Follow us

Rampasan Dadah Terbesar Sepanjang Tahun, Pihak Berkuasa Malaysia

Ali Nufael
Kuala Lumpur, Malaysia
2018-08-23
E-mel
Komen
Share
Dadah bernilai AS$6.3 juta yang dibungkus sebagai serbuk teh dari China dipaparkan kepada media di Pulau Pinang, 23 Ogos, 2018.
Dadah bernilai AS$6.3 juta yang dibungkus sebagai serbuk teh dari China dipaparkan kepada media di Pulau Pinang, 23 Ogos, 2018.
(Ihsan Polis DiRaja Malaysia)

Polis Malaysia pada Khamis telah mengumumkan kejayaan dalam rampasan dadah terbesar sepanjang tahun ini selepas menyita 500 kg (1,100 paun) dadah dipercayai methamphetamine atau lebih dikenali sebagai syabu, dan pil ekstasi dalam beberapa siri operasi serbuan anti-narkotik yang berlaku beberapa hari selepas pihak berkuasa Thailand turut merampas dadah jenis yang sama.

Dadah bernilai RM26.1 juta (AS$6.3 juta) disasarkan ke beberapa buah negara Asia Tenggara, termasuk Thailand dan Indonesia, demikian menurut Kang Chez Chiang, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman.

"Dengan kerjasama rakan sejawat kami dari Thailand dan juga negara-negara lain, kami berjaya melumpuhkan sindiket ini dan membuat rampasan terbesar bagi tahun ini," katanya.
"Kerjasama yang rapat seperti ini sangat diperlukan dalam memastikan negara kita tidak disalahgunakan sebagai pusat transit."

Kebanyakan dadah itu dibungkus dalam pakej yang dilabelkan sebagai serbuk teh dari China. Kang memberitahu media bahawa dadah berkenaan berasal dari sindiket dadah yang beroperasi di Segi Tiga Emas, kawasan di mana Thailand bersempadan dengan Laos dan Myanmar di kuala Sungai Mekong.

Kang memberitahu BeritaBenar, empat oranglelaki, berusia 35 hingga 59 tahun dan dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah telah ditangkap dalam serbuan di Bayan Baru, Jelutong dan Gelugor di Pulau Pinang pada Selasa. Polis juga merampas tiga kenderaan, wang tunai, perhiasan sertajam tangan bernilai RM147,000 (AS$35,778).

Empat orang lelaki itu mempunyai rekod jenayah yang berkaitan dengan dadah sebelum ini, kata Kang.

Sejak Januari, pihak berkuasa Malaysia telah menahan 104,384 orang kerana disyaki terlibat dalam kes dadah dan merampas harta bernilai RM47.62 juta (AS$11.6 juta) yang dipercayai dibeli dengan hasil pengedarandadah dan jenayah lain, kata Kang.

Beliau memberitahu BeritaBenar bahawa sejak awal tahun ini, pegawai telah merampas dadah bernilai RM127.8 juta (AS$31 juta).

"Mereka yang ditangkap terdiri daripada pelbagai latar belakang, dengan penduduk tempatan merupakan jumlah tertinggi yang ditahan, diikuti oleh orang asing," katanya.

Penganalisis Jenayah Kamal Affendi Hashim memuji kejayaan pihak polis sambil mengatakan bahawa selagi ada permintaan terhadap dadah, seseorang akan memikirkan bagaimana untuk membekalkannya.

"Ia menunjukkan bahawa polis serius dalam usaha untuk menangani kes-kes berkaitan dadah, dan usaha ini tidak akan berakhir di sini," katanya.

Pada Rabu, polis Thailand melaporkan kejayaan pasukan itu merampas lebih daripada 14 juta pil methamphetamine bernilai 1.48 bilion baht (RM184.68 juta atau AS$45 juta), yang dianggap sebagai rampasan terbesar di negara itu.

Dadah tersebut dipercayai diseludup ke Malaysia dan kemudian ke negara-negara lain.

Polis Thailand berkata mereka menahan tiga suspek dan merampas dadah di wilayah Ayutthaya utara dari Bangkok pada Sabtu.

Dalam satu laporan yang diterbitkan pada Mei lepas, Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah berkata, pengeluaran dan pemerdagangan syabu di Asia Tenggara telah mencapai "tahap yang membimbangkan".  Laporan itu turut mengatakan banyak syabu yang dihasilkan di rantau itu, berasal dari beberapa wilayah yang kurang penguatkuasaan undang-undang di Myanmar, khususnya wilayah Shan.

Minggu lepas, sebuah mahkamah Thailand telah menjatuhkan hukuman mati terhadap seorang rakyat Malaysia yang dikenali sebagai “Iceman” selepas disabitkan atas kesalahan menjalankan rangkaian penyeludupan dadah.

Tun Hung Seong, yang ditangkap pada April 2017, telah mengupah seorang lelaki untuk menyeludup hampir 300 kg (660 paun) kristal melalui selatan Thailand, menurut laporan media.

Wilawan Watcharasakwet di Bangkok turut menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh