pengesan dadah tidak dapat mengesan modus operandi itu, kerana campuran dalam arang, mesin khas yang digunakan oleh polis berjaya mengesan kargo yang menyembunyikan kokain berkenaan dalam arang batu.
Polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun berikutan rampasan kokian tersebut.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman (NCID), Mohd Khalil Kader Mohd memberitahu BeritaBenar bahawa penghantaran dadah dipercayai disasarkan ke negara ketiga.
"Kami percaya dadah itu dihantar ke negara ketiga selepas ia diproses menjadi serbuk di sini. Kokain adalah dadah paling mahal yang ada di pasaran dan tidak mempunyai apa-apa permintaan di kalangan penduduk tempatan. Ia hanya dicari di negara-negara tertentu, kerana harga pasarannya.
"Sindiket tersebut cuba menjadikan Malaysia sebagai pusat transit untuk memproses kokain dan menghantarnya ke negara lain.
"Raja Dadah ini menyalurkan hasil dari perdagangan haram ke perniagaan yang sah untuk menipu pihak berkuasa," katanya kepada BeritaBenar pada Selasa.
Pihak berkuasa Malaysia telah membuat beberapa rampasan dadah sepanjang tahun lepas bernilai jutaan ringgit.
“Selain rampasan kokain di Pulau Pinang, Selangor juga merampas kira-kira 3.2 tan kokain bernilai RM674 juta (AS$161.4 juta) pada 18 Ogos lepas dan sebelum dua serbuan besar itu dibuat, pihak berkuasa telahpun rampasan dadah bernilai RM285.92 juta (AS$68.48 juta) sepanjang tahun 2019,” kata Abdul Hamid lagi.
Menurut Institut Penyalahgunaan Dadah Kebangsaan, kokain adalah ubat perangsang yang mengakibatkan ketagihan melampau yang dibuat daripada daun tumbuhan koko yang berasal dari Amerika Selatan dan ianya adalah haram di Amerika Syarikat dan beberapa negara lain.