Yang di-Pertuan Agong Isytihar Darurat Seluruh Malaysia Bendung Penularan COVID-19

Sultan Abdullah berpandangan penularan pandemik COVID-19 berada di tahap yang amat kritikal dan keperluan Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
Muzliza Mustafa & Hadi Azmi
2021.01.11
Kuala Lumpur
Yang di-Pertuan Agong Isytihar Darurat Seluruh Malaysia Bendung Penularan COVID-19 Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semasa Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, 18 Mei 2020.
[Reuters]

Kemas kini 19:10 p.m. ET pada 2021-01-12

Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan pengisytiharan darurat di seluruh Malaysia sehingga Ogos depan berikutan penularan pandemik COVID-19 yang kini berada ditahap kritikal, demikian menurut kenyataan Istana Negara pada Selasa.

Al Sultan Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut memperkenankan cadangan Kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar-pakar kesihatan yang berkaitan bagi memantau situasi negara, dengan ianya akan mengesyorkan kepada Baginda sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal.

"Al-Sultan Abdullah berpandangan bahawa penularan wabak COVID-19 di negara ini berada di tahap yang amat kritikal dan adanya keperluan Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

"Perlu dimaklumkan bahawa perkenan ini juga telah mengambil kira rundingan Seri Paduka Baginda dengan Raja-Raja Melayu. Perkenan ini turut mengambil kira keselamatan diri rakyat dan kepentingan negara.

"Ianya juga berdasarkan statistik semasa COVID-19, khususnya kekangan kemudahan-kemudahan logistik mengikut negeri-negeri yang telah dipersembahkan semasa sesi taklimat tersebut," kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin.

"Seri Paduka Baginda turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga 1 Ogos, 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan,” kata beliau.

Malaysia merekodkan lebih 138,000 kes COVID-19 dan purata kes harian empat digit sejak Disember 2020.

Menurut Ahmad Fadil, keputusan itu dibuat setelah Yang di-Pertuan Agong menerima menghadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang membawa keputusan jemaah kabinet yang mencadangkan darurat tersebut pada petang Isnin.

Rundingan dengan Raja-Raja Melayu

“Pada sesi menghadap yang berlangsung selama 45 minit bermula pada jam 5.30 petang semalam, Tan Sri Muhyiddin bin Yassin telah menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet berkenaan cadangan pelaksanaan Pengisytiharan Proklamasi Darurat sebagai langkah proaktif untuk membendung dan melandaikan kes positif COVID-19 harian yang telah mencecah empat angka secara berterusan sejak bulan Disember lalu,” kata beliau.

Istana Negara turut menengaskan bahawa keputusan itu dibuat setelah mengambil kira rundingan Yang di-Pertuan Agong dengan Raja-Raja Melayu serta taklimat dari Ketua Setiausaha Negara, Peguam Negara, Ketua Pengarah Kesihatan, Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya, Ketua Polis Negara dan Penglima Angkatan Tentera.

Pengumuman Darurat ini dibuat kurang 24 jam daripada pengumumam pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di hampir kesemua negeri di Malaysia selama 14 hari yang turut diumumkan atas sebab yang sama iaitu membendung pandemik koronavirus.

Muhyiddin Yassin pada lewat petang Isnin telah mengumumkan keputusan Putrajaya untuk mengenakan sekatan pergerakan ketat selama dua minggu bermula Rabu melibatkan lima negeri dan ibunegara Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan, selepas berlakunya lonjakan jangkitan koronavirus yang membimbangkan sehingga menyebabkan sistem penjagaan kesihatan negara berada pada tahap tenat.

"Seri Paduka Baginda telah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak COVID-19... Perlu ditegaskan di sini bahawa Seri Paduka Baginda amat prihatin terhadap keselamatan diri rakyat jelata, khususnya pada ketika ini rakyat di beberapa negeri masih mengharungi bencana banjir.

"Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa kegusaran terhadap kesan bencana banjir dan kenaikan mendadak angka jangkitan COVID-19 di negara ini. Sekiranya tidak dibendung dan dikawal dengan berkesan, maka ianya akan memudaratkan kesihatan rakyat dan kesejahteraan negara.

"Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah menasihati rakyat supaya bertenang, tabah dan cekal menghadapi pelaksanaan darurat ini dan Perintah Kawalan Pergerakan demi keselamatan dan kepentingan bersama. Seri Paduka Baginda turut menyeru rakyat jelata untuk bersama berdisiplin mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan semua perintah yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan agensi-agensi yang berkaitan semasa pelaksanaan darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan ini," kata Ahmad Fadil dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara itu.

Muhyiddin tampil sekali lagi dalam siaran secara lansung di televisyen pada pagi Rabu, iaitu selepas kenyataan Istana Negara dikeluarkan dengan memberi jaminan kepada rakyat bahawa langkah pengisytiharan darurat itu bukanlah rampasan kuasa, sebaliknya persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri ditangguhkan selain pilihan raya tidak akan diadakan sepanjang tempoh darurat diadakan sehingga 1 Ogos.

Darurat terakhir yang diisytiharkan di Malaysia adalah lebih 50 tahun  lalu ketika rusuhan kaum berlaku di negara itu pada Mei 1969.

Pada Isnin, pegawai kesihatan mengumumkan sebanyak 2,232 kes COVID-19 baru dan empat kematian berkaitan virus itu yang menjadikan jumlah kes dan kematian masing-masing adalag sebanyak 138,224 dan 555.

'Ini bukan rampasan kuasa tentera'

Pengisytiharan darurat itu dibuat ketika meningkatnya ketegangan dalam gabungan kerajaan, dengan beberapa orang yang tidak berpuas hati dalam rakan sekutu dominannya iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu  (UMNO)  telah menggesa supaya diadakan pilihan raya  umum menjelang akhir Mac.

Setelah mentadbir negara selama beberapa dekad, UMNO dan gabungan parti Barisan Nasional tewas dalam pilihan raya bersejarah pada 2018 tetapi kembali berkuasa pada tahun lalu sebagai rakan gabungan kerajaan yang tidak dipilih setelah kerajaan diterajui Perdana Menteri Mahathir Mohamad tumbang akibat perebutan kuasa.

Tetapi, hubungan di antara UMNO dan parti Bersatu pimpinan Muhyiddin semakin dingin kerana UMNO merasakan ia tidak menerima ganjaran sewajar walaupun mempunyai bilangan kerusi parlimen terbanyak dalam gabungan  itu.

Muhyiddin berkata beliau memohon pengisytiharan darurat sebagai langkah membendung penularan COVID-19, dan bukannya untuk menghalang pilihan raya. Yang di-Pertuan Agong telah menolak permintaan serupa daripada Muhyiddin pada Oktober lalu.

"Kerajaan awam akan terus berfungsi. Ini bukanlah rampasan kuasa tentera. Perintah berkurung tidak akan dilaksanakan, dan saya memberi jaminan bahawa pentadbiran negara tidak akan terjejas,” kata Muhyiddin.

"Persidangan Parlimen dan DUN akan ditangguhkan. Pilihan raya tidak akan diadakan,” kata beliau.

"Bukanlah niat saya untuk tidak mengadakan pilihan raya. Kebimbangan saya adalah COVID-19. Ini adalah komitmen dan aku janji saya bahawa pilihan raya akan diadakan selepas Jawatankuasa Bebas memperakukan bahawa pandemik ini sudah berakhir,” kata Muhyiddin.

Angkatan Tentera akan diberi kuasa untuk turut membantu dalam penguatkuasaan penjagaan kesihatan awam, selain kemudahan hospital-hospital swasta boleh diguna pakai oleh kerajaan, katanya. Dalam pada itu, langkah-langkah kawalan harga juga akan dilaksanakan selain kawalan sempadan negara diperketatkan.

'Pengakuan sudah kalah'

Parti pembangkang dan kumpulan hak sivil mengecam perdana menteri kerana memohon kepada Yang di-Pertuan Agong supaya mengisytiharkan darurat.

Mereka menyatakan ia adalah tindakan untuk mengelak keruntuhan kerajaan dan pilihan raya mengejut selepas dua wakil rakyat menarik balik sokongan mereka terhadap gabungan pimpinan Muhyiddin, yang menyebabkan kerajaannya menjadi lebih goyah.

"Sekiranya ini adalah alasan sebenar bagi pengisytiharan darurat bagi menggantung demokrasi berparlimen dan tidak mengaktifkan pemeriksaan Parlimen terhadap kerajaan, atau kemungkinan besar berdasarkan perpecahan yang sedang berlaku dalam Perikatan Nasional dengan UMNO mengancam untuk menarik diri daripada gabungan itu, ia adalah usaha untuk menghentikan kejatuhan kerajaan Muhyiddin, ”kata Gabungan untuk Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) iaitu kumpulan akar umbi dalam satu kenyataan.

Perikatan Nasional (PN) adalah gabungan yang ditubuhkan Muhyiddin dan parti Bersatu pimpinannya untuk membentuk kerajaan pada tahun lalu setelah kerajaan Pakatan Harapan, yang dipilih pada pilihan raya 2018, tumbang kerana perebutan kuasa.

Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), yang kalah dalam pilihan raya tahun itu, menguasai blok kerajaan. UMNO berusaha untuk mengadakan pilihan raya mengejut kerana hubungannya dengan parti Bersatu diterajui Muhyiddin sudah lama dingin. Para pemimpinnya merasakan parti itu belum menerima ganjaran walaupun menyandang kerusi parlimen terbanyak dalam gabungan itu.

Sejak empat hari lalu, dua orang ahli parlimen UMNO termasuk Nazri Aziz mengumumkan bahawa mereka menarik balik sokongan terhadap kerajaan.

Nazri berkata dengan pengundurannya itu, kerajaan kini kekurangan sokongan hampir separuh Ahli Parlimen - 109 daripada 220 orang.

"Langkah Muhyiddin menyembah cadangan darurat kepada Yang di-Pertuan Agong merupakan pengakuan bahawa beliau sudah kalah... pengakuan bahawa beliau telah kehilangan majoriti," kata Ahli Parlimen UMNO itu.

Lim Guan Eng, pemimpin pembangkang Parti Tindakan Demokratik (DAP), mempersoalkan keperluan pengisytiharan darurat dan penggantungan parlimen - langkah-langkah yang ditetapkan mengikut Seksyen 150 Perlembagaan.

"Adakah prestasi kerajaan PN akan bertambah baik dengan Perisytiharan Darurat? Ini tidak mungkin berikutan penggantungan Parlimen, apabila tidak ada lagi kekangan terhadap penyalahgunaan kuasa, pertanggungjawaban dan ketelusan tanpa pengawasan Parlimen atau periksa dan imbang oleh pembangkang,” kata Lim.

Demokrasi digantung

Penganalisis politik Tunku Mohar Mokhtar memberitahu BeritaBenar bahawa pengisytiharan darurat telah menyebabkan demokrasi digantung.

"Tidak akan ada pilihan raya umum atau pilihan raya kecil semasa darurat. Ini secara tidak langsung menghentikan tuntutan beberapa ahli politik daripada UMNO yang mahukan pilihan raya diadakan secepat mungkin, namun ia adalah berbahaya ketika penularan pandemik ini masih berlaku,” kata Tunku Mohar.

"Pada dasarnya, pengisytiharan darurat turut menggantung demokrasi."

Bridget Welsh, saintis politik di Universiti Nottingham yang berpusat di Malaysia, berkata langkah itu akan membawa implikasi yang berpanjangan.

"Pengisytiharan [darurat] belum lagi disertai dasar-dasar yang mengubah pendekatan COVID, yang diguna pakai kerajaan pada masa ini sejak beberapa bulan lalu hingga membawa negara kepada krisis kesihatan yang sedang dihadapinya kini," katanya kepada BeritaBenar.

"Tidak kira apa yang berlaku dengan COVID, keputusan itu akan membentuk semula landskap politik negara ini, melemahkan institusi demokrasi, memburukkan lagi polarisasi dan mengikis kepercayaan."

Nani Yusof di Washington turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.