Mahkamah tolak permohonan bekas Menteri Kewangan cabar siasatan SPRM
2024.03.04
Kuala Lumpur
![Mahkamah tolak permohonan bekas Menteri Kewangan cabar siasatan SPRM Mahkamah tolak permohonan bekas Menteri Kewangan cabar siasatan SPRM](https://www.benarnews.org/malay/berita/my-daim-tolak-240304-03042024115635.html/@@images/58e9f745-d705-43b4-b31e-585d22beeeb9.jpeg)
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin menolak permohonan bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin dan keluarganya untuk mencabar siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), melalui cara semakan kehakiman.
Daim, 85, yang merupakan sekutu rapat bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad telah didakwa gagal mengisytiharkan harta bernilai tinggi miliknya yang melibatkan berpuluh syarikat serta hotel pada bulan lalu, dengan mahkamah menyatakan beliau dan keluarga gagal membuktikan yang agensi anti-rasuah negara itu bertindak dengan niat jahat semasa siasatan.
Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh dalam keputusannya berkata, siasatan dijalankan suruhanjaya berkenaan tidak boleh dikenakan semakan kehakiman dan usaha untuk membatalkan pertuduhan jenayah mesti dilakukan melalui permohonan jenayah.
"[Daim dan keluarga] telah gagal menunjukkan bukti kukuh dan bukti prima facie bahawa keputusan dibuat pegawai penyiasat SPRM adalah tertakluk kepada asas-asas untuk semakan kehakiman. Secara ringkasnya, ambang [mala fide] itu tidak dilepasi.
"Oleh kerana mereka gagal membuktikan adanya mala fide, permohonan semakan kehakiman ini ditolak. Sekiranya permohonan ini dibenarkan, tiada kes yang boleh dihujahkan untuk memihak kepada tujuan permohonan ini dibuat," kata Hakim Wan Ahmad.
Tiada niat jahat
Tambah hakim itu lagi, syak wasangka berkaitan unsur niat jahat atau dakwaan berlakunya intimidasi adalah tidak mencukupi sebagai bukti.
Selain itu, dakwaan Daim bahawa siasatan SPRM terhadap dirinya adalah bermotifkan politik serta dirinya merupakan "musuh politik" kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim adalah perkara yang sepatutnya dibawa dalam perbicaraan jenayah, katanya lagi.
Sebelum ini, Daim bersama isterinya Na'imah Abdul Khalid dan empat anak mereka, Asnida, Md Wira, Muhammed Amir dan Muhammed Amin serta syarikat mereka, Ilham Tower Sdn Bhd telah memfailkan permohonan semakan kehakiman di mahkamah bagi menghentikan siasatan SPRM serta membatalkan tindakan agensi itu membekukan akaun mereka dan merampas bangunan 60 tingkat yang dimiliki keluarga itu, Ilham Tower di Kuala Lumpur.
Keluarga tersebut memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi pada 11 Januari lepas bagi mengisytiharkan bahawa siasatan SPRM keatas kekayaan mereka miliki sebagai satu tindakan tidak berperlembagaan dan oleh itu terbatal.
Mereka menamakan SPRM dan pendakwa raya sebagai responden dalam permohonan itu.
Dalam permohonan sama, Daim juga meminta supaya mahkamah mengisytiharkan bahawa pertuduhan jenayah yang dikenakan terhadapnya dan Nai'mah sebagai tidak sah.
Beliau telah didakwa di bawah Akta SPRM kerana gagal mengisytiharkan harta pada 29 Januari lepas manakala isterinya dituduh atas kesalahan serupa pada 23 Januari.
Daim sebelum ini memegang jawatan menteri kewangan dalam pentadbiran Mahathir Mohamad dari 1984 hingga 1991 sebelum dilantik semula ke jawatan sama mulai 1999 hingga 2001.
Keluarganya telah disenaraikan di dalam dokumen Pandora Papers yang dibocorkan oleh Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ) pada 2021, di mana mereka dikatakan telah menggunakan syarikat pesisir pantai untuk menyembunyikan hasil kekayaan yang didapati secara salah.
Beliau bagaimanapun, menafikan tuduhan tersebut dengan menyatakan bahawa semua aset dan akaun bank yang didedahkan itu tidak menunjukkan sebarang kesalahan di pihak dirinya serta keluarga.
Ahli perniagaan itu juga mengkritik Anwar kerana dikatakan melakukan "witch-hunting" terhadap keluarganya dan menuduh beliau cuba membalas dendam atas persengketaan lama antara mereka.
"Saya menafikan sekeras-kerasnya sebarang perbuatan rasuah atau salah laku dalam apa jua bentuk oleh saya atau keluarga saya. Siasatan ini tidak lain merupakan 'political witch-hunt' terhadap kami," kata Daim dalam satu kenyataan pada Disember.
Anwar prejudis
Selain keluarga Daim, SPRM baru-baru ini turut mengarahkan dua orang anak lelaki Mahathir iaitu Mirzan dan Mokhzani supaya mengisytiharkan harta mereka.
Anwar bagaimanapun menafikan sebarang penglibatan dengan siasatan SPRM tersebut.
Dalam ucapannya pada minggu lepas, Perdana Menteri itu sekali lagi menyentuh mengenai kes Daim ketika mengkritik pembangkang yang dikatakan berdiam diri dan kurang memberikan sokongan terhadap usaha SPRM menyiasat individu-individu "maha kaya" atas isu rasuah.
"Saya lihat di Parlimen tak ada suara pembangkang yang sokong langkah membanteras rasuah. Bagi saya ini sesuatu yang aneh.
"Semasa saya menjadi pembangkang, bila ada cadangan pemerintah (berkenaan) usul SPRM, saya dukung. Malah saya kata belum cukup berani (tindakan diambil kerajaan).
"Baru-baru ini ada tindakan SPRM terhadap salah seorang tokoh besar yang dianggap maha kaya. Belum ada suara daripada pembangkang," katanya ketika berucap pada sidang kemuncak anti-rasuah di Kuala Lumpur.
Susulan itu, peguam yang mewakili Daim menyelar kenyataan yang dibuat oleh Anwar itu sebagai "sangat prejudis".
Peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh mendakwa Anwar cuba memberikan gambaran buruk terhadap Daim dengan kritikan dibuatnya terhadap pembangkang yang didakwa tidak menyokong siasatan pihak berkuasa.
"Dengan membuat kenyataan tersebut, Perdana Menteri sekali lagi memberikan gambaran buruk terhadap Daim dan memberikan mesej seolah-oleh beliau telah bersalah sedangkan tiada mahkamah yang telah mendapati beliau bersalah," kata mereka dalam satu kenyataan pada Jumaat.
"Mengapa Anwar perlu menggesa pembangkang dan pihak lain untuk menyokong tindakan SPRM? Ada proses undang-undang yang telah ditetapkan di bawah Akta SPRM mengenai siasatan.
"Proses ini tidak melibatkan sebarang peranan untuk perdana menteri membuat kenyataan yang menghasut terhadap individu yang sedang disiasat. Proses ini harus dilaksanakan tanpa tekanan atau pengaruh dari luar."