Daim Beri Amaran: 'Berhati-hati Dengan Teknologi 5G China'

Hadi Azmi & Zam Yusa
2019.01.22
Kuala Lumpur, Malaysia
190122-MY-Daim-620.jpg Penasihat kerajaan baru Malaysia Daim Zainuddin pada pertemuan dengan Menteri Luar China Wang Yi (tidak ada dalam gambar)0 di Kementerian Luar Negeri China di Beijing, 18 Julai 2018.
AFP

Malaysia punyai sebab untuk berhati-hati dengan peningkatan teknologi komunikasi 5G China yang mempunyai keupayaan untuk menceroboh ‘kedaulatan digital’ negara, kata  penasihat kerajaan Daim Zainuddin memberi amaran pada Selasa.

Sementara itu, Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad pula berkata, Malaysia akan menjalankan kajian terlebih dahulu Huawei sebelum menyekat syarikat telekomunikasi gergasi itu daripada membina infrastruktur 5G di Malaysia.

Kenyataan Mahathir dan Daim dibuat susulan peningkatan pengintipan siber oleh negara barat terhadap syarikat Huawei yang didakwa telah digunakan oleh pihak berkuasa China untuk mengintip negara asing.

Mahathir yang bercakap di London pada hujung minggu berkata, setakat ini, Malaysia tidak pula mendapati syarikat berkenaan melakukan kesalahan Malaysia.

Daim ketika bercakap di sesi dialog keselamatan, yang dihoskan oleh Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur, berkata kawalan data dan keselamatan siber adalah isu terkini politik antarabangsa di dunia hari ini di mana keseimbangan kuasa dalam masa terdekat bergantung kepada penguasaan teknologi.

"Kecemerlangan teknologi dan penguasaan ekonomi China, seperti yang dilihat dalam pelan" Made in China 2025 "untuk keutuhan teknologi tinggi China dan teknologi 5G yang mereka ungguli, telah mendorong Amerika Syarikat membuat tuduhan mengenai pencurian harta intelek serta manipulasi syarikat teknologi untuk kepentingan sesebuah negara,

“Hakikatnya, memang wujud alasan yang kukuh untuk berwaspada dengan kebangkitan pesat teknologi 5G oleh China. Hari ini, kita berdepan dengan pencerobohan kedaulatan digital, di samping kedaulatan sempadan negara,” kata Daim.

Kenyataan mereka dibuat apabila Kanada menahan pegawai syarikat telekomunikasi China, Huawei selepas disyaki cuba mengintip untuk Beijing.

Ketua Pegawai Eksekutif Huawei, Meng Wanzhou telah ditahan oleh pihak berkuasa Kanada pada 6 Disember lepas, susulan permohonan AS, dan kini sedang menunggu ekstradisi ke Amerika Syarikat berikutan dakwaan Washington bahawa pegawai eksekutif wanita itu telah membantu Huawei mengelak sekatan AS ke atas Iran.

Daim juga berhujah bahawa maklumat yang dihantar dalam talian tidak lagi terhad kepada kandungan yang dipos, tetapi juga termasuk pelbagai data lain yang boleh "diekstrak dari peranti harian biasa".

"Saya pernah membincangkan sebelum ini tentang kedaulatan wilayah. Tapi hari ini kita juga berdepan dengan risiko pelanggaran 'kedaulatan digital'.

"Apa jaminan keselamatan, pertahanan, privasi, dan implikasi strategik kepimpinan China yang tidak dapat diselesaikan dalam bidang ini?" tanya negarawan itu pada hadirin semasa dialog berkenaan.

Pandangan Daim juga dikongsi oleh Menteri Pertahanan Mohammad Sabu yang mengatakan bahawa peningkatan China sebagai "kuasa besar" adalah cabaran terbesar kepada hegemoni Amerika Syarikat sejak kejatuhan Kesatuan Soviet.

Pengaruh AS kini melampaui sempadannya tanpa dicabar selepas kejatuhan Kesatuan Soviet sehingga kini, kata Mohamad Sabu.

Huawei yang beroperasi di Malaysia sejak 2001, pada 29 Nov lepas  telah memeterai perjanjian dengan syarikat telekomunikasi tempatan Edotco Malaysia untuk menyediakan sistem telekomunikasi untuk generasi akan datang ke arah penyediaan rangkaian 5G di Malaysia.

Mahathir, semasa menjawab soalan oleh seorang hadirin selepas menyampaikan perbincangan Oxford Union di London pada Sabtu lepas berkata, "Apa yang Jerman mahu lakukan akan ditentukan sendiri oleh Jerman dan apa yang Kanada hendak lakukan juga bergantung kepada mereka.

Namun Malaysia tidak akan mengikuti apa yang orang lain buat. Kita perlu kaji dan memastikan sama ada dakwaan (terhadap Huawei) berasas dan tindakan perlu diambil terhadap syarikat berkenaan, kata Mahathir.  

Bimbang

Mengulas mengenai ancaman 5G terhadap keselamatan negara, penganalisa keselamatan siber Farlina Said dari Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Kuala Lumpur berkata kepada BeritaBenar, sejak tahun 2018 beberapa negara lain menimbang dan bertindak untuk mengehadkan penggunaan peranti 5G daripada pembekal tertentu, seperti Huawei.

Sehingga 22 Januari, Australia dan New Zealand telah mengumumkan bahawa mereka mengharamkan Huawei daripada menyediakan teknologi 5G di negara masing-masing dengan Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada, Jerman, Jepun, dan India kini mempertimbangkan untuk mengambil tindakan yang sama.

Dalam laporan perisikan Kongres Amerika Syarikat mengenai Huawei dan ZTE Corp pada 2012, yang dipetik oleh agensi berita antarabangsa Al Jazeera, badan perundangan tersebut membuat kesimpulan bahawa "Huawei tidak memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak penyiasatan, enggan menjelaskan hubungannya dengan pemerintah China atau Parti Komunis China, sementara bukti yang boleh dipercayai mengatakan bahawa syarikat itu gagal mematuhi undang-undang AS. "

"Sejak itu, AS bersama misinya cuba menghalang sekutu mereka daripada menggunakan teknologi Huawei bagi infrastruktur kritikal terutamanya anggota 'Five Eyes' yang terdiri daripada lima buah negara berbahasa Inggeris (AS, Kanada, New Zealand , Australia, Britain) yang berkongsi maklumat secara besar-besaran melalui agensi perisikan mereka, " menurut Al Jazeera.

Isu pengintipan dan teknologi saling berkait terutamanya dengan peningkatan pertukaran maklumat pada setiap saat. Ini juga membuatkan maklumat lebih mudah didapati dan dicerobohi, Farlina kepada BeritaBenar.

Beliau menambah, terdapat pencerobohan siber dari negara-negara asing , yang ditemui oleh firma keselamatan siber seperti FireEye,  yang menunjukkan ancaman terhadap sistem teknologi Malaysia secara berterusan dan terperinci [Advanced Persistent Threats] terutama yang berkaitan dengan kepentingan strategik.

Malaysia perlu melaksanakan pendekatan keselamatan siber yang menyeluruh untuk memperkuatkan lagi  keupayaannya  demi  keamanan negara, kata Farlina lagi.  

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.