Polis Malaysia Tumpaskan Makmal Dadah

Oleh Hata Wahari
2015.07.15
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
150715-MY-DADAH620 Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Mohd Mokhtar Shariff menunjukan sebahagian daripada dadah yang dirampas oleh polis di sekitar Lembah Klang. Lapan lelaki termasuk lima warga Taiwan ditahan dalam serbuan di beberapa lokasi sejak Isnin lepas.
Ihsan Polis Diraja Malaysia

Polis Malaysia dengan kerjasama Investigation Bureau, Ministry of Justice Taiwan, berjaya menumpaskan sindiket pemprosesan dadah di Kuala Lumpur dalam dua operasi berasingan dan menahan lapan lelaki termasuk lima warga Taiwan serta merampas dadah bernilai RM20 juta (AS$5.3 juta).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Mohd Mokhtar Shariff berkata,  tiga lagi lelaki yang ditahan itu adalah rakyat tempatan dan mereka berusia di antara 26 dan 41 tahun. Mereka dipercayai terlibat dalam pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang.

Beliau berkata, Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING), bertindak atas maklumat, menahan seorang lelaki tempatan di kawasan Kampung Baru pada Isnin lalu.

“Susulan hasil siasatan, polis membuat serbuan di sebuah rumah kedai di Pandan Indah dan menahan enam lelaki – seorang rakyat tempatan dan lima warga Taiwan yang sedang memproses dadah,” katanya di sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur pada Rabu.

Rumah kedai jadi makmal

Beliau berkata, polis percaya rumah kedai itu dijadikan makmal untuk memproses dadah jenis Erimin 5. Dua buah stor digunakan untuk menyimpan dadah. Polis turut merampas beberapa peralatan dan bahan kimia untuk memproses dadah berkenaan.

“Pil Erimin seberat 206.5 kilogram yang dibungkus di dalam kotak dan kokain seberat 1.8 kilogram yang dijumpai di dalam stor telah dirampas di premis berkenaan.

“Sejumlah mata wang bernilai kira-kira RM62,940 serta 3 buah kenderaan termasuk sebuah motosikal mewah bernilai RM176,000 turut disita," kata Mohd Mokhtar.

Susulan serbuan itu, polis menahan seorang lagi rakyat tempatan di sebuah kondominium di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada Selasa.

Beliau berkata, kejayaan operasi itu adalah melalui kerjasama dalam pengkongsian maklumat risikan dengan Investigation Bureau, Ministry of Justice Taiwan.

Mohd Moktar turut menunjukkan kepada media hasil rampasan kesemua jenis dadah itu.

Kesemua lelaki itu kini ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar, dalam akaun twitternya mengucapkan tahniah kepada pasukan polis dan STING atas kejayaan itu.

Pada 3 Julai lepas, polis menahan seorang lelaki warga India dan seorang lelaki tempatan serta merampas dadah sejumlah 19 tan dipercayai ketamin bernilai kira-kira RM296 juta dalam dua serbuan di Selangor.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP R. Munusamy, berkata kedua-dua suspek yang berusia 36 dan 42 tahun itu kini ditahan di Jinjang dan Rawang.

Rampas pil kuda bernilai RM6.2 juta

Sementara itu, satu lagi kejayaan Polis Malaysia dalam penguatkuasaan undang-undang dadah apabila berjaya merampas sejumlah 272,000 biji pil kuda yang dianggar bernilai RM6.2 juta (AS$1.7 juta) di sebuah rumah di Kampung Tasek Berangan, Repek di Pasir Mas, Kelantan pada Isnin lalu.

Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan Ketua Polis Kelantan Mazlan Lazim sebagai berkata, hasil maklumat awam, sepasukan anggota dari Unit Task Force Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 telah melakukan serbuan di rumah berkenaan pada 10.30 malam.

"Pemeriksaan di kolah rumah terbabit membawa kepada penemuan tiga bungkusan bersaiz guni beserta satu plastik merah yang mengandungi pil kuda.

"Kita percaya rumah ini dijadikan tempat transit dadah sebelum bekalan dadah itu diagihkan kepada beberapa sindiket lain untuk diedarkan. Bagaimanapun tiada sebarang tangkapan dibuat dalam serbuan ini," katanya di sidang media Kota Baharu, Kelantan pada Rabu.

Mazlan berkata, polis kini sedang mencari seorang lelaki berusia 34 tahun dari kampung itu untuk membantu siasatan.

"Kesemua dadah ini dipercayai akan diedarkan di Kelantan, Pahang dan Terengganu sempena musim Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.

"Ini merupakan kejayaan terbesar bagi Kontinjen Kelantan pada tahun ini dan kita berterima kasih kepada orang awam yang sentiasa memberikan maklumat," katanya.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.