Kubur Haram: Empat Warga Asing Didakwa Di Mahkamah

S. Adie Zul
2016.05.09
Kangar, Perlis
160509-my-wangkelian-620 Pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia menggali kubur di sebuah hutan di Bukit Wang Burma di negeri utara Malaysia, Perlis, yang bersempadan dengan Thailand, 26 Mei 2015.
AFP

Pihak berkuasa Malaysia pada Isnin, mendakwa empat lelaki asing atas tuduhan penyeludupan dan pemerdagangan manusia di Mahkamah Majistret Kangar, di Perlis, negeri di utara yang bersempadan dengan Thailand, iaitu kira-kira setahun selepas penemuaan kubur besar di kawasan hutan Wang Kelian tahun lepas.

Keempat-empat lelaki berusia antara 18 dan 46 tahun itu, dua etnik Rohingya [Myanmar], seorang dari Bangladesh dan seorang lagi dari Thailand, di dakwa dibawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang membawa hukuman penjara 15 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.

Kesemua mereka dipercayai terlibat dalam sindekit penyeludupan manusia sejak tahun 2014, tidak diwakili peguam, mengangguk tanda faham sebaik saja pertuduhan dibacakan dalam bahasa Burma, Thai dan Bangladesh oleh tiga jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Izmi Ibrahim.

Mei tahun lepas, Malaysia tergempar dengan penemuan lebih 139 kubur di 28 kem sementara haram yang ditinggalkan oleh sindiket pemerdagangan manusia di puncak Bukit Wang Burma di Wang Kelian selepas penemuan 30 kubur cetek di wilayah selatan Songkla, Thailand.

Selatan Thailand amat terkenal sebagai destinasi transit penyeludupan warga Islam Rohingya ke Malaysia, yang mahu melarikan diri daripada penindasan di Myanmar.

Kubur yang dijumpai di Wang Kelian itu telah membawa kepada penemuaan kira-kira 140 mayat yang telah dikafan dengan kain putih tertanam di kubur cetek dengan kebanyakan mangsa dari ethnik Rohingya, menemui ajal akibat kebuluran dan didera.

Kertas pertuduhan yang dibacakan di Mahkamah Kangar pada Isnin itu, mendapati Shahidullah@Syahidullah dan Momotin@DusMohamad, remaja Rohingya, berusia 18 dan 19 tahun di dakwa secara berasingan atas kesalahan menyeludup seorang migran warganegera Myanmar bernama Mohd Belal di Bukit Wang Burma, Wang Kelian pada 5.30 pagi antara bulan Ogos 2014 dan 10 Mac 2015.

Nurul Islam, rakyat Bangladesh pula didakwa dengan tiga pertuduhan penyeludupan manusia yang  membawa masuk rakan senegaranya yang dikenali sebagai Mohamad Nurbasya pada 4 petang antara November 2014 dan Mei tahun lalu.

Bagi tuduhan kedua dan ketiga, Nurul Islam, 32 tahun, didakwa menyeludup dua rakyat Bangladesh bernama Delwar dan Joy pada Oktober dan November 2014 di Bukit Genting Perah dan Bukit Wang Burma.

Manakala, Biau Wong Chumpo, rakyat Thailand didakwa menyeludup seorang warga Bangladesh bernama Md Tifajir Husin pada 1.30 pagi antara Oktober 2014 dan 2 Mei tahun lalu di Bukit Genting Perah dan Bukit Wang Burma di Wang Kelian.

Pendakwaan itu dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohd Abbas dengan mahkamah menetapkan tarikh 9 Jun depan untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Kangar.

Dalam pada itu, pengerusi Persatuan Rohingya Malaysia Kedah Mohd. Noor Abu Bakar semasa dihubungi BeritaBenar berkata, pertuduhan ke atas keempat-empat lelaki berkenaan  adalah satu permulaan baik ke arah memberikan pengakhiran kepada tragedi kemanusiaan terhadap etnik tersebut.

“Kami berharap kesemua tertuduh akan mendapat pengadilan setimpal terhadap segala ‘perbuatan jenayah kemanusiaan’ yang dilakukan mereka. Ini sekaligus satu permulaan baik dalam membela nasib mangsa yang mati dalam keadaan menyedihkan,” katanya sambil merakamkan penghargaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan memberi impak besar ke arah mengekang aktiviti penyeludupan manusia dari Myanmar.

‘Kongsi gelap Rakhine’

Mohd Noor juga melahirkan harapan supaya pihak berkuasa di peringkat antarabangsa turut  dapat mengambil tindakan tegas dalam membanteras akar umbi aktiviti pemerdagangan etnik Rohingya di Myanmar.

“Berdasarkan maklumat yang saya perolehi, aktiviti sindiket penyeludupan etnik Rohingya ini dikepalai oleh kumpulan kongsi gelap dari etnik Rakhine yang beroperasi secara berleluasa di Myanmar.

“Mereka menyusup masuk di kalangan etnik Rohingya dan berpura-pura bersimpati dengan nasib masyarakat di sana yang terdesak mahu meninggalkan Myanmar akibat penghapusan etnik oleh kaum majoriti di sana,” dakwanya.

Menurutnya, ahli kumpulan kongsi gelap tersebut akan menawarkan perkhidmatan membawa etnik Rohingya keluar dari Myanmar dengan pelbagai janji manis tetapi akhirnya akan memeras mereka dengan kejam seperti mana yang berlaku di Wang Kelian.

Mohd Noor turut melahirkan rasa dukacitanya terhadap dua etnik Rohingya yang didakwa di mahkamah pada Isnin, kerana katanya mereka seharusnya lebih berperikemanusiaan kepada kaum sendiri yang ditindas di bumi Myanmar.

Sementara itu, susulan penemuan kubur besar itu, PDRM telah menubuhkan pasukan siasatan khas sehingga membawa kepada penangkapan beberapa suspek warga Myanmar di Kelantan pada Febuari lepas.

Ketua pasukan petugas PDRM Goh Kok Liang semasa dihubungi BeritaBenar sebaik saja tangkapan itu dibuat bulan lalu berkata, mereka yang ditahan itu bukannya dalang atau ketua kumpulan sebaliknya anggota berpangkat rendah yang menjadi pembekal makanan atau pengawal di kem transit haram itu.


Ahmad Najmi Nasruddin turut menyumbang kepada laporan ini

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.