DAP Tangguh Hasrat Adakan Pilihanraya Mengejut Negeri
2016.07.20
Pulau Pinang

Parti Tindakan Demokratik Malaysia (DAP) yang memerintah negeri Pulau Pinang berkata, cadangan untuk mengadakan pilihanraya mengejut di negeri itu hanya akan dilaksanakan selepas mendapat persetujuan daripada semua parti dalam gabungan pembangkang, Pakatan Harapan.
Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lee Guan Eng berkata keputusan itu dicapai selepas satu perbincangan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Nasional (PAN) yang turut membentuk kerajaan negeri berkenaan, yang berlangsung di pejabatnya pada Rabu.
Pemimpin utama pakatan pembangkang yang menghadiri perbicangan itu ialah Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, Naib Presiden Nurul Izzah Anwar, Pengarah bersama pilihan raya PKR Saifuddin Nasution dan Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
“Selepas mendengar pandangan mereka, kami (DAP) bersetuju untuk memberi lebih masa untuk sesi konsultasi dengan rakan-rakan dalam Pakatan,” kata Guan Eng pada sidang media selepas perbincangan itu.
Spekulasi yang menyatakan ketua menteri itu bakal mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan sekaligus mengadakan pilihanraya mengejut dalam masa terdekat timbul selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP Pusat yang antara lain telah membawa usul pembubaran DUN kepada rakan-rakan sekutunya dalam barisan pembangkang pada satu mesyuarat lewat Isnin lepas.
“Pada Isnin, DAP telah sebulat suara bersetuju untuk berbincang dengan rakan-rakan dalam Pakatan berhubung pilihan raya negeri dan kita (DAP) tidak akan membuat keputusan secara bersendirian dalam hal ini dan kita telah mengaturkan sesi perbincangan untuk mendengar pandangan semua pihak,” tambah Guan Eng lagi.
Cadangan mengadakan Pilihanraya Negeri itu dilihat sebagai satu usaha untuk mengukur sokongan rakyat terhadap DAP dan Guan Eng yang kini sedang berdepan dengan perbicaraan terhadap dua pertuduhan rasuah berkaitan pembelian sebuah banglo berharga RM 2.8 juta di Jalan Pinhorn, Georgetown yang berada di bawah nilai pasaran.
Guan Eng bagaimanapun menafikan kesemua tuduhan itu dan menyelar penahanannya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pendakwaan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang adalah sebahagian daripada penganiayaan politik terhadap beliau dan DAP.
Susulan pendakwaan tersebut, para pemimpin Barisan Nasional (BN) menekan Guan Eng, yang juga pengkritik utama Perdana Menteri Najib Razak - berhubung skandal syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), untuk meletakkan jawatan.
DAP pusat dan negeri bagaimanapun memutuskan bahawa Guan Eng tidak perlu meletakkan jawatan dan meneruskan tugasan seperti biasa kerana pertuduhan rasuah ke atasnya adalah berunsur politik.
DAP pada awalnya dijadualkan untuk berbincang isu tersebut dengan PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah), satu lagi rakan dalam pakatan pembangkang di Kuala Lumpur pada Selasa, namun terpaksa dibatalkan susulan kebocoran maklumat kepada pihak media.
Hak rakyat memilih
Guan Eng berkata, DAP berpendirian bahawa mandat untuk melantik kerajaan negeri perlu diserahkan kembali kepada rakyat Pulau Pinang berikutan beberapa insiden dan dakwaan penyalahgunaan kuasa yang menjejaskan rakyat dan ekonomi.
“Sejak penahanan Anwar Ibrahim (bekas Ketua Pembangkang yang kini dipenjarakan atas dakwaan liwat), berlaku penyalahgunaan kuasa yang menjejaskan kerajaan dan ekonomi dan ini sekaligus menekan hak-hak rakyat,” ujarnya sambil mempertahankan tindakan tersebut sebagai langkah mengembalikan hak dan harapan rakyat.
Pada Selasa, Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga isteri Anwar, menyatakan pendirian PKR bahawa ia masih belum cukup yakin dengan tujuan atau matlamat untuk mengadakan pilihan raya tergempar.
Begitupun, Wan Azizah dilaporkan berkata PKR bersedia untuk meneruskan perbincangan dengan parti komponen dalam Pakatan.
Mengulas kenyataan tersebut Guan Eng, Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor berkata PKR tidak pernah menolak usul DAP tetapi menegaskan bahawa ia perlu dibincang secara lanjut dikalangan gabungan pembangkang.
“Perbicangan hari ini berjalan lancar atas semangat Pakatan Harapan dan mereka akan meneruskan perbincangan dan konsultasi berhubung isu ini,” katanya Azmin dalam sidang media yang sama.
Selepas sidang media di pejabatnya, Guan Eng dilihat memasuki kediaman rasmi Gabenor Pulau Pinang Abdul Rahman Abbas dan bagaimanapun, tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat selepas pertemuan itu.
Difahamkan turut hadir semasa pertemuan ketua menteri itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Farizan Darus.
Menurut Perlembagaan Negeri, Ketua Menteri perlu mendapatkan perkenan daripada Gabenor sebelum membuat sebarang pembubaran dewan undangan negeri.