Follow us

Mahkamah Rayuan Kekalkan Hukuman Penjara Lapan Tahun Kes Dera Amah

Nisha David
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-09-24
E-mel
Komen
Share
Rozita Mohamad Ali (tengah) dibawa oleh anggota polis wanita setelah dijatuhkan hukuman penjara oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, 29 Mac, 2018.
Rozita Mohamad Ali (tengah) dibawa oleh anggota polis wanita setelah dijatuhkan hukuman penjara oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, 29 Mac, 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Seorang wanita warga Malaysia mula menjalani hukuman penjara selama lapan tahun pada Khamis selepas rayuannya untuk mengetepikan perintah mahkamah rendah pada 2018 atas kesalahan mendera pembantu rumah warga Indonesia empat tahun lalu, ditolak oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Barisan tiga panel Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Kamaludin Md Said bersama Hadhariah Syed Ismail dan Nordin Hassan sebulat suara bersetuju menolak rayuan akhir tertuduh Rozita Mohamad Ali, 46 terhadap semakan dan hukuman penjara yang dikenakan Mahkamah Tinggi pada 29 Mac 2018.

"Selepas mengambil kira hukuman mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan adalah penjara selama 20 tahun, rayuan perayu dengan ini ditolak dan keputusan akhir Mahkamah Tinggi di kekalkan.

"Hukuman dikenakan Mahkamah Tinggi adalah mengikut trend (keadaan semasa), malah terdapat hukuman lebih tinggi yang pernah dikenakan dalam kes lain. Rayuan pendakwaan untuk menambah lagi hukuman ke atas perayu juga ditolak," kata Kamaludin semasa membacakan keputusan panel tersebut.

Surirumah, Rozita Mohamad Ali pada mulanya didakwa atas kesalahan cuba membunuh sebelum beliau mengaku salah pada tahun 2018, iaitu selepas pertuduhan dipinda kepada menyebabkan kecederaan parah namun kemudiannya membuat rayuan selepas Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Tun Majid Tun Hamzah dalam semakan mahkamah terhadap kes tersebut memerintahkannya untuk dipenjara selama lapan tahun.

Sebelum itu, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya yang mendengar kes wanita itu hanya memerintahkannya supaya berkelakuan baik selama lima tahun dan dikenakan bon jaminan sebanyak RM20,000 (AS$4,797), yang telah menyebabkan kritikan daripada pelbagai pihak berikutan hukuman yang dikenakan terhadap beliau dianggap tidak setimpal.

Dalam penghakimannya, Kamaludin berkata, selepas menghalusi hujahan kedua belah pihak, mahkamah berpuas hati rayuan perayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menjalankan kuasa semakan mengikut Seksyen 294 Kanun Acara Jenayah, tidak mempunyai merit.

Hakim itu juga berkata, Mahkamah Rayuan berpendapat bahawa Mahkamah Tinggi mempunyai kuasa untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya sebelum ini dengan alasan sama ada hukuman berkenaan adalah wajar atau sebaliknya.

Rozita kelihatan tenang selepas panel hakim sebulat suara menolak rayuan berkenaan dan selepas prosiding, beliau dilihat wartawan cuba menyatakan sesuatu serta mengucapkan terima kasih kepada barisan peguamnya yang diketuai Mohamed Haniff Khatri Abdulla sebelum diiringi anggota polis ke bilik lokap untuk dihantar ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman.

Dalam prosiding pada Khamis, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Ku Hayati Ku Haron.

Pihak Kedutaan Indonesia ketika dihubungi BeritaBenar enggan memberikan sebarang komen berkenaan kes tersebut.

Kes dera itu menarik perhatian ramai selepas video yang memaparkan mangsa ditemukan terbaring dalam keadaan parah di tepi longkang di kawasan perumahan di Mutiara Damansara, Petaling Jaya oleh pengawal keselamatan tular di media sosial.

Pada awalnya, Rozita didakwa di Mahkamah Sesyen dengan tuduhan cuba membunuh Suyanti Sutrinso, 19, mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, yang jika disabitkan boleh dipenjara sehingga 20 tahun jika cedera dan seumur hidup jika menyebabkan kematian.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah berhampiran Jalan PJU 7/30, Mutiara Damansara antara 7 pagi hingga 12 tengah hari pada 21 Jun 2016.

Rozita didakwa menyebabkan kecederaan parah ke atas mangsa dengan menggunakan sebilah pisau, batang mop lantai, payung, batang besi, alat mainan kucing serta penyangkut baju.

Bagaimanapun, selepas 10 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada 9 Mei 2017, tertuduh kemudiannya menukar pengakuan kepada bersalah dan pindaan telah dibuat atas kesalahannya mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dikenakan bon berkelakuan baik pada 15 Mac 2018.

Hukuman tidak setimpal

Aktivis Migrant CARE, Alex Ong yang memperjuangkan nasib pekerja migran Indonesia berkata hukuman penjara lapan tahun tidak mencukupi jika dibandingkan dengan kecederaan parah pembantu rumah Suyanti Sutrinso yang ditemui pengsan di tepi longkang.

"Ini adalah satu kejadian yang mengakibatkan penderaan fizikal yang teruk. Hukuman penjara lapan tahun adalah terlalu ringan dan lebih ramai yang dikenakan hukuman lebih berat atas kesalahan yang serupa," katanya kepada BeritaBenar semasa dihubungi.

Alex juga mencadangkan sebagai penyelesaian terhadap kes penderaan pembantu rumah asing yang banyak terjadi, ejen dan majikan perlu dipertanggungjawabkan sekali atas kesalahan penderaan seperti itu.

"Malaysia mempunyai Kanun keseksaan untuk kes-kes seperti ini tetapi mangsa sukar untuk mendapat pengadilan yang sewajarnya. Kerajaan patut membuat sesuatu bagi mengelak kes seperti ini berulang," katanya.

Sementara itu, Adrian Pereira, dari Inisiatif Utara Selatan, berkata perlindungan ke atas pekerja domestik warga asing tidak patut bergantung sebulat-bulatnya ke atas keputusan Mahkamah.

"Satu perubahan yang sistematik dalam pengendalian pekerja domestik warga asing supaya dilindungi perlu dilakukan termasuk dari segi undang-undang, peraturan dan penguatkuasaan dan Malaysia sebenarnya masih lemah dalam kesemua aspek ini selain gagal membuat perubahan yang diperlukan," kata beliau kepada BeritaBenar semasa dihubungi.

Akhbar The Straits Times Singapore pada 2018 melaporkan bahawa 250,000 wanita, yang kebanyakannya dari Indonesia dan Filipina, bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia dalam laporannya mengenai penderaan pembantu rumah yang berlaku sejak lebih sedekad lalu.

Antaranya ialah kes yang dilaporkan ialah pada 2004, seorang pembantu rumah berusia 20 tahun diseksa oleh majikannya dengan seterika panas dan pada 2010 seorang lagi pembantu rumah berusia 26 tahun dipukul dengan tali pinggang, tubuhnya melecur akibat dicurah dengan air panas dan payudaranya ditekan dengan seterika panas.

Laporan akhbar itu juga berkata, pada 2016 seorang pembantu rumah berusia 19 tahun tidak dapat dikenali berikutan kecederaan teruk yang dialaminya selepas beliau dipukul majikannya setiap hari.

Tenaganita melaporkan bahawa kumpulan memperjuangkan hak asasi pekerja migran itu mengendalikan 120 kes pekerja asing yang didera dariĀ  Jun hingga Disember 2017 dengan 82 kesĀ  melibatkan pembantu rumah.


Lihat Laman Penuh